Monday, July 21, 2008

"Awak dilepaskan dan dibebaskan"

.........
Shah Alam: Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan tanpa membebaskan seorang remaja yang bekerja sebagai mekanik di Rawang setelah di reman selama 2 tahun atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur di Kerling, Selangor.

Kes yang ditetapkan bagi Bicara pada hari ini tertangguh sementara apabila Hakim Azimah Omar memohon pihak Pendakwaan mendapatkan arahan lanjut berkenaan kes ini apabila Pengadu gagal dikesan dan gagal hadir ke Mahkamah yang Mulia setiap kali bicara. Malah hanya dua saksi polis hadir pada hari ini tanpa kehadiran pegawai siasatan kes tersebut.

Permohonan waran tangkap oleh pihak Pendakwaan di tegur oleh pihak Mahkamah yang Mulia apabila pegawai siasatan tidak hadir dan tidak diminitkan di Kertas Siasatan samada sepina diserahkan atau tidak kepada pihak saksi utama iaitu Pengadu. Pengadu pula tidak pernah hadir sepanjang tarikh perbicaraan.

Selepas tertangguh setengah jam, pihak Pendakwaan bersetuju Hafizuddin untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Hafizuddin yang diwakili peguam bersedia untuk menjalankan bicara setelah tertangguh beberapa kali selain telah direman semenjak 2006.


Nota: Hakim Azimah Omar siap jeling kat kawe, jangan happy sgt sebab DNNA saja. Sebenarnya kawe bukan senyum sebab di DNNA. Tapi ada sebab lain.........

Thursday, July 17, 2008

Nilai Jaminan bagi suatu kes Jenayah

Antara alasan yang digunapakai dalam menentukan nilai jaminan mahupun faktor mitigasi dalam mengurangkan nilai jaminan, antaranya:

  • Nilai tawaran jaminan oleh Mahkamah yang Mulia perlu mengikut kemampuan keluarga Orang Kena Tuduh (OKT) kerana jaminan yang terlalu tinggi akan memberikan tekanan kewangan kepada keluarga serta ketidakmampuan akan menyebabkan OKT direman dalam masa yang panjang dan reman akan merugikan banyak pihak;
  • Nilai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah adalah suatu prinsip perundangan bagi mengelakkan OKT melarikan daripada Mahkamah atau gagal hadir ke Mahkamah. Selain daripada itu, nilai jaminan adalah bagi mengelakkan perkara yang prejudis kepada kes berlaku seperti gangguan kepada saksi dsb;
  • Nilai Jaminan yang bakal ditetapkan oleh Mahkamah tidak sepatutnya mencerminkan seolah-olah OKT bersalah terhadap pertuduhan dan melakukan jenayah berat sebelum diputuskan bersalah. OKT patut dianggap tidak bersalah sehingga diputuskan sebaliknya;
  • Faktor kewangan keluarga seperti penanggung utama keluarga juga patut diambil kira. Seandainya nilai jaminan tinggi ditetapkan dan OKT tidak mampu dijamin keluar sehingga tarikh perbicaraan. Maka ini akan merugikan OKT dan keluarga beliau dari segi kewangan kerana akan merana dan siksa atas kehilangan pendapatan dan tanggungan oleh OKT. Malah turut akan memberikan kesan kepada Mahkamah apabila pihak OKT tidak dapat bersedia untuk kes dan/atau tidak dapat mengupah peguam bagi kes tersebut;
  • Umur juga menjadi faktor penentu bagi mitigasi bagi merendahkan nilai jaminan bagi mengelakkan OKT muda bercampur dengan penjenayah tegar di penjara sekali gus mengelakkan percambahan jenayah;

Wednesday, July 16, 2008

"Saya ingin mohon penangguhan, Pengadu Gagal Dikesan"


Seremban: Mahkamah Sesyen hari ini menangguh perbicaraan ke atas seorang kerani TNB bagi satu pertuduhan rasuah yang ddidakwa dilakukan pada tahun 2000 iaitu 8 tahun sebelum pendakwaan dibuat.

Timbalan Pendakwaraya memaklumkan kepada Mahkamah yang Mulia bahawa Pengadu selaku saksi utama di dalam kes ini tidak dapat di kesan sehingga ke hari ini dan tidak dapat dihadirkan ke Mahkamah bagi pembicaraan.

Sehubungan dengan itu, pihak Pendakwaan mohon satu penangguhan bagi mengesan Pengadu tersebut.

Selain daripada itu, dokumen-dokumen telah dibekalkan kepada pihak Pendakwaan pada 15.07.2008 iaitu sehari sebelum pembicaraan oleh pegawai siasatan.

Pihak Pembelaan tidak mempunyai bantahan dan satu tarikh Sebutan ditetapkan pada 17.09.2008 bagi mendapatkan status lanjut mengenai status Pengadu. Dalam masa yang sama, pihak Pembelaan akan membuat representasi kepada Peguam Negara bagi menarik balik pertuduhan ini.

Representasi hanya diputuskan akan dibuat setelah meneliti dokumen-dokumen bahawa tiada apa jua satu asas kukuh bagi pihak TPR meneruskan pertuduhan tersebut yang mana pengaduan yang dibuat adalah amat jelas satu penipuan dan perangkap kepada pihak tertuduh.

Jaminan dilanjutkan.

Monday, July 14, 2008

"DPP yang mengendalikan kes ini berada di Mahk. Tinggi Shah Alam, Mohon tarikh bicara baru"

..
Klang: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menangguhkan bicara terhadap dua beradik di atas pertuduhan Seksyen 376 Kanun Keseksaan apabila Timbalan Pendakwaraya, Puan Siti Rafidah terpaksa hadir bagi satu kes rayuan daripada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Permohonan Timbalan Pendakwaraya bagi melapangkan kesemua tarikh pembicaraan tersebut telah dimohon dan disebut oleh Pembantu Pendakwaraya (APP) Puan Norshuhada'.

Pembantu Pendakwaraya juga memaklumkan pihak Mahkamah bahawa Sepina (sepatutnya di sebut OTP tapi tak tahu kot pihak Pendakwaan rasa sama) kehadiran terhadap si adik tidak dikeluarkan ke Penjara Sungai Buloh tetapi dikeluarkan kepada Penjara Kajang.

Orang Kena Tuduh (OKT) yang kedua-duanya diwakili oleh Hisham Nazir setelah dilantik semenjak April 2008 menyatakan bahawa tiada persediaan dibuat bagi pembicaraan tersebut dan bagi rekod pihak Mahkamah yang Mulia, pihak Pembelaan telah menyatakan kepada pihak Mahkamah bahawa pihak Pendakwaan tidak membuat apa jua tindakan bagi menyegerakan pembicaraan kes tersebut semenjak tahun 2006.

Selain itu, permohonan pihak Pembelaan terhadap kesemua dokumen di bawah Seksyen 51A melalui surat yang bertarikh 17.04.2008 dan beberapa panggilan masih tidak mendapat respon pihak Pendakwaan sehingga kini.

Pihak Mahkamah juga menegur sikap Pendakwaan yang menangguhkan kes tersebut atas alasan terpaksa berada di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menyindir kepada pihak APP "Esok tak free lagi ke?*1 memandangkan kes tersebut ditetapkan bagi pembicaraan selama 3 hari dari 14-16.07.2008.

Pihak Pembelaan pula sanggup menjalankan pembicaraan dan bersedia sekiranya dibekalkan dokumen-dokumen yang bakal digunakan dalam pembicaraan kelak terlebih dahulu.

Sebaliknya, pihak Mahkamah yang Mulia dimaklumkan oleh pihak Pendakwaan bahawa tiada pengetahuan mengenainya dan arahan Timbalan Pendakwaraya adalah bagi mendapatkan tarikh bicara yang baru.

Atas permohonan pihak Pembelaan, satu tarikh singkat dan dalam tahun yang sama ditetapkan bagi Pembicaraan; 3 & 5.11.2008.


Nota: Kebiasaanya rayuan (sekiranya didengar) di Mahkamah Tinggi daripada kes Mahkamah Majistret/Sesyen, hujahan rayuan boleh disiapkan dalam masa separuh hari atau sehari sahaja. Itupun kebanyakan pihak Peguam dan Timbalan Pendakwaraya akan menyediakan rangka hujahan bertulis beserta otoriti.



Friday, July 11, 2008

Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah- Dulu & Kini

Dulu dokumen yang digunapakai dalam perbicaraan jenayah tidak diberikan kepada pihak Pendakwaan kecuali beberapa dokumen asas sahaja. Maka wujudlah situasi kejutan setiap kali bersidangnya Mahkamah bagi pembicaraan kes jenayah tersebut. Kejutan demi kejutan daripada kedua-dua pihak dalam suatu permohonan akan memberikan kesan kepada perjalanan pembicaraan kes jenayah tersebut seterusnya melambatkan lagi pembicaraannya.

Mana tidaknya, setiap dokumen yang ditenderkan, maka strategi akan berubah dan diubah. Sesuatu keperluan perlu dibuat dan ditambah oleh pihak Pendakwaan atau Pembelaan. Ini ditambah lagi dengan bantahan daripada pihak lawan samada pihak Pendakwaan atau pihak Pembelaan. Mahkamah selaku Orang Tengah tersepit dan mahu tak mahu terpaksalah mengawal keadaan.

Keadaan bantahan demi bantahan akan memaksa Mahkamah yang Mulia memberikan masa dan ruang kepada pihak Pemohon dan yang membantah bagi membuat persediaan. Pendek kata, koman-koman pun, esok kena datang lagi dengar bicara permohonan tersebut dengan hujahan lengkap siap dengan himpunan kes otoriti terdahulu.

Itu tak tambah dengan situasi yang menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga membawa kepada rayuan. Mahu ditunggunya lagi kes itu. Mahu 10 tahun nak selesai? Lama lagi kot.

Pemakaian Seksyen 51A KAJ sedikit sebanyak memberikan kebaikan dalam menyelesaikan perbicaraan dengan segera di samping menjimatkan masa dan kos pihak Mahkamah, Pembelaan mahupun Pendakwaan.

Disamping itu, pihak Pembelaan boleh mengatur strategi dan persoalan serta isu yang bakal ditimbulkan dengan terlebih awal setelah mendapat dokumen yang dibekalkan dengan perbincangan dengan anakguam.

Tapi sayangnya, masih ramai pihak Pendakwaan secara sesuka hati menenderkan dokumen baru semasa perbicaraan tanpa memikirkan rasional penggubalan Seksyen 51A itu sendiri. Yang paling kelakar kekadang alasannya; dokumen baru dapat. Sedangkan kesemua kerja dibuat oleh pihak Pembelaan.

Bila Pembelaan mula buat bantahan agar dokumen tersebut ditolak atau diklarifikasikan ataupun saksi-saksi sebelumnya dipanggil semula, maka riuh la... pihak Pembelaan juga nampak crook.

Janganlah gitu....


Thursday, July 10, 2008

"Encik Tahu Berapa kali Anak Encik pernah buat Seks?"


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret hari ini menangguhkan kes perbicaraan di bawah pertuduhan Seksyen 376 Kanun Keseksaan terhadap seorang juvana setelah bersidang semenjak pagi dan mendengar keterangan daripada 4 saksi; jurugambar, Pengadu dan Bapa Mangsa. Saksi ke-4 iaitu rakan sebilik Juvana yang sepatutnya di panggil petang ini ditangguhkan pada esok hari oleh Mahkamah ekoran pihak saksi tersebut gagal mengemukakan apa jua pengenalan diri seperti kad pengenalan dan lesen apabila diminta.

Pihak Pendakwaan menyatakan kepada pihak Mahkamah bahawa 11 saksi akan dipanggil bagi memberikan keterangan bagi perbicaraan kes tersebut.

Juvana tersebut dituduh melakukan rogol ke atas seorang remaja bawah umur di satu premis pada Oktober 2007.

Selain daripada pertuduhan yang dibuat di sini, terdapat satu lagi pertuduhan yang sama iaitu Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibuat ke atas seorang lelaki yang lain di Mahkamah Sesyen Jenayah (3) Kuala Lumpur bagi "mangsa" yang sama, iaitu remaja perempuan bawah umur tadi.

Peguambela yang dimaklumkan pada saat akhir oleh pihak anakguam bagi membuat permohonan pengurangan jaminan telah memohon kebenaran Mahkamah bagi membuat permohonan secara lisan pada pagi esok sebelum memulakan pembicaraan.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh pihak Timbalan Pendakwaraya.


◄ Newer Post Older Post ►