Monday, November 8, 2021

[1023.21] KANAK-KANAK & KES HUKUMAN MATI


Negara kita mempunyai peruntukan undang-undang yang melindungi pesalah bawah umur yang melakukan kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman mati (contohnya jenyah bunuh). Apabila seorang kanak-kanak melakukan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman mati, hukuman tersebut akan digantikan dengan suatu hukuman lain yang mana hukuman mati ini memang tidak akan dikenakan kepada pesalah kanak-kanak tersebut.
Namun, harus diingatkan bahawa keadaan ini hanya terpakai kepada kesalahan yang hukumannya ialah hukuman mati selaras di bawah Seksyen 97 dan juga hukuman pemenjaraan dibawah Seksyen 96. Mahkamah Tinggi masih lagi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes juvana selain daripada kes yang hukumannya ialah hukuman mati dan pemenjaraan sepertimana yang tertulis di bawah Seksyen 117.
Terdapat banyak isu yang timbul berkaitan dengan hukuman mati untuk pesalah kanak-kanak namun, mahkamah memutuskan kes bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada pesalah bawah umur, sebagai contoh sepertimana dalam kes Pendakwa Raya v Ahmad Jasni [2001] MLJU 519.
Dalam kes tersebut, pesalah merupakan seorang kanak-kanak bawah umur yang pada masa kejadian hanya berumur 12 tahun. Kanak-kanak tersebut telah didakwa membunuh seorang kanak-kanak lain yang berumur 5 tahun pada masa tersebut. Hukuman yang mahkamah jatuhkan adalah menggunapakai Akta Kanak-kanak 2001 dan hukuman mati telah digantikan dengan hukuman tahanan selama satu tempoh yang ditetapkan.
Kes Mohd Haikal bin Mohd Khatib Saddaly & Ors v Pendakwa Raya [2009] 4 MLJ 305 juga telah menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara untuk satu tempoh yang ditetapkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang telah didakwa melakukan bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada rakan mereka di sekolah yang sama.
Terdapat juga banyak kes-kes lain yang mana mahkamah telah menggantikan hukuman mati kepada hukuman tahanan bagi pesalah bawah umur. Tiada mana-mana peruntukan yang membenarkan kanak-kanak bawah umur untuk dijatuhkan hukuman mati, tidak kira walau apa pun kesalahan yang dilakukannya.
Nota: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►