Tuesday, March 28, 2023

[1380.23] HAK-HAK BAGI ORANG YANG DITAHAN POLIS


Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa hak-hak bagi orang yang ditahan oleh polis atau penguatkuasa yang berautoriti.
Pertama, bahawa apabila seseorang itu ditahan, dia perlulah diberitahu sebab-sebab yang menyebabkan penahanannya sejurus sahaja ia ditahan. Kegagalan untuk memaklumkan sebab penahanan ini boleh membenarkan seseorang tersebut untuk menolak daripada ditahan.
Kedua, adalah hak untuk mendapatkan nasihat guaman / representasi daripada mana-mana peguam pilihannya sendiri. Oleh itu, jika pihak polis bertegas bahawa hak tersebut boleh mengganggu siasatan yang dijalankan, beban pembuktian adalah terletak pada bahu pihak polis untuk membuktikan sedemikian sekaligus untuk menafikan hak tersebut.
Peruntukan tambahan selain daripada Perkara 5(3) di atas dan selaras dengannya adalah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah. Proviso ini menjamin hak-hak bagi seseorang yang ditahan seperti hak untuk mendapatkan maklumat tentang sebab ia ditahan sejurus sahaja penahanannya. Kedua, adalah hak untuk berkomunikasi dengan mana-mana rakan atau saudara mara atau peguam bagi memaklumkan bahawa ia telah ditahan sebelum polis memulakan apa-apa rakaman percakapan.
Akhir sekali adalah hak untuk dibawa ke hadapan Majistret dalam tempoh 24 jam sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 serta Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
AUTHOR : NUR FARIHAH SYAHRIZA, PELATIH DALAM KAMAR.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►