Friday, October 6, 2017

Program:Ala Carte Pagi

Program:Ala Carte Pagi
Tetamu: Tuan Hisham Nazir, peguambela dan peguamcara
Topik: Kesalahan Juvana dan hukumannya.
Soalan:
1. Jenayah Juvana ini diperuntukkaan di bawah akta apa, dan terangkan mengenainya.
Sistem keadilan juvenil telah dilaksanakan di Malaysia di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90) yang berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia (1949), Sabah (1972) dan Sarawak (1986) dan kini Akta tersebut telah dimansuhkan menjadi Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini memainkan peranan yang besar dalam memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia ini tanpa mengira bangsa atau agama mendapat perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, untuk membolehkannya turut serta dalam pembangunan negara dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.
2. Siapakah yang boleh disabitkan di bawah jenayah Juvana?
- Memandangkan Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90) telahpun dimansuhkan dengan Akta Kanak-Kanak 2001, istilah Juvana tidak digunakan lagi namun menurut Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001, seorang kanak-kanak yang berhubung dengan prosiding jenayah adalah seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan.
- Seksyen 82 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak yang berumur di bawah 10 tahun. Hal ini kerana terdapat suatu anggapan bahawa kanak-kanak ini tidak berupaya melakukan kesalahan jenayah yang dianggap sebagai doli incapax dan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Manakala Seksyen 83 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh kanak-kanak berumur lebih daripada 10 tahun dan kurang daripada 12 tahun yang belum cukup matang pemahamannya untuk membuat pertimbangan mengenai keadaan dan akibat perbuatannya pada masa itu, adalah tidak menjadi suatu kesalahan namun peruntukan dalam seksyen ini adalah tidak mutlak dan boleh dipertikaikan.
- Berdasarkan peruntukan di bawah kedua-dua Seksyen 82 dan 83 tersebut, dapat difahami bahawa kanak-kanak yang berumur lebih daripada dua belas tahun tetapi di bawah lapan belas tahun boleh dikenakan tanggungan jenayah sekiranya disabitkan kesalahan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.
3. Apakah jenis hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah?
- Berdasarkan Seksyen 91(2) Akta Kanak-Kanak 2001, perkataan “sabitan” dan “hukuman” tidak boleh digunakan berhubung dengan seseorang kanak-kanak maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, dalam hal seseorang kanak-kanak, ditafsirkan masing-masing sebagai seseorang kanak-kanak yang didapati bersalah, suatu dapatan bersalah dan perintah yang dibuat berdasarkan suatu dapatan bersalah.
- Antara jenis-jenis perintah yang boleh dikenakan kepada pesalah kanak-kanak adalah seperti denda, sebatan, penjara atau kemasukkan ke Sekolah Henry Gurney/Tunas Bakti
- Jika kanak-kanak itu didapati bersalah dan diperuntukkan perintah sebatan terhadapnya maka peraturan-peraturan di bawah Seksyen 92 Akta Kanak-Kanak 2001 tentang cara melaksanakan sebatan haruslah dipatuhi.
- Hukuman mati tidak boleh diumumkan atau direkodkan terhadap seseorang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan jika pada hemat Mahkamah dia ialah seorang kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan dan sebagai ganti hukuman mati, Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya seseorang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan ditahan di penjara selama yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan atau Raja atau Yang Di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di Negeri itu mengikut Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.
- Untuk maklumat umum, Mahkamah Bagi Kanak-kanak hanya boleh mendengar perbicaraan semua jenis kesalahan kecuali kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati. Oleh itu, bagi kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati seperti kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau kesalahan pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pesalah kanak-kanak tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk perintah berdasarkan dapatan kesalahan itu.
- Sebagai contoh, dalam kes Pendakwaraya lwn ......................... & Anor [2010] 8 MLJ 1, pesalah kanak-kanak ini dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh si mati, .......................... dengan menggunakan sebatang kayu dan tali pinggang. Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah. Oleh itu, pesalah kanak-kanak ini diperintahkan supaya ditahan di penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang Di-Pertua Negeri of Sabah sebagai ganti kepada hukuman mati yang disabitkan ke atasnya menurut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001.
- Jelaslah bahawa pesalah kanak-kanak tidak akan diperintahkan dengan hukuman gantung sampai mati, hal ini kerana untuk menegakkan hak asasi kemanusiaan di bawah Artikel 37 Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak yang melarang hukuman mati dan penjara seumur hidup dikenakan terhadap pesalah kanak-kanak.
- Mengikut Seksyen 83(2) Akta Kanak-Kanak 2001, apabila seseorang kanak-kanak dipertuduh atas suatu kesalahan di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan semasa kes sedang berjalan dia telah mencapai umur 18 tahun maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah terus mendengar pertuduhan terhadap kanak-kanak itu dan boleh memerintahkan supaya kanak-kanak yang sudah mencapai umur 18 tahun tetapi belum mencapai umur 21 tahun pada tarikh dibuat perintah itu ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 21 tahun seperti kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 76, Mahkamah juga boleh menjalankan kuasa di bawah Seksyen 91 iaitu seperti memberikan amaran dan melepaskan kanak-kanak itu apabila dia menyempurnakan suatu bon untuk berkelakuan baik dan untuk mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan oleh Mahkamah, memerintahkan supaya kanak-kanak itu membayar denda, pampasan atau kos, jika kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan maka Mahkamah boleh mengenakan apa-apa tempoh pemenjaraan seperti yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Seksyen.
- Sebagai contoh di dalam kes ......................... v PP [2016] MLRAU, perayu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Hakim Percubaan mendapati bahawa perayu bersalah dan mensabitkannya. Walaubagaimanapun, pada masa yang material, perayu berusia 15 tahun 11 bulan dan ini bermaksud perayu masih di bawah kategori kanak-kanak.
- Oleh itu, menurut Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), hukuman yang diberikan kepada perayu adalah hukuman penjara di bawah kerelaan TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Perayu merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukumannya namun Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut dan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
4. Jenis-jenis jenayah yang dilakukan oleh pesalah yang membolehkan mereka disabitkan kesalahan?
Tidak kira apa jenis kesalahan yang dilakukan oleh pesalah itu asalkan kesalahan itu melanggar undang-undang Kanun Keseksaan (Bagi Kesalahan Jenayah) atau mana-mana Undang-Undang Bertulis di Malaysia maka seseorang itu boleh disabitkan kesalahan oleh pihak Mahkamah.
Kebanyakkannya jenis kesalahan jenayah yang sering dilakukan di kalangan kanak-kanak adalah seperti merogol, mencuri, merompak, malah kesalahan yang serius seperti membunuh juga dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh yang terkini iaitu kes pembunuhan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
5. Di manakah pesalah-pesalah ini ditempatkan?
- Apabila seseorang kanak-kanak itu didakwa atas sesuatu tuduhan maka kanak-kanak itu hendaklah pada lazimnya ditahan dalam jagaan di sesuatu tempat tahanan yang ditubuhkan dan ditetapkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan yang terletak di Negeri yang sama di mana terletaknya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang telah memerintahkan supaya kanak-kanak itu ditahan seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 58(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen 2 Akta yang sama turut mendefinisikan tempat tahanan sebagai tempat penginapan di balai polis, bilik kurungan atau lokap polis yang berasingan atau terpisah daripada pesalah-pesalah dewasa. Tempat tahanan yang dimaksudkan ini adalah untuk kanak-kanak selepas ditangkap dan semasa menunggu dibicarakan di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang tidak dilepaskan di bawah mana-mana jaminan seperti di bawah Seksyen 86(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
- Seksyen 85 Akta Kanak-Kanak 2001 telah memberikan suatu peruntukkan khas iaitu pengasingan kanak-kanak daripada orang dewasa semasa berada di balai polis atau Mahkamah. Kanak-Kanak ini haruslah dihalang daripada bergaul dengan seseorang dewasa yang dipertuduh atas sesuatu kesalahan dan jika seseorang kanak-kanak itu adalah seorang perempuan, semasa ditahan atau dibawa sedemikian, atau menunggu, berada di bawah jagaan seorang wanita.
- Apabila proses perbicaraan sudahpun selesai dan kanak-kanak itu jika didapati bersalah dan dia adalah seorang kanak-kanak di bawah 18 tahun tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, mereka tidak akan dipanggil orang kena tuduh (OKT) atau perkataan sabit dan walaupun ada kesalahan jenayah tidak boleh dikira sebagai rekod jenayah seperti pesalah dewasa yang melakukan kesalahan yang sama. Jika kanak-kanak yang berusia 14 tahun dan ke atas telah tertuduh melakukan sesuatu kesalahan di sisi undang-undang dan didapati bersalah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara akan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak atau Sekolah Henry-Gurney sehingga mencapai umur 21 tahun seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 73 Akta Kanak-Kanak 2001. Bagi kanak-kanak yang didapati bersalah dan berumur lebih 10 tahun tetapi kurang 14 tahun pula hanya boleh ditempatkan di asrama akhlak dan sekolah yang diluluskan mengikut Seksyen 67 Akta Kanak-Kanak 2001.
- Penahanan pesalah kanak-kanak di penjara pula hanya boleh dilakukan sekiranya tiada hukuman lain yang lebih sesuai seperti denda atau dihantar ke suatu tempat tahanan atau sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney mengikut Seksyen 96(2) Akta Kanak-kanak 2001. Hal ini bermakna, sekiranya hukuman lain itu adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya, maka hukuman penjara tidak layak dikenakan terhadap pesalah kanak-kanak itu. Selain itu, di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, pesalah kanak-kanak boleh dimasukkan ke penjara sebagai ganti kepada hukuman mati yang dijatuhi oleh mahkamah. Sekiranya pesalah kanak-kanak dimasukkan ke penjara ia hendaklah diasingkan dan tidak dibenarkan bergaul dengan banduan-banduan biasa seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 96(3) Akta Kanak-kanak 2001.
6. Bagaimana pesalah juvana ini boleh kembali semula ke pangkuan masyarakat?
- Walaupun pesalah kanak-kanak ini telah melakukan kesilapan terbesar dalam kehidupan mereka namun tidak semestinya dengan menerima perintah Mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya membuatkan kehidupan mereka pada masa hadapan gelap-gelita. Stigma ‘bekas pesalah kanak-kanak’ di kalangan masyarakat haruslah dibuang untuk memberikan pesalah kanak-kanak ini peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan mereka dan seterusnya memberi harapan baru buat mereka untuk meneruskan kehidupan.
- Semasa berada di dalam tahanan iaitu sama ada di dalam penjara mahupun Sekolah Henry Gurney, pesalah kanak-kanak ini akan diberikan pendekatan kepada pendidikan akademik, kelas vokasional, kelas kerohanian, kelas fizikal dan juga perkhidmatan kaunseling sebagai suatu langkah persediaan buat mereka untuk kembali kepada masyarakt apabila sudah tamat tempoh tahanan bagi perintah untuk dapatan kesalahan yang diberikan oleh Mahkamah.
- Sebagai contoh, seorang pesalah kanak-kanak di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka yang terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal dan dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney sebagai suatu perintah atas kesalahanya pada September 2013 berjaya memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015. Pesalah kanak-kanak ini berjaya membuktikan bahawa dengan bergelar seorang pelajar Sekolah Henry Gurney tidak mematahkan semangatnya untuk berubah menjadi seornag insan yang lebih baik dan berusaha untuk berbakti pada Negara dan keluarga apabila sudah dibebaskan kelak.
- Dapat disimpulkan bahawa setiap manusia mampu berubah jika mereka berusaha kearah perubahan itu dan segalanya terletak kepada pesalah kanak-kanak itu sendiri dalam mencorak langkah mereka untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat walaupun pada hakikatnya, cemuhan dan tanggapan negatif dari kalangan masyarakat tetap akan dirasai namun pesalah kanak-kanak itu haruslah kuat untuk menempuh dugaan hidup dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu lagi.
NOTA: Sedikit outline disusun oleh Chambie, Siti Baizuria. Tidak sempat digunakan semasa interview pun tetapi banyak boleh memberi input yang baik kepada orang awam

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►