Friday, April 7, 2017

IBU TUA & ANAK DI BILIK AKHIR


Hadir untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan hari ini. Melihat seorang ibu tua di kerusi panjang luar bilik Mahkamah Rayuan.

Nampak sudah lama sampai dari jauh. Demi anak yang tersalah arah. Ditangan ibu tua ini tasbih panjang yang dipegang dan dizikirkan. Sudah tentu itu doa ibu dengan penuh harapan yang tinggi.

Harapan yang satu agar anaknya diberikan peluang kedua dan terlepas dari tali gantung.

Ibu tua ini kelihatan letih dan penat mungkin kerana umurnya amat lanjut. Tiada pula kelihatan peneman bersamanya. Adakah ia hadir sendirian..

Tapi itulah kasih ibu kepada anaknya. Siapa pun anaknya, baginya anak tetap perlukannya. Hadirnya mungkin tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada hujahan kes tetapi hadirnya dengan doa yang tinggi agar keajaiban Allah SWT berlaku.

Pada ketika ini, saya faham bahawa si anak yang kini separuh kaki ke bilik gantung amat-amat memahami kasih sayang ibu dan bapanya.

Keadaannya kini membuatkan dia amat memahami bagaimana ibu dan bapanya mengambil berat tentangnya.

Kini dia faham kenapa ibu dan bapanya pernah menasihati itu dan ini yang satu ketika si anak pernah menolak untuk mendengar kata dengan menyatakan ibu dan bapa kolot dan tidak memahaminya.

Adakah berbaloi untuk memahami kasih sayang ibu bapa pada saat ini. Mungkin amat lewat tetapi itu lebih baik daripada pergi tanpa restu dan ampun mereka. Sekurangnya ada sedikit masa untuk bertaubat.

Anak, tiada yang buruk daripada ibubapa mu. Hormati nasihatnya. Satu hari kamu akan memahaminya dengan lebih baik.
 — with Emelia KhalidHisham Nazir and Ummu Nuqman Al Rumaisa at Istana Kehakiman, Putrajaya.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►