Thursday, August 30, 2018

[178.18] PANEL 9 HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN BAGI KES MELIBATKAN PERLEMBAGAAN


Kuala Lumpur: Badan Kehakiman mencipta sejarah tersendiri semalam, apabila buat pertama kali panel sembilan hakim bersidang mendengar kes rujukan membabitkan isu perlembagaan.
Panel itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.
Turut bersidang, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun.
Mahkamah turut membenarkan jurugambar media mengambil foto barisan panel hakim sebelum prosiding bermula pada jam 9.30 pagi.
Prosiding semalam membabitkan kes rujukan dikemukakan syarikat perkapalan JRI Resources Sdn Bhd terhadap Kuwait Finance House (M) Bhd.
Pertelingkahan di antara kedua-dua belah pihak bermula apabila KFH mendakwa JRI Resources dan dua pihak lagi gagal membuat pembayaran kepadanya mengikut fasiliti perbankan Islam.
JRI dibenarkan untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan sama ada keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara yang dikatakan mengikat mahkamah tinggi sivil dalam pertelingkahan komersial di antara kedua-dua belah pihak adalah berperlembagaan atau sebaliknya.
Keputusan majlis penasihat adalah berdasarkan Seksyen 56,57 dan 58 Akta Bank Negara 2009.
Terdahulu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili JRI Resorces dalam hujahannya berkata, berdasarkan kepada kedua-dua seksyen itu, membuktikan bahawa peranan majlis penasihat melangkaui fungsinya dalam menentukan undang-undang Islam melalui persoalan syariah.
Beliau berkata, ia sehubungan itu mewajibkan Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan syariah kepada majlis penasihat yang kemudian mengikat mahkamah berkenaan.
“Peruntukan ini secara efektifnya mengambil alih fungsi dan kuasa kehakiman,” katanya.
Sementara itu, peguam Yoong Sin Min mewakili KFH berhujah, peranan majlis penasihat hanya menentukan undang-undang syariah membabitkan perniagaan berunsurkan syariah dan bukannya membuat keputusan atau mengguna pakai undang-undang ke atas fakta kes yang dibawa ke Mahkamah Tinggi.
HMETRO.COM.MY
Kuala Lumpur: Badan Kehakiman mencipta sejarah tersendiri semalam, apabila buat pertama kali panel sembilan hakim bersidang mendengar kes rujukan membabitkan isu perlembagaan.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►