Friday, November 27, 2020

[727.20] SAKSI BELOT (HOSTILE WITNESS)


Dalam kes jenayah, siasatan kepada kesemua saksi akan dibuat dalam bentuk keterangan bertulis yang digariskan dalam s.112 KAJ. Apabila saksi dipanggil memberikan keterangan, pernyataan saksi kepada pegawai penyiasat adalah satu rujukan kepada pihak pendakwaan. Sekiranya saksi berkenaan pada mana-mana masa memberikan keterangan bercanggah dengan Pernyataan tersebut, maka pihak pendakwaan selaku pihak yang memanggil saksi tersebut boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Bicara bagi mengenepikan keseluruhan atau sebahagian keterangan saksi berkenaan atas sebab saksi belot. Rujuk - s.145 / s.154 / s.155 Akta Keterangan 1950
Sekiranya pihak pendakwaan ini membuat pengenepian kepada keterangan saksi ini atau mencabar atau meletakkan ia sebagai saksi belot bagi pertimbangan pihak Mahkamah untuk menilai keterangan, maka satu permohonan secara rasmi perlu dibuat. Maksud rasmi ialah permohonan secara berekod walaupun dibuat secara lisan. Rujuk – PP vs. Mohd Riedzuan Hamzah [2020]
Dalam proses ini, pendakwaan perlu membuktikan bahawa terdapat percanggahan besar dan penting dalam keterangan saksinya dengan keterangan yang diberikan sebelumnya di bawah s.112. Pengemukaan dokumen seksyen 112 boleh dibuat sepenuhnya atau sebahagian bagi membuktikan setakat mana keterangan itu bercanggah dan percanggahan adalah material kepada kes yang dibicarakan. Rujuk - PP v. Abdul Kudus Japlus [1988] , PP vs. Thiban Parasaraman [2017]
Pengemukaan dokumen rakaman percakapan itu perlu ditandakan dan dijadikan eskhibit dalam menjadikan rujukan kepada Mahkamah dalam permohonan sedemikian. Rujuk – PP vs. Ahmad Asyraf Mansor [2018]
Proses ini adalah perlu dibuat oleh pihak yang membawa saksi berkenaan. Sekaligus ini menjadikan hak dan tanggungjawab yang sama diletakkan atas beban peguambela. Maka berdasarkan prinsip untuk membuktikan saksi belot atau satu permohonan impeachment, maka rakaman percakapan atau pernyataan di bawah s.112 adalah amat penting dibekalkan kepada peguambela apabila seseorang saksi pendakwaan ditawarkan kepada pembelaan. Ini berbalik kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Siti Aisyah vs. PP [2019] yang dibincangkan sebelum ini dalam isu pembekalan dokumen di bawah seksyen 112.




 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►