Thursday, December 5, 2019

[478.19] APA ITU HABEAS CORPUS?



Istilah habeas corpus berasal dari perkataan Latin yang membawa maksud “"you should have the body”. Ianya merujuk kepada perintah atau arahan Mahkamah supaya seseorang dalam tahanan pihak berkuasa dibebaskan/ dilepaskan daripada penahanan atas sebab penahanan seseorang itu tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.
Isu yang sering dibangkitkan dalam membenarkan Hebeas Corpus adalah sama ada kehidupan dan kebebasan diri seseorang telah disekat mengikut undang-undang. Seseorang yang mengalami penindasan semasa ditahan atau layanan yang tidak berperikemanusiaan boleh mendakwa kehidupan mereka telah di sekat mengikut perlembagaan.
Sebelum kita memahami prinsip undang-undang mengenai habeas corpus, kita perlu ambil maklum bahawa setiap individu di negara ini mempunyai hak kebebasan ke atas diri sendiri tanpa penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa. Perkara ini telah disebut dengan jelasnya di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan, di mana tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.
Manakala, Perkara 5 (2) memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi diberi kuasa untuk memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya/membebaskannya daripada tahanan jika Mahkamah mendapati bahawa seseorang sedang ditahan dengan menyalahi undang-undang.
Tetapi, harus diingatkan bahawa perintah habeas corpus dikeluarkan/diarahkan bukan atas budibicara Mahkamah, sebaliknya ia adalah satu hak yang mana pihak Mahkamah wajib mempertahankannya. Dalam erti kata lain, dalam keadaan Mahkamah berpuas hati seseorang itu ditahan secara tidak sah dan tidak mengikut peruntukkan undang-undang di Malaysia, maka Mahkamah tidak ada budi bicara lain melainkan Mahkamah wajib membebaskan orang tersebut.
Selain itu, kebebasan diri seseorang juga dianggap telah disekat sekiranya seseorang itu tidak dimaklumkan akan alasan-alasan penangkapan/penahanan dirinya mahupun tiada penjelasan yang diberikan kepadanya mengenai penangkapan/penahanan tersebut. Situasi lain yang mana menunjukkan kebebasan diri seseorang itu dinafikan apabila sekiranya seseorang yang ditahan/ditangkap itu tidak dibenarkan melantik, berunding dan dibela oleh mana-mana pengamal undang-undang pilihannya. Di samping itu, jika seseorang yang ditangkap itu tidak dibawa ke hadapan Majistret dalam tempoh 24 jam dengan kelengahan yang tidak munasabah, dia boleh membuat permohonan habeas corpus bagi satu penafian haknya sebagai orang yang ditangkap. Dan mana-mana orang yang ditangkap tidak boleh ditahan dalam tahanan polis dengan lanjutan masa tanpa kebenaran Majistret itu
Dalam keadaan sebegini, seseorang itu dianggap telah dinafikan hak kebebasan diri di bawah Perkara 5 dan hal ini memberi hak kepada seseorang untuk membuat permohonan habeas corpus terhadap ketidaksahan penangkapannya atau penahanannya oleh pihak berkuasa. Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kegagalan mana-mana pihak berkuasa mematuhi Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, membolehkan orang yang ditangkap/ditahan membuat permohonan habeas corpus.
Di dalam satu kes yang diputuskan Puvaneswaran Murugiah V. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Anor [1991] 2 MLRH 255, subjek tahanan hanya dibekalkan dengan satu salinan alasan penahanan, sedangkan undang-undang memperuntukkan dua salinan dokumen tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa:
“Failure to provide the detainee with his own copy of Form I for his retention and use at the proceedings before the Advisory Board might well have been a disadvantage to him and thus the risk of prejudice cannot be ruled out. The Court will not go into the likelihood of prejudice. The risk of it is enough.
This application for habeas corpus is therefore granted and the detainee must be set at liberty forthwith.”

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►