Monday, December 5, 2022

[1328.22] KESALAHAN JENAYAH KHALWAT (BERSUNYI-SUNYIAN) DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN YANG BUKAN SUAMI ISTERI DI BAWAH SEKSYEN 84 ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1995


Larangan melakukan kesalahan di atas telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 32 bagi larangan untuk tidak mendekati zina yang mana tindakan bersunyi-sunyian diambilkira sebagai satu perbuatan yang mendekati zina. Ibn Abbas r.a meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda yang membawa maksud: “Janganlah kamu berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya”.
Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 memperuntukkan bahawa tindakan yang dikira sebagai melakukan kesalahan khalwat adalah apabila seseorang lelaki / perempuan bersekediaman / bersekedudukan / berkurung / bersembunyi dengan seorang perempuan / lelaki yang bukan mahramnya selain daripada isterinya / suaminya, yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat. Tindakan tersebut jika didapati bersalah dan seterusnya disabitkan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Adalah turut menjadi suatu kesalahan apabila seseorang lelaki yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau bukan mahramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Jika situasi ini terpakai kepada perempuan, maka hukuman adalah denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►