Jika seseorang dituduh melakukan jenayah di Mahkamah, tertuduh akan diberikan waran atau saman untuk hadir ke Mahkamah berdasarkan tuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh tersebut. Setelah tertuduh hadir ke Mahkamah bagi sebutan kes, tertuduh diberi pilihan untuk mengaku bersalah atau minta dibicarakan. Oleh itu, bagi situasi di mana OKT minta dibicarakan, tarikh baru akan diberikan oleh Mahkamah dan wakil pihak OKT akan memohon jaminan dari mahkamah bagi membolehkan OKT bebas sementara dari tahanan pihak polis.
Walaubagaimanapun, tidak semua kesalahan jenayah boleh diberikan jaminan Mahkamah. Perlu dirujuk Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), Jadual Pertama di Bahagian ke-5 di mana perkataan “bail”, “not bailable” dan “unbailable” digunakan. Kesalahan jenayah yang harus diberi jaminan Mahkamah akan disenaraikan sebagai “bailable”. Manakala, “not bailable” bagi kesalahan yang memerlukan budi bacara Mahkamah.
Oleh itu, kesalahan-kesalahan yang disenaraikan sebagai “bailable” seperti di dalam kes Mohd Jalil Bin Abdullah & Ors v PP [1996] 4 MLRH 713 di mana Mahkamah memutuskan seseorang yang dituduh melakukan kesalahan yang boleh diberi jaminan berdasarkan Akta 593, berhak mendapat jaminan Mahkamah. Pihak Mahkamah tidak boleh mempunyai keraguan untuk memberikan jaminan atau tidak bagi kesalahan “bailable”.
Berbeza dengan kesalahan yang disenaraikan sebagai “not bailable” iaitu Mahkamah mempunyai budi bicara penuh terhadap kesalahan-kesalahan tersebut untuk memberikan jaminan atau tidak. Tetapi Seksyen 388(1) Akta 593 menyatakan kesalahan yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup tidak boleh diberikan jaminan dimana kesalahan-kesalahan tersebut adalah “unbailable”.
Tetapi terdapat kes yang mengejutkan Malaysia sebagai penanda aras baharu seperti kes PP v Dato Balwant Singh (2002) 1 MLRH 505 di mana tertuduh bagi kes bunuh diberikan jaminan Mahkamah setelah Mahkamah mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh. Baru-baru ini seperti di dalam rayuan Samirah Muzaffar v PP [supra] iaitu kes bunuh bagi CEO Cradle Fund, tertuduh juga telah diberikan jaminan Mahkamah walaupun bagi pertuduhan yang membawa kepada hukuman mati kerana tertuduh adalah seorang wanita.
Kesimpulannya, perlu diambil kira rukun (tenet) dalam undang-undang bahawa individu yang dituduh melakukan kesalahan jenayah adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Oleh itu, jaminan bukanlah satu perintah untuk menghukum atau melepaskan seseorang tertuduh daripada tuduhan yang dikenakan seperti mana yang difahami segelintir masyarakat tetapi ianya adalah satu jaminan agar tertuduh hadir ke Mahkamah pada hari bicara.
Aainaa Ozaimudi
Pelatih Dalam Kamar
Subang Jaya, 2020
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..