Asas undang-undang keterangan, setiap keterangan yang diberikan mestilah satu keterangan terus (direct) daripada orang yang melalui sendiri sesuatu situasi tersebut. Jadi, bagaimana pula apabila seseorang yang memberi keterangan itu merupakan pihak ketiga?
Keterangan dengar cakap dikatakan sebagai satu keterangan yang tidak kukuh kerana keterangan ini diberikan tanpa sumpah. Keterangan dengar cakap juga kebiasaannya dirujuk kepada apa-apa kenyataan lisan yang diberikan di luar mahkamah ataupun apa-apa dokumen yang dibawa oleh pihak ketiga ke mahkamah untuk dibuktikan oleh saksi, namun dalam masa yang sama, pemilik asal dokumen tidak hadir ke mahkamah untuk mengesahkan dokumen tersebut.
Namun, terdapat juga beberapa kategori individu yang keterangan dengar cakap boleh diterima di mahkamah seperti mana yang tertulis di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950.
Pertama, kes-kes dimana kenyataan fakta yang dibuat oleh orang yang telah mati. Dalam hal ini, kematian mereka boleh dibuktikan oleh sijil kematian ataupun pengakuan lisan daripada pegawai yang melakukan pos mortem ke atas orang yang telah mati tersebut.
Kedua, kenyataan fakta oleh orang yang tidak dapat dijumpai. Dalam membuktikan individu di kategori kedua ini, perlu adanya bukti yang menunjukkan bahawa cubaan mencari telah dilakukan dan mahkamah berpuas hati bahawa carian telah dilakukan keatas individu tersebut.
Ketiga, keterangan oleh orang yang tidak berupaya memberikan keterangan contohnya, individu yang sudah terlampau tua ataupun mempunyai masalah mental yang tidak baik. Dalam hal ini, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan tahap keseriusan penyakit tanpa perlunya laporan kesihatan daripada pihak hospital. Namun, tahap kurang upaya saksi mesti dibuktikan dengan jelas.
Akhir sekali, keterangan oleh pihak yang kehadirannya tidak dapat didapatkan tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada pendapat mahkamah tidak munasabah dalam hal keadaan kes itu.
Nota: Gambar sekadar hiasan
Oleh,
Ain Syafiqeen
0109647961
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..