Thursday, December 5, 2019

[479.19] PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN





Mana-mana pihak yang menerima Saman dan Penyata Tuntutan daripada pihak lain, mestilah memasukkan kehadiran dalam tempoh masa 14 hari daripada penyampaian Saman tersebut. Perkara ini telah diperuntukkan di bawah Aturan 12 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 di mana telah dinyatakan bahawa tempoh masa untuk memasukkan kehadiran bagi terhadap Writ Saman yang disampaikan kepadanya Malaya adalah empat belas hari selepas penyampaian Writ Saman tersebut. Harus diingatkan bahawa kegagalan untuk memasukkan kehadiran ini akan menyebabkan Penghakiman Ingkar Kehadiran boleh dimasukkan ke atas seseorang, seperti yang dibenarkan di bawah Aturan 13 Kaedah 1(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Di dalam keadaan di mana seseorang yang disaman telah memasukkan kehadiran bagi Writ Saman tersebut dan mempunyai pembelaan terhadap tuntutan yang dibuat ke atasnya, di bawah Aturan 18 Kaedah 2(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 mengarahkan seseorang itu untuk mengemukakan pembelaan kepada Plaintif sebelum tamatnya tempoh empat belas hari selepas masa yang dihadkan untuk kehadiran atau selepas pernyataan tuntutan itu disampaikan kepadanya.
Di dalam kes yang diputuskan, JP Logistics Sdn Bhd lwn. Arra Solutions Sdn Bhd [2016] MLRHU 1026, Yang Arif Mahkamah Tinggi menyatakan dalam penghakimannya bahawa:
“Defendan telah gagal memasukkan Kehadiran dalam masa yang telah ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Memorandum Kehadiran hanya dimasukkan oleh Defendan pada 1 Mac 2016. Ia sepatutnya dimasukkan pada 24 Februari 2016 iaitu dalam masa 14 hari dari tarikh serahan writ saman kepada Defendan. Oleh itu, saya mendapati bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut yang difailkan pada 2 Mac 2016 oleh Plaintif adalah sempurna dan teratur.”
Mahkamah di dalam kes ini menolak permohonan Defendan untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar dengan kos RM 3,000, sebaliknya membuat keputusan untuk mengekalkan Penghakiman Ingkar yang telah diperolehi oleh Plaintif.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►