Friday, March 25, 2022

[1134.22] PLEA BARGAIN DALAM KES JENAYAH


Konsep Plea bargain merujuk kepada tawaran terhadap pengakuan bersalah bagi mengurangkan pertuduhan dan hukuman. Rundingan bagi pengakuan bersalah tersebut diadakan di antara pihak pendakwaan dan pihak pembelaan sebagai insentif bagi tertuduh memilih untuk mengaku salah, tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh.
Plea bargain boleh dibahagikan kepada dua iaitu rundingan bagi pertuduhan dan rundingan bagi hukuman. Melalui rundingan pertuduhan, tertuduh boleh mengaku salah kepada pertuduhan lebih ringan atau didakwa dengan sebahagian daripada beberapa tuduhan asal yang dikenakan terhadapanya. Bagi rundingan hukuman, tertuduh diberitahu terlebih dulu hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya jika memilih mengaku salah bagi tuduhan yang dihadapinya. Plea bargain boleh dimulakan pada mana-mana peringkat kes dan oleh mana-mana pihak. Seksyen 172C kanun Tatacara jenayah (KTJ) menyatakan bahawa permohonan untuk memulakan proses plea bargain hendaklah menggunakan Borang 28A di dalam Jadual kedua.
Mahkamah akan mengeluarkan notis kepada pihak pendakwaan dan tertuduh untuk hadir di hadapan Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran [Seksyen 172C(3) KTJ]. Mahkamah seterusnya akan memeriksa tertuduh bagi memastikan bahawa pengakuan bersalah tertuduh diberikan secara sukarela [rujuk seksyen 172C(4) KTJ]. Setelah isu mengenai kesukarelaan tersebut selesai, tertuduh dan pihak pendakwaan akan meneruskan persetujuan yang telah dicapai bagi melupuskan kes tersebut. Sekiranya pengakuan bersalah tertuduh dibuat secara paksa atau terdapat involuntariness, Mahkamah akan menolak permohonan tersebut dan kes akan diteruskan dengan perbicaraan penuh di Mahkamah yang lain (tertuduh akan dibicarakan oleh Hakim/Majistret yang lain) bagi memastikan tertuduh tidak diprejudiskan [rujuk seksyen 172C(6) KTJ].
NOTA: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►