Friday, March 4, 2022

[1104.22] JENAYAH OLEH ORANG YANG TIDAK SEMPURNA AKALNYA


'ORANG GILA' ataupun seseorang yang tidak sempurna akalnya, sekiranya dia melakukan sesuatu kesalahan jenayah, dia tidak akan dikira sebagai bersalah atas alasan bahawa dia merupakan seorang gila (defence of insanity). Malah, jika orang tersebut mengaku salah juga, pengakuan salahnya tidak akan diterima atas alasan yang sama.
Seksyen 84 Kanun Keseksaan menyatakan tentang perbuatan seseorang yang tidak sempurna akalnya seperti berikut:-
Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang pada masa melakukannya, oleh sebab akalnya tidak sempurna, tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu atau bahawa apa yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.
Orang yang tidak sempurna akal ini bukan sahaja merujuk kepada orang gila malah, juga merujuk kepada orang yang pada WAKTU dia melakukan jenayah, berada dalam keadaan tidak sempurna akalnya.
Contohnya: seseorang yang sedang tidur bermimpi diserang oleh seekor beruang, dan dalam tidurnya mencapai pisau dan menikam beruang tersebut walhal orang yang ditikam dalam alam nyata ialah isteri yang sedang tidur disebelahnya.
Namun, bukan mudah untuk mengguna pakai pembelaan atas alasan tidak sempurna akal. Hal ini demikian kerana prinsip asas adalah seorang tertuduh akan dianggap waras sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, beban pembuktian terletak pada orang yang tidak waras tersebut untuk membuktikan sedemikian. Harus dibuktikan juga pada WAKTU KEJADIAN, tertuduh tidak tahu sebab dan akibat daripada perbuatannya serta tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah salah.
NOTA: Gambar sekadar hiasan



 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►