Friday, March 25, 2022

[1124.22] BOLEH ATAU TIDAK AHLI WARIS YANG LAYAK MENERIMA BAHAGIAN MENARIK DIRI DAN MENYERAHKAN BAHAGIANNYA KEPADA AHLI WARIS LAIN


Persoalan di atas adalah berkaitan dengan konsep al-Takharuj yang dapat disimpulkan sebagai persetujuan bersama dalam kalangan ahli-ahli waris dalam menarik diri salah seorang ahli waris tersebut atau lebih daripada seorang daripada mengambil bahagian yang layak dalam harta pusaka.
Cara ini memberi makna bahawa ahli-ahli waris yang menarik diri tersebut sebagai menolak hak mereka daripada menerima bahagian yang layak dalam faraid, untuk diberikan kepada ahli waris yang lain, terhadap harta pusaka si mati.
Namun, sebagai balasan, diberikan kepada ahli waris yang menarik diri ini bahagian tertentu daripada harta pusaka itu sendiri atau bersumberkan daripada harta selain daripada harta pusaka, iaitu diambil daripada harta waris yang menerima penolakan tersebut. Balasan juga boleh diberikan dalam bentuk imbuhan atau dalam bentuk ganti rugi sebagai ganti tidak mengambil bahagian dalam menerima bahagian yang sepatutnya diterima.
Ahli waris yang menarik diri daripada menerima bahagian dengan memberikan kepada ahli waris lain juga boleh berbuat sedemikian tanpa menerima sebarang balasan. Allah telah berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128, mafhumnya: -
“Maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”
Konsep al-Takaharuj ini dibenarkan dalam Islam dengan syarat semua waris yang layak dan terlibat dalam menerima bahagian di dalam harta pusaka tersebut, bersetuju.
NOTA: Gambar sekadar hiasan sahaja


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►