Thursday, April 17, 2008

Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah

Ini pula persoalan baru mengenai penggubalan beberapa peruntukan undang-undang mengenai undang-undang jenayah. Apa bezanya pengubalan Seksyen 51A KAJ kini dan sebelumnya?

Persoalan yang sama pernah dilontarkan oleh seorang pelajar undang-undang UIA. Namun, maaf kepada beliau kerana tidak dapat ditemuramah atas jadual kerja yang padat.

Sebelum KAJ diinovasikan oleh Parlimen dan menggubalkan Seksyen 51A KAJ tersebut, rata-rata mendengar dan mencemuh peguam selaku pihak yang sering menangguhkan kes di Mahkamah yang Mulia sekaligus menyatakan peguam yang banyak menyumbang ke arah kelewatan terhadap keadilan terutama kes jenayah. Antara alasan yang biasanya didengar atau diutarakan sebagai 'rayuan' untuk menangguhkan kes adalah;

(1) Tiada peguambela & tidak berkemampuan untuk mengupahnya;
Dalam soal ini pihak Mahkamah dan Biro Bantuan Guaman sepatutnya lebih menekankan keberkesanan sistem yang ada. Selebihnya bergantung kepada sikap OKT kerana banyak disebabkan oleh OKT juga yang kedekut dan tidak berusaha untuk mengubah sikap.

(2) Representasi masih tidak berjawab oleh Jabatan Peguam Negara;
Secara praktikalnya apa jua permohonan repsentasi akan mengambil masa 4-7 bulan (berdasarkan pengalaman) untuk diputuskan oleh pihak Jabatan Peguam Negara. Secara relatifnya, jika Mahkamah yang Mulia memberikan tarikh Sebutan biasa bagi membolehkan jawapan representasi diterima, maka 4-6 tarikh Sebutan akan terus bertangguh.

(3) Dokumen yang dimohon masih tidak diserahkan kepada peguambela; Secara amnya (sebelum penggubalan Seksyen 51A KAJ), terdapat beberapa dokumen yang sepatutnya diserahkan oleh pihak Pendakwaan kepada pihak OKT atau melalui Peguambelanya. Secara logik, bagaimana perbicaraan boleh diteruskan dan persediaan boleh dibuat oleh pihak Pembelaan /OKT sekiranya dokumen enggan diserahkan. Secara praktikal, terdapat banyak kes yang mana pihak OKT direman sehingga 3-4 tahun tanpa memperolehi sehelai dokumen pun daripada pihak Pendakwaan. Malah lebih menyedihkan apabila OKT direman dengan lebih lama dan menangguhkan perbicaraan secara berterusan oleh pihak Pendakwaan dengan alasan pihak OKT tidak diwakili Peguambela sedangkan pihak Pendakwaan sedar OKT direman dan terus "menipu" OKT walhal OKT boleh diberikan peluang bela diri sendiri. Sebenarnya, jarang pihak Pendakwaan bersedia. Dokumen pun belum serah.... Alahai...

(4) Peguambela atau pihak pendakwaan sibuk/cuti/kursus; Surat penangguhan oleh peguambela sering dilihat antara sebab keadilan dilewatkan (justice delay) sedangkan melalui pengalaman Kawe, pihak Pembelaan lebih banyak memohon penangguhan berbanding pihak Peguambela. Antara alasan pihak Pendakwaan;

  • Kursus;
  • Seminar;
  • Ada Perbicaraan lain (sedangkan tarikh dipersetujui bersama);
  • Konvensyen;
  • Cuti Kecemasan;
  • Cuti (tapi tidak dimaklumkan kepada pihak Peguambela, sedangkan tarikh dipersetujui bersama);
  • Cuti Bersukan "Main Bola" ( Jangan gelak! alasan tersebut pernah digunakan bagi tangguh kes)

Bagi mengelakkan kelewatan keadilan dan mempercepatkan proses keadilan terutama kepada kes-kes reman, Seksyen 51A KAJ adalah satu tindakan yang sesuai.

Di bawah peruntukan in, pihak Pendakwaan mempunyai beban bagi membekalkan apa jua maklumat, fakta dan dokumen yang berkaitan dengan pertuduhan yang bakal dirujuk dan digunakan semasa bicara. Pembekalan dokumen ini memberikan lebih keadilan kepada pihak Pembelaan yang mana boleh melihat kes dengan jelas apabila kesemua fakta dan dokumen berada di tangan seterusnya boleh memohon kepada pihak Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan sekiranya kes tidak kukuh. Tetapi adakah dokumen ini membantu kepada representasi pihak pembelaan?

Jawapannya "TIDAK". Sebabnya pembekalan dokumen amat LEMBAB dan boleh dikatakan pihak OKT direman 3-4 tahun juga masih belum mendapat dokumen bagi kes mereka walaupun di bawah peruntukan yang sedia ada.

Maka kedudukan dan tindakan pembelaan dalam memberikan representasi kepada Peguam Negara sebagai pertimbangan tidak memberikan apa jua perbezaan kepada penggubalan Seksyen 51A KAJ secara praktikal walaupun ia sepatutnya mengubah segalanya.

Kegagalan pembekalan dokumen tersebut juga boleh disimpulkan secara tersirat bahawa pihak Pendakwaan tidak akan menggunakan maklumat, fakta mahupun dokumen yang tidak disertakan tersebut. Tetapi pihak Pendakwaan kebanyakan masih berprinsip "nak menang" berbanding berpegang ke arah keadilan apabila tidak kesemua dokumen akan diserahkan kepada pihak Peguambela atas alasan kebimbangan akan menggugat kes pendakwaan pada mana-mana tahap berbanding memikirkan ke arah keadilan. Malah pihak Pembelaan amat "nakal" apabila diserahkan dokumen-dokumen yang asas (kecuali tambahan gambar kes) , mereka meletakkan klausa kecil di bawah tanpa menyatakannya kepada pihak Pembelaan mahupun OKT bahawa

"dokumen-dokumen tersebut dan tidak muktamad, dan pihak Pendakwaan akan menggunakan mana-mana dokumen tambahan sekiranya perlu"

Klausa ini tidak relevan dan selaras dengan Seksyen 51A KAJ. Maka penggubalannya satu kerja sia-sia apabila pihak Pendakwaan tidak membantu ke arah keadilan dalam membantu pihak Mahkamah yang Mulia. Walhal, hanya dokumen yang melibatkan kepentingan awam sahaja yang tidak boleh diserahkan kepada pihak Pembelaan. Tetapi sebaliknya berlaku, (1) Lambat Serahan (2) Dokumen dipilih-pilih.

Orang tanya; Adakah pernyataan saksi diperolehi? Jawapannya; Tidak. Mereka ada alasan berbuat sedemikian bagi kepentingan dan keselamatan saksi tetapi bagaimana dengan fakta mengenai pernyataan saksi?

Sekiranya dokumen, fakta dan maklumat adalah perlu diserahkan kepada pihak Pembelaan sebelum pembicaraan, Adakah pihak Mahkamah yang Mulia boleh membuang kes (dibebaskan tanpa dilepaskan- DNAA) sekiranya gagal serah?

Jawapannya masih menjadi budi bicara Mahkamah yang Mulia tetapi secara praktikalnya, Mahkamah tidak mengambil endah sangat mengenai kegagalan dan budaya kerja negatif pegawai kerajaan sebegitu. Seterusnya tarikh baru akan diberikan. OKT akan berada di penjara (reman) pada tempoh yang lebih lama. Jaminan terlalu tinggi bagi faktor ekonomi keluarga OKT. Maka OKT terus menjadi mangsa.

Secara tersurat, pihak pendakwaan terus mengganggap dan meletakkan tanggapan OKT adalah pesalah dan perlu dilayan sebagai pesalah.

Masih ingat kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya baru-baru ini apabila Hakim Nurmala Salim melepaskan seorang remaja yang menghabiskan masa reman selama 4 tahun atas pertuduhan rogol?

Beliau dilepaskan apabila keterangan dan laporan perubatan menunjukkan mangsa adalah dara. Maka mustahil pernah dirogol. Bukankah laporan perubatan adalah satu dokumen asas yang perlu dibekalkan walaupun tanpa penggubalan Seksyen 51A KAJ. Tetapi kenapa ini masih terjadi? Jawapannya:

  • Pihak Pendakwaan mengambil jalan mudah tanpa mengira keadilan kepada pihak individu awam yang akan didakwa seterusnya mendakwa dengan tanpa bukti yang kukuh. Dalam erti kata lain, pihak Pendakwaan tidak merujuk kepada Kertas Siasatan dan dokumen keseluruhannya sebelum memutuskan bagi meneruskan pertuduhan;
  • Siasatan tidak pernah dijalankan secara terperinci dan konklusi sering dibuat sambil lewa;
Cakap begitu senang tetapi sekiranya Seksyen 51A KAJ tidak diaplikasikan dengan baik oleh pihak pendakwaan mahupun Mahkamah yang Mulia dengan tegas, maka OKT akan terus dianiaya oleh perundangan itu sendiri selain menjadi mangsa cemuhan masyarakat. Seterusnya hilang prinsip perundangan yang pertama "Seorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya".


Adakah pelaksanaannya akan berkesan? Buat masa ini, TIDAK dan bukan salah perundangan, tetapi sikap.

Wednesday, April 16, 2008

Seksyen 117 KAJ: Apa Itu Penahanan Reman


















Ada orang bertanya melalui www.hishamnazir.com mengenai penahanan reman yang dikenakan ke atas saspek jenayah yang biasa dibaca di dada akhbar.

Bila bercakap mengenai penahanan reman atau lanjutan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ), ia adalah suatu penahanan yang membolehkan siasatan lanjut dibuat oleh pihak penguatkuasa (samada polis, kastam, imigresen, BPR dan sebagainya).

Sebelum Seksyen 117 KAJ terpakai, Seksyen 28 KAJ terdahulu di baca dan dilaksanakan yang mana Seksyen 28 adalah peruntukan yang jelas mengenai penahanan saspek yang dibuat oleh pihak polis (samada selepas tangkapan awam. Topik tangkapan akan dibincangkan kemudian) harus dimulakan siasatan ke atasnya. Penahanan tersebut juga tidak boleh melebihi 24 jam dan dalam masa 24 jam tersebut pihak penguatkuasa melakukan sesuatu samada saspek dilepaskan atau diberikan jaminan. Jaminan biasanya dipanggil Jamin Mulut atau Jamin Polis.

Apabila tiada jaminan ditawarkan mahupun difikirkan tidak wajar untuk dilepaskan saspek dalam masa 24 jam tersebut, maka saspek perlu dikemukakan di hadapan seorang Majistret (Masjitret bukan satu-satunya pihak yang berkuasa memberikan kuasa reman. Namun secara praktikalnya Majistret adalah pihak yang bertanggung jawab dalam tugas reman) selaras dengan Seksyen 117 KAJ.

Seksyen 117 KAJ memberikan kuasa kepada pihak penguatkuasa untuk melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas saspek tersebut dengan alasan siasatan masih tidak sempurna dan memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan pihak penguatkuasa. Namun perlu diingatkan bahawa tahanan reman atau lanjutan tidak boleh dibenarkan bagi memulakan siasatan kerana pihak penguatkuasa sudah mempunyai masa 24 jam bagi memulakan siasatan. Namun, secara praktikalnya, siasatan dibuat terdahulu baru tangkapan dibuat.

Dalam permohonan kepada pihak Majistret dalam mendapatkan penahanan reman atau lanjutan reman, pihak penguatkuasa perlu memberikan butiran siasatan yang telah dibuat dan apa yang masih perlu dilakukan serta berapa hari diperlukan bagi berbuat sedemikian. Sehubungan dengan itu, buku catatan harian / siasatan perlu ditunjukkan kepada pihak Majistret sebelum dibenarkan bagi tahanan reman atau lanjutan sebagaimana yang dipohon.

Secara paktikalnya, kesemua itu hanya dibuat apabila saspek diwakili oleh peguam. Praktikalnya pihak Majistret akan membenarkan permohonan pihak penguatkuasa sebagaimana yang dimohon (kecuali menggunakan budibicara dalam menetapkan jumlah hari) walau apa jua alasannya.

Sebab itu pernah satu ketika Kawe hanya tersenyum bila seorang makcik mengeluh di Mahkamah Majitret Petaling Jaya apabila anak beliau yang ditahan bagi urine test pun direman sehingga 10 hari sebelum didakwa di Mahkamah (bagi kes urine, pendakwaan dimulakan tanpa mengetahui samada dadah benar-benar diambil oleh saspek kerana ujian kimia masih belum siap).

Di bawah Seksyen 117 (3) KAJ, pihak Majistret mempunyai kuasa bagi membenarkan satu perintah penahanan reman dibuat ke atas saspek sehingga 14 hari.

Pihak Majistret boleh menolak permohonan reman oleh penguatkuasa sekiranya berpendapat bahawa permohonan tersebut tidak perlu dan kerjasama siasatan daripada pihak saspek masih boleh diperolehi walaupun beliau tidak direman (dalam jagaan pihak polis) dan tiada unsur atau faktor bahawa saspek tersebut akan melarikan diri daripada pihak penguatkuasa.

Praktikalnya, Kawe pernah selisih dengan kes sebegini apabila dihujahkan, Majistret menolak permohonan lanjutan reman ke atas seorang pegawai kanan polis apabila bersetuju dengan hujahan bahawa saspek yang bertugas sebagai pegawai kanan polis itu tertakluk kepada pekerjaannya selaku polis dan sistem pengenalannya yang tidak memungkinkan beliau untuk melarikan diri.

Dalam keadaan lain, ada pihak polis memberikan jaminan polis kepada saspek apabila melihat saspek tidak mungkin akan melarikan diri dan memberikan kerjasama dengan baik. Sementara dalam jaminan polis, saspek mungkin akan dipanggil pada bila-bila masa bagi membantu siasatan.

NOTA: Terlalu banyak mesej mengenai ini. Mohon kerjasama terus kepada email pertanyaan@lawyer.com atau admin@hishamnazir.com atau whatsap +6013-9307961 atau facebook kronies kami di bagi jawapan segera. Nyatakan nama dan no telefon bagi setiap pertanyaan.





Monday, April 14, 2008

Majlis Akikah: Nur Fatihah Amalin bt Mohd Senari

Pada 12.04.2008 Kawe balik tergesa-gesa ke Kelantan. Kereta kesayangan Kawe parking tepi rumah Encik Hamid, Ketua UMNO Puchong Indah dan Nazir Masjid As Salam, Puchong Perdana yang banyak menolong pihak Kawe dalam mengembangkan Silat Seni Gayong di Puchong.

Tujuan Kawe balik Kelantan kali ini adalah bagi memeriahkan dan sekadar meraikan kehadiran anak saudara baru yang baru sahaja dinamakan sebagai Nur Fatihah Amalin (pada 14.04.2008) walaupun sebelum ini nama yang dicadangkan adalah Humairah.

Perjalanan ke Kelantan daripada Puchong mengambil masa 7 1/2 jam. Lama pulak rasanya kecuali rasa bebas yang amat kerana kawe tak susah payah nak pulas stereng kereta besar Kawe.

Bagi meraikan kehadiran Nur Fatihah Amalin, majlis Akikah diadakan pada 13.04.2008 di kediaman mertua aku di Panchor Kemumin dan nyata dimeriahkan dengan rebahnya seekor kambing jantan berbaka kacukan jannabari dan moi. Bila dah sebut baka tu, sendiri mahu ingatlah saiznya. lalu di masak dengan masakan istimewa iaitu nasi arab yang jarang ditemui di mana-mana kedai.

Hari Akikah tersebut dimulakan apabila masing-masing dikejutkan pada jam 5.00 pagi dengan masing-masing sibuk dengan bahagian dapur. Kawe macam biasa, tak tentu arah nak kemana. Mertua kawe pun sound "Se ikut abang Sie gi rumah Tok Guru!"

Maka kawe terpaksa meredah kesejukan air mandi kampung seawal itu bagi membolehkan kawe ikut ke rumah Tok Guru bagi membantu abang ipar kawe dalam menguruskan anak barunya itu di sana.

Memang kebiasaan dan amalan rakyat Kelantan apabila anak baru dilahirkan berkat orang alim dalam agama atau Tok Guru Agama diperlukan. Mungkin atas amalan ini menjadi salah satu sebab pondok-pondok (tempat belajar ilmu agama) di Kelantan segar tanpa dijejaskan dengan arus kemodenan.

Destinasi seawal pagi sabtu itu menuju ke Pulau Melaka (dekat dengan rumah mertua Kawe) yang terkenal dengan seorang Tuan Guru yang menjadi Penjaga kepada pondok Pulau Melaka dan SMU (A) Pulau Melaka iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang juga dikenali selaku Menteri Besar Kelantan. Itulah hebatnya Menteri Besar Kawe, semua orang ada akses untuk bertemu mata dan berbual dengannya.

Itu kali pertama Kawe sembahyang belakang Tuan Guru selain hari Jumaat. Seperti biasa sembahyang subuh di imamkan sendiri oleh Tuan Guru dan beberapa potongan ayat daripada suruh Yaasin dibaca semasa mengimaminya. Tidak seperti pada pagi jumaat, Tuan Guru hanya memberikan tazkirah dengan menerangkan dan memperjelaskan ayat-ayat bacaan yang dibaca semasa sembahyang tadi dengan ringkas dengan tidak menghadap makmumnya yang memenuhi masjid. Tazkirah dibuat antara selepas Zikir dan sebelum Doa.

Selesai berdoa, kawe nampak beberapa kelibat lelaki membawa anak-anak kecil. Nampaknya tanggapan kawe tersasar, ingatkan hari jumaat je yang anak kecil dibawa untuk dicukur kepala, pecah langit dan didoakan (Kekadang Tuan Guru turut menamakan anak kecil tersebut). Agak ramai juga pada pagi itu.

Setelah selesai, Nur Fatihah Amalin @ Humairah di bawa ke rumah dan dicukur licin oleh datuknya. Kenduri akikah bermula seawal jam 7.30 pagi dan selesai jam 7.00 malam walaupun aturcara majlis cuma antara jam 9.00 pagi dan 10.00 pagi.

NUR FATIHAH AMALIN "HUMAIRAH" BINTI MOHD SENARI
◄ Newer Post Older Post ►