Wednesday, October 14, 2020

[690.20] UNDANG-UNDANG PENGHARAMAN ARAK DAN JUDI DI MALAYSIA


Penguatkuasaan undang-undang bagi mengharamkan arak untuk menghindari masalah pemandu mabuk bukan jalan penyelesaian yang tepat bagi permasalahan tersebut. Hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan pemandu mabuk yang didapati memandu dibawah pengaruh alkohol adalah lebih wajar untuk dilaksanakan kerajaan.
Ini kerana pengharaman arak akan membuka sektor-sektor penyeludupan arak dengan lebih pesat dan meluas dimana ia akan melonjak kepada lebih banyak permintaan di pasaran gelap. Kita dapat lihat terdapat penyeludupan dan pengedaran dadah di Malaysia dengan skala besar-besaran sama seperti kegiatan pemprosesan dan penyalahgunaan ketum. Mengapa pengharaman dadah tidak dapat mengehentikan salah guna dadah? Bagaimana pengedar dadah dapat membawa masuk dadah ke dalam Malaysia tanpa dapat dihidu oleh pihak berkuasa?
Bagi pengharaman kegiatan judi pula, terdapat banyak premis-premis judi haram yang sudah lama bertapak di Malaysia dengan alasan tidak lain tidak bukan mereka tidak mahu mengikuti undang-undang bagi mendapatkan lesen untuk membuka premis judi yang sah.
Oleh itu, dapat kita lihat jika pengharaman secara menyeluruh dilakukan terhadap kegiatan judi, ini akan menyebabkan peletusan permintaan judi haram di Malaysia yang akan melibatkan lebih banyak kegiatan jenayah lain seperti kes rasuah bagi memastikan kegiatan haram mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa contohnya seperti di dalam kes Pendakwa Raya (SPRM, Negeri Melaka ) v. Mohd Azani Bin Mohd Khalid (2020) di Mahkamah SPRM iaitu defendan adalah seorang polis berpangkat sarjan didenda RM20,000.00 setelah mengaku bersalah menerima suapan RM4,000.00 bagi satu kes dadah.
Tidak dapat dinafikan kedua-dua perkara tersebut hukumnya adalah haram di dalam Islam bagi umat Islam tetapi pengharaman kedua-kedua perkara tersebut hanya boleh dilaksanakan jika pihak-pihak penguatkuasa dalam perkara tersebut dapat memastikan pasukannya dalam agensi kerajaan supaya lebih amanah dan berintegriti. Bukan lah untuk menunding jari bagi penyebab permasalahan tersebut tetapi seperti kita dapat lihat sepanjang tahun 2020 ini terdapat banyak laporan berita di mana pihak-pihak penguatkuasa yang direman kerana menerima suapan bagi melindungi kegiatan judi tanpa lesen.
Walaubagaimanapun, integriti dan amanah ianya sama sekali adalah dari individu tersebut masing-masing dan bukanlah keseluruhan agensi.
Kesimpulannya, pengharaman bagi kedua-dua kegiatan akan membawa kepada lebih banyak kegiatan jenayah untuk berlaku tidak kira sama ada penyeludupan arak atau kegiatan judi haram, ianya juga akan menyebabkan peratusan rasuah dalam kalangan agensi kerajaan untuk meningkat. Oleh itu, kerajaan Malaysia perlu fokus terhadap hukuman yang lebih berat dan memastikan setiap anggota agensi kerajaan menitik beratkan prinsip amanah dan integriti.
Aainaa Ozaimudi
Pelatih Dalam Kamar
Subang Jaya, 2020


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►