Wednesday, June 27, 2018

[125.18] TAWARAN PERTUDUHAN JENAYAH YANG LEBIH RINGAN & HAK ORANG KENA TUDUH (SEK.39B ADB 1952)


Semasa dalam proses pertuduhan jenayah, pihak Pembelaan boleh menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan satu rayuan kepada pertuduhan lebih ringan atau penarikan pertuduhan boleh dibuat oleh pihak Jabatan Peguam Negara ke atas Orang Kena Tuduh (OKT).
Antara yang ditawarkan ialah satu pertuduhan yang lebih ringan. Contohnya banyak juga pertuduhan seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kendalian saya ditawarkan kepada pertuduhan seksyen 39A(2) Akta yang sama.
Biasanya tawaran ini adalah tawaran yang dibuat atas pelbagai faktor yang tidak perlu dijelaskan oleh Jabatan Peguam Negara dan tawaran ini adalah bersyarat dan sementara. Contohnya, tawaran ini adalah kepada OKT dengan syarat pengakuan salah dibuat dan sekiranya tawaran di tolak, perbicaraan adalah di bawah pertuduhan asal.
Apa yang penting, hak OKT diberikan iaitu satu penjelasan dan nasihat pro dan kontra kepada tawaran itu dibandingkan dengan pertuduhan asal dan alternatif (tawaran). Nasihat ini termasuk kekuatan kes, prospek bicara, kesan penerimaan dan isu-isu lain.
Samada menolak atau menerima itu adalah hak OKT. Tugasan peguam adalah menasihati dan memastikan OKT mendapat gambaran jelas.
Apabila ditolak tawaran berkenaan, (masih dalam contoh seksyen 39B) OKT mungkin boleh dibebaskan selepas bicara penuh. Boleh juga satu pindaan kepada pertuduhan alternatif sebagaimana tawaran oleh pihak Mahkamah ataupun disabitkan atas kesalahan asal dan dijatuhi hukuman gantung. Ia bergantung kepada perbicaraan semasa.
Izinkan saya berkongsi satu kisah berkenaan tawaran di dalam pertuduhan tersebut beberapa tahun yang lalu.
Jamal (bukan nama sebenar) di tuduh di bawah seksyen 39B Akta berkenaan yang mana sabit kesalahan akan dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sehingga mati.
Alhamdulillah, representasi diterima dan satu pertuduhan alternatif di tawarkan iaitu di bawah seksyen 39A(2) akta yang sama. Dalam kebiasaan mungkin akan dikenakan hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan. Setelah nasihat dan penjelasan pro dan kontra diberikan oleh pihak pembelaan, Jamal tidak bersetuju dan ingin meneruskan bicara walaupun pada pandangan peguambela ia satu tawaran yang baik atas faktor dan isu yang akan berbangkit semasa bicara tidak memberikan peratusan yang baik untuk mendapatkan lepas dan bebas.
Setelah bicara penuh, Jamal di sabitkan dan dijatuhkan hukuman gantung sehingga mati. Kes telah dirayuan di hadapan 3 panel hakim Mahkamah Rayuan dan hukuman dan sabitan dipinda kepada satu pertuduhan alternatif yang pernah ditolak olehnya dan dihukum oleh Mahkamah Rayuan penjara 19 tahun dan 12 sebatan.
Dirayu sekali lagi oleh pihak pendakwaan dan hukuman telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Selain daripada hukuman lebih berat, masa dan kos juga bertambah selama beberapa tahun lamanya. Walaupun keputusan akhirnya memihak kepada kami akhirnya tetapi saya ingin tegaskan bahawa kini banyak banduan reman lebih suka mendengar kata-kata inmate di dalam penjara tentang kes mereka sedangkan peguambela lebih mengetahuinya.
Selain itu, buta undang-undang juga menyebabkan OKT mengambil mudah tentang prosedur dan perjalanan kes mereka dan tidak fokus tentang perbincangan dengan peguam.
Saya percaya, perkara yang sama akan berlaku lagi dalam tahun ini. Ia bermusim barangkali. Setiap beberapa tahun, ada isu yang sama sebegini.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►