Tuesday, October 12, 2010

Akta Jenayah Sihir - Nak Gelak Rasanya Bila Fikir Bagaimana Prosedurnya Kelak


Apabila terdapat ura-ura dan cadangan untuk menderafkan satu Akta baru dan khas jenayah sihir, Uchi Gaban tergelak seorang. Cadangan itu katanya datang dari seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Entah siapa yang silap, hakim itu atau ayat akhbar ini.

Uchi Gaban bukan ingin memperkecilkan isu jenayah sihir kerana semakin hari ia masih menjadi pilihan masyarakat dalam membuat onar dalam kehidupan terutama bagi yang hasad dengki dan khianat. Apatah lagi ingin membalas dendam secara halus. Sihir ini dilakukan dan dipilih kerana ia halus dan tidak melibatkan tindakan fizikal yang menyukarkan penyembuhan dan pengesanan kepada pengupah asal. Tetapi melalui guru dan pengamal perubatan Islam, tidak mustahil untuk mengenalpasti kesemua itu.

Mahu atau tidak, sihir dan makhluk yang terlibat di dalamnya adalah suatu kejadian yang wujud dan wajib dipercayai sebagai benda ghaib. Ketakutan kepadanya bukan beerti ia lebih mendominasi keadaan berbanding manusia sebagai makhluk terpilih. Namun Uchi Gaban tergelak bagaimana prosedur kalau akta tersebut wujud.

Sebagai pengamal perundangan, Uchi Gaban rasa masih ada peruntukan sedia ada yang boleh dipakai yang turut dikembangkan kepada pengamal ilmu hitam.

Uchi Gaban pernah terlibat dalam beberapa ilmu tradisional Kelantan dan boleh dikatakan untuk membuktikan satu perkara di bawah sihir adalah agak kabur dan dari sudut keadilan dalam membuktikan pada tahap bersalah amat mustahil. Kecuali sabitan berdasarkan pengakuan.

Kepada keterangan siapa bakal kita berharap dalam melihat pendakwaan jenayah sihir. Adakah suatu pembuktian mengikut keadaan akan digunapakai secara 100% sedangkan penyaksian atau pengakuan serta sumpah memainkan peranan penting dalam perundangan Islam. Bukankah perundangan Islam amat mengambil berat dalam soal pembuktian.

Saksi yang terlibat dalam sihir sudah tentu ada hukum yang menghalang seperti fasik dan sebagainya. Perkara ini ulama' kita lebih mengetahui mengenainya. 

Siapa pula saksi pakar bagi kes jenayah sihir?. Ustaz si pengamal perubatan Islam atau bomoh yang setara. Ini akan menjadi persoalan utama untuk menjadi bahan tawa. Tetiba pengamal itu akan menjadi kashaf mahupun bergantung kepada keterangan dengar cakap dalam rasukan si mangsa.

Sudah tentu keterangan dengar cakap sedemikian tidak boleh diterima dalam perundangan Islam malah makhluk-makhluk itu juga disebut oleh Rasullulah SAW sebagai kazub. Lagi hebat dari kazab.  Siapa kita untuk menentukan apa yang benar mahu pun tidak daripada cakap-cakap si makhluk itu. Para sahabat pun tidak mampu. Besar mana pengamal perubatan kita mahupun ulama' untuk memberikan satu harapan dan keterangan bahawa keterangan sedemikian menyakinkan.

Rasanya pihak Majlis Agama Islam Selangor pernah membuat konvensyen mengenai perkara ini dengan pengamal perubatan Islam di negeri Selangor. Sememangnya tidak dinafikan jenayah sihir semakin berluasa dan masih menjadi kegemaran. Ini tidak termasuk isu jin sana-sini.

Suatu tindakan dan pengawasan melalui perundangan adalah perlu kepada jenayah tersebut tetapi melalui perbincangan boleh dilihat bagaimana amat sulit untuk dilaksanakan terutama sudut pembuktian dan elemen sebagaimana garis panduan perundangan syariah. 

Mungkin yang menjadi pencadang ada jalan mudah atau penyelesaian yang difikirkan elok bagi masalah ini. Maka elok dikongsikan bersama idea itu sebelum memberikan komentar lebih jauh. Bimbang kalau bangsa lain mentertawakan kita. Entah silap pencadang atau ayat akhbar yang tidak lengkap.

Rakan-rakan perawat Islam, apa pandangan anda dalam merealisasikan tindakan kepada pengamal sihir?

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►