Tuesday, November 16, 2021

[1033.21] JENAYAH JUVANA- PROSEDUR MAHKAMAH


Negara kita mempunyai mahkamah khas untuk mendengar kes-kes jenayah yang dilakukakan oleh kanak-kanak dan ia dikenali sebagai Mahkamah Kanak-Kanak (Mahkamah Juvana).
Jenayah juvana ialah suatu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak. Dalam hal ini, mereka yang dikategorikan sebagai kanak-kanak ialah mereka yang berusia di bawah 18 tahun pada ketika jenayah itu dilakukan seperti mana yang didefinisikan di bawah Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2001. Namun, dalam kes yang akan dihadapkan di mahkamah kanak-kanak, hanya mereka yang berumur antara 10 hingga 17 tahun sahaja yang dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana mereka yang berumur di bawah 10 tahun dikatakan tidak berupaya untuk berfikir dan mereka diandaikan tidak berkemampuan untuk melakukan jenayah.
Mahkamah kanak-kanak mesti dikendalikan secara tertutup, dan tidak boleh sama sekali untuk dihadiri oleh orang ramai yang tiada kaitan dengan kes yang dibicarakan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (3) Akta Kanak-kanak 2001. Penggunaan istilah undang-undang yang kompleks juga akan dielakkan dan digantikan dengan penggunaan istilah yang lebih senang difahami sepanjang perbicaraan untuk memastikan kanak-kanak tersebut benar-benar faham akan apa yang sedang berlaku ke atas dirinya. Komposisi Mahkamah Kanak-kanak akan terdiri dari seorang Majistret dan dalam kes-kes tertentu, terdapat dua orang penasihat akan membantu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 (2) dan seorang daripada pembantu tersebut mestilah seorang wanita.
Dalam persidangan di Mahkamah Kanak-kanak ini, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut diwajibkan untuk hadir supaya kanak-kanak tersebut lebih yakin dalam memberi keterangan dan mengurangkan rasa takut yang dialami kanak-kanak tersebut. Kegagalan ibu bapa untuk hadir akan menyebabkan ibu bapa tersebut dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 88 (5) Akta Kanak-Kanak 2001.
Nota: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►