Wednesday, December 15, 2021

[1053.21] PERHIMPUNAN MENYALAHI UNDANG-UNDANG (S. 145)


Seseorang individu yang menyertai mana-mana perhimpunan yang menyalahi undang-undang meskipun perhimpunan tersebut telah diarah bersurai oleh pihak polis boleh didakwa dan dipertuduhkan dengan satu kesalahan dibawah s 145 Kanun Keseksaan (dibaca bersama seksyen 141 Kanun Keseksaan).
Intipati-intipati kesalahan adalah menyertai atau terus menyertai sesuatu perhimpunan, kedua, perhimpunan yang disertai atau terus disertai itu adalah perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan ketiga mengetahui bahawa perhimpunan menyalahi undang-undang yang disertai atau terus disertai itu telah diarah supaya bersurai secara sah.
Berhimpun secara aman bukanlah satu kesalahan, malah satu hak yang dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Namun, seperti juga hak-hak kebebasan yang lain, hak ini bukanlah satu hak yang mutlak tanpa batasan atau sekatan. Perkataan "aman" itu sendiri membawa maksud bebas daripada keadaan kacau-bilau, gangguan atau suasana yang tidak menyenangkan: lihat Kamus Dewan Edisi keempat.
Bukan sahaja perlu diadakan secara aman, Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi syarat tersirat bahawa peserta-peserta perhimpunan tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata semasa berhimpun.
Dalam kes MEOR SAFIZAL MEOR MOHAMED AMIN DAN YANG LAIN lwn. PENDAKWA RAYA [2015] MLRAU 96, perhimpunan yang terus disertai oleh perayu-perayu setelah arahan bersurai dikeluarkan telah menyalahi undang-undang dalam seksyen 145 Kanun Keseksaan dibaca bersama s 141 Kanun Keseksaan kerana tujuan atau objektif perhimpunan ialah untuk menentang pelaksanaan suatu proses perundangan yang sah, iaitu upacara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan menurut Perkara XVI (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Menurut saksi-saksi polis yang berada ditempat kejadian, orang ramai yang berhimpun bertindak menghalang kenderaan orang-orang kenamaan daripada menuju ke Istana Iskandariah untuk menghadiri upacara tersebut dan apabila diarah bersurai mereka enggan mematuhinya.
NOTA: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►