Friday, April 7, 2017

“KESAN DAN PENGARUH URF TERHADAP HUKUM”


1. MAKSUD AL-’URF

Perkataan 'urf berasal dari perkataan Arab 'arafa yang bererti mengetahui. Al-Jurjani di dalam kamus istilahnya al-Ta'rifat, menjelaskan istilah 'urf sebagai perbuatan atau kepercayaan dalam mana orang berpegang teguh dengan persetujuan kekuatan mental dan tabiat semula jadi mereka juga mahu menerimanya sebagai benar. 

‘urf dari sudut bahasa disebutkan sebagai “sesuatu yang dipandang baik serta perkara yang dapt diterima oleh akal yang sihat”. Manakala sudut Istilah, Al-’urf pada istilah ulamak fiqh ialah “amalan atau percakapan sesuatu kaum yang menjadi kebiasaan mereka”

Allah SWT berfirman dan menyebut dan menggunakan Al ‘urf ini sebagai sesuatu yang baik.



Maksud: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
[Surah Al Araaf: 199]

Daripada maksud ini difahami bahawa ’urf tidak wujud melainkan apabila ia benar-benar berlaku antara manusia di tempat yang tertentu ataupun yang biasa berlaku oleh sebahagian besar penduduk mengerjakan ‘urf ini dan mematuhinya dalam tempoh masa yang panjang.

Imam Al Ghazali pula mentakrifkan Al ‘urf sebagai “sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran dan diterima oleh tabiat sejahtera.”

Wahbah al-Zuhayli di dalam bukunya al-Mustasfa min 'Ilm al-Usul antara lain mendefinisikan 'urf sebagai kebiasaan yang diterima umum dan berakar umbi dalam masyarakat. Abu Zahrah menghuraikan 'urf sebagai perkara yang menjadi kebiasaan orang ramai dalam transaksi (mu'amalah) dan mereka bersikap konsisten dalam urusan mereka.

3. BEZA AL ‘URF DAN AL ADAH (ADAT)

Istilah adat sebenarnya berasal dari perkataan Arab al-'awd yang bererti berulang-ulang. Menurut Ibn Manzur perkataan adat sinonim dengan al-daydan iaitu kebiasaan.

Majoriti Ulamak fiqh menyamakan antara al ‘urf dan al adah tetapi ada ulamak membezakan keduanya dengan takrifan dan pemakainannya.

Adat dari segi bahasa bermakna berulang kali. Ia merupakan nama kepada pengulangan perbuatan berkali-kali.

Manakala sudut Istilah, apa sahaja yang menjadi amalan kebiasaan orang ramai atau segolongan daripada mereka, sesuatu perbuatan atau perkataan yang berterusan dilakukan oleh manusia yang mana ia dapat diterima oleh akal manusia atau sesuatu yang dilakukan secara berulang-ulang.

Ulamak fiqh antara lain membezakan keduanya antaranya:

a) Al-Adah itu kemungkinan atau kadang kala lahir daripada orang perseorangan serta kumpulan orang ramai. Manakala al-Urf pula kemungkinan lahir melalui orang ramai sahaja.

b) Setengah ulama menyatakan al-Adah hanya tertumpu kepada perbuatan sahaja. Manakala al-Urf pula kebiasaannya tertumpu pada perkataan sahaja.

Biarpun dibezakan tetapi ia mempunyai kesamaan yng hampir keseluruhannya ialah adalah perbuatan dan tindakan yang dilakukan berulangan sehingga ia sebati dengan jiwa, membawa keterangan kepada masyrakat dan juga diterima oleh akal yang waras. Ia boleh menjadi hukum dan hujah apabila tidak bertentangan dengan syarak.

4. Al URF SEBAGAI HUJAH DAN HUKUM

Yang dimaksudkan dengan kehujahan ‘urf sebagai sumber ialah beramal dengannya. ‘Urf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum-hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat semasa dan setempat berubah.

Justeru, mana-mana ‘urf yang bertentangan dengan nas atau hukum mestilah ditinggalkan. Firman Allah SWT:



Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”

Ulama Hanafi dan Maliki menerima ’urf sebagai hujah hukum. ’Urf yang betul dan tidak bertentangan dengan syarak mestilah diambil kira dalam pembinaan hukum dan membuat keputusan. Maka ijtihad boleh dilaksanakan dalam menentukan hukum berdasarkan bantuan dan tambahan al urf.

Contoh penerimaan- Pembayaran diyat sebagai gantirugi:
Syarak mengambil kira dan menjaga adat kebiasaan orang Arab yang baik serta tidak bertentangan dengan hukum seperti mewajibkan bayaran diyat terhadap aqilah iaitu keluarga pembunuh.

Contoh penolakan al urf fasid – Amalan Riba dalam muamalah
Amalan riba adalah amalan biasa dalam urusniaga masyarakat arab tetapi apabila Islam datang, Islam bukan sahaja menolak menerima amalan yang menindas itu tetapi terus mengharamkannya secara total.

Bagi ulama Syafie dan Hanbali pula, meraka tidak menjadikan ’urf ini sebagai hujah dalam mengeluarkan suatu hukum.

Selain itu,urf tidak akan dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil syarak dan hukumnya yang tetap dan tidak berubah dengan sebab berlainan suasana dan adat-adat,kerana berhujah dengannya bererti membelakangkan nas-nas syarak yang qat’iyy dan mengikut hawa nafsu serta membatalkan syariat-syariat kerana syariat tidak datang untuk memperakui perkara-perkara yang mudharat dan rosak. Oleh yang demikian diketepikan ’urf itu dan tolong-menolong menghapuskannya,kerana redha dengannya bererti tolong-menolong melakukan perkara dosa dan permusuhan, ini dilarang oleh Islam.

Dalam semua sudut amalan dan adat yang baik dalam perniagaan, sistem kehakiman dan kemasyarakatan terdapatnya adat-adat setempat yang berbeza dengan tempat dan iklim.

Manakala masyarakat pula berkehendakkan adat tersebut selaras dengan matlamat disyariatkan hukum ialah memperbaiki keadaan manusia, menegakkan keadilan diantara mereka dan menolak kesempitan daripada mereka, maka sekiranya adat dan ‘urf ini tidak diterima masuk sebagai hukum, maka jadilah kesempitan dalam perlaksnaaan hidup harian berdasarkan amalan biasa dan syariat akan menjadi bertentangan dengan matlamat pembinaan hukum

Oleh itu, Islam telah memperakui banyak perkara yang telah menjadi kebiasaan orang-orang Arab melakukannya sebelum Islam dengan meneruskan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syarak urusan jual beli, gadaian, sewaan, pernikahan dan sebagainya. Manakala perkara yang bertentangan dengan syarak dan mendatangkan kemudharatan atau merosakkan seperti riba, berjudi, membunuh anak-anak perempuan dan menghalang perempuan daripada menerima pusaka ditolak dan dihapuskan oleh kedatangan Islam.

Namun terdapat banyak perbezaan pandangan dalam menggunakan hujah al urf dalam urusan yang mana telah diamalkan dalam sesuatu kaum tetapi tiada nas yang melarang mahupun membenarkannya. Ijtihad para ulamak fiqh memberikan banyak perbezaan pandangan dalam isu ini.

Contoh – Jual beli barangan tanpa adanya barangan
Masyarakat arab membiasakan adat menjalankan perniagaan sebegini. Islam telah mengharamkannya kerana mempunyai unsur gharar kerana ketiadaan barang semasa urusan tersebut dan boleh membabitkan penipuan. Tetapi dalam masa yang sama, Islam membenarkan urusan berkenaan dengan sedikit syarat tambahan kepada urusan berkenaan dalam sudut membenarkan bai’ salam.

Penerimaan al urf sebagai hujah bukanlah suatu yang mutlak. Bagaimanapun ulamak fiqh telah menetapkan beberapa syarat sebelum ia diterima sebagai hukum. Syarat-syarat am tersebut adalah seperti berikut :

a) Al urf mestilah “mudtaridan” (مضطردا) dan “ghaliban (غالبا)”

Mudtaridan bermaksud bersifat menyeluruh dan dapat digunapakai secara umum, tersebar luas dan diketahui semua. Manakala “ghaliban” pula bermaksud majoriti iaitu diamalkan oleh majoriti manusia.

Contoh – amalan perkahwinan, bertunang dan sewaan

b) Al ‘Urf itu mestilah tidak bertentangan dengan nas syarak

Al ‘urf itu hendaklah tidak bertentangan dengan nas yang jelas, dalil-dalil syarak yang lain dan kaedah-kaedah fiqh yang telah ditetapkan oleh ulamak fiqh dan syarak. Jika ia bertentangan dengan perkara tersebut, maka al-‘Urf itu tertolak dan tidak boleh digunapakai dalam syarak sebagai hukum.

Contoh – Menghapuskan dan mengharamkan amalan riba

c) Al ‘Urf yang menjadi sandaran mestilah wujud dan diamalkan semasa hukum dikeluarkan melaluinya.

Al ‘urf tersebut mestilah diamalkan secara meluas dan secara majority oleh masyarakat setempat sama ada yang berbentuk perkataan atau perbuatan semasa sesuatu hukum dikeluarkan melaluinya, jika sesuatu hukum dikeluarkan melalui ‘urf yang sudah tidak diamalkan lagi maka hukum tersebut tidak dianggap “muhakkamah”.

Contoh- Pemakaian adat carian laki bini, duit laki bini dan beberapa adat lain di Nusantara Melayu yang membawa kepada hukum setempat dalam harta sepencarian.

d) Tidak ada sesuatu yang mengingkari (membatalkan) al ‘urf

Al urf pada masa tersebut adalah bersih daripada apa-apa yang membatalkan al ‘urf berkenaan.

Contoh – Jika ‘urf untuk urusan di kedai tertentu adalah berbentuk ansuran, maka al urf itu terbatal sekiranya pembeli membayar secara tunai

e) Hendaklah Urf itu merupakan sesuatu yang pasti

Al ‘urf yang digunakan adalah suatu yang diamalkan sebahagian Negara da setempat walaupun tidak keseluruhan yang mengamalkannya tetapi pandangan masyarakat yang menggunakannya wajib (mulzaman) untuk memakai adat berkenaan bagi keselesaan hidup dan keteraturan hidup mereka. Syarat ini hanya terdapat dalam fiqh Maliki dan Hanafi.

Contoh- Isu hukum harta sepencarian di Malaysia.

5. PERANAN AL ‘URF DALAM PENETAPAN HUKUM

Urf mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah perkembangan fiqh dalam membantu proses pembentukan hukum fekah. Para ulama fiqh telah menjadikannya salah satu sumber dalam menentukan keputusan ijtihad mereka yang disebut “al adat Mahkamah” iaitu adat yang mengikat. Antara peranan yang dimainkan oleh al ‘urf dalam bidang fiqh ialah :

a) Perantara Kepada dalil-dalil dan kaedah Fiqh
Sebahagian ulama seperti al-Qarafi dan Ibn Abidin telah mengiktiraf ‘urf sebagai salah satu sumber dalam hukum fiqh. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad ibn al-Hasan, ‘urf dijadikan dalil keharusan di dalam akad al-mudharabah, akad al-istisna’, wakaf harta alih. Ini dipakai terus oleh Ulamak Hanafi dan Maliki.

Contoh - Isu akad tempahan, al’urf bertindak sebagai perantara kepada persepakatan sebahagian para mujtahid terhadap sesuatu perkara pada sesuatu zaman dan sebahagian mujtahid hanya mendiamkan diri setelah mengetahuinya. Para mujtahid tidak pernah membantah dalam amalan ini.

b) Rujukan Kepada Hakim untuk menjatuhkan hukuman

Dalam bidang kehakiman Islam, al ‘urf menjadi rujukan hakim dan pengamal undang-undang dalam melaksanakan hukuman. Sebahagian ulama telah melarang para hakim terikat dengan mana-mana mazhab dan membelakangkan al ‘urf dalam membuat keputusan mereka. Terdapat dua aspek peranan al ‘urf dalam bidang ini iaitu :

i. Dari aspek keterangan. Setelah meneliti bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dan tertuduh, hakim akan merujuk kepada ‘urf untuk membuat keputusan.

Contoh - Keterangan kes kecurian,untuk menentukan hirz sesuatu barang curi itu hendaklah merujuk kepada ‘urf kerana hirz sesuatu barang itu berbeza dengan barang yang lain mengikut perbezaan ‘urf.

ii. Dari aspek hukum syarak yang menerima al ‘urf. Jika pemakaian itu tidak terhad kepada peruntukan perundangan yang ada, rujukan boleh dibuat terus kepada amalan ‘urf yang menjadi asal kepada pengambilan hukumnya.

Contoh – Kes Harta Sepencarian. Jika ada perbezaan atau kelainan dalam menentukan perjalanan dan amalan setempat, pandangan setempat dalam perlaksanaannya boleh diambilkira.

iii. Dari aspek hukuman. Hukuman takzir tidak ditentukan secara terperinci dalam al-Quran dan Hadith tetapi diserahkan kepada hakim untuk menentukan bentuk hukuman yang sesuai dengan tahap kesalahannya menurut ‘urf.

Contoh- ‘urf diambilkira dalam menentukan pandangan masyarakat terhadap berat kesalahan takzir mahupun kehendak semasa.

c) Tafsiran Kepada Kehendak Seseorang.

‘Urf dapat membantu menjelaskan maksud dan kehendak seseorang yang biasanya kehendak tersebut tidak dijelaskan oleh seseorang kerana ia sudah diketahui berdasarkan ‘urf.

Contoh – Isu wakil dalam jualbeli. Dalam masalah jualbeli yang diwakilkan, penerima wakil hendaklah melakukan penjualan atau pembelian mengikut kadar harga pasaran standard semasa walaupun pewakil tidak menyebutnya di dalam akad.

d) Pembantu Dalam Proses Tarjih (menguatkan)

Tarjih yang dimaksudkan ialah apa yang dihuraikan oleh Yusuf al-Qardawi sebagai ijtihad intiqa’i iaitu memilih salah satu pendapat para ulama’ terdahulu berdasarkan kelebihan tertentu.

Tarjih dalam bentuk ini hanya dibenarkan antara pendapat-pendapat yang berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima dan hanya berbeza dari segi kekuatannya sahaja. Salah satu dari pendapat tersebut dipilih berdasarkan ‘urf semasa yang mengambil kira keperluan manusia.
Contoh – Isu wanita bermusafir. Harus wanita bermusafir tanpa ditemani suami atau muhrimnya jika tidak ditakuti apa-apa gangguan semasa perjalanan berdasarkan urf semasa yang lebih selamat, perjalanan dipermudahkan kenderaan, populasi ramai dan juga penjagaan keselamatan pihak berkuasa.

e) Penerangan dan Penghurai Kepada hukum Fiqh Yang Terkandung Dalam Nas.

Terdapat banyak hukum fiqh yang terkandung dalam nas dan hadis yang berdasarkan kepada al‘urf. Di sini jaga jelas bahawa ‘urf sudah di kenali oleh manusia dan mesti tidak berlawanan dengan kehendak syarak.

Contoh – Isu kadar nafkah. Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri dan anak. Dalam soal kadar, bentuk dan lain-lain perkara yang berkaitan diserahkan kepada ‘urf yang menghuraikannya bagaimana kadar semasa sebagai mencukupi dan munasabah.

Sebagaimana firman Allah SWT:



Maksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
[Surah Al Baqarah : 233]

f) Penerapan hukum terhadap kejadian yang bersifat Juz-i

Penerapan kejadian bersifat juz’i adalah jenis keadaan yang mana bersifat secara terperinci dan jelas mengenainya dalam sesuatu nas dan amalan masyarakat yang membawa kepada terperincian keadilan.

Contoh - Isu jumlah kesaksian. Allah SWT menetapkan jumlah yang diperlukan dalam sesuatu kesalahan atau pertikaian adalah berbeza bagi memberikan sesuatu keadilan dalam melaksanakan hukum berkaitan.

Firman Allah SWT:


Maksud: “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),”

[Surah Al Talaaq : 2]

Contoh – Isu Pemakaian Tutup Kepala (kopiah/songkok). Bagi Negara timur (Tanah Arab), adalah menjadi satu keaiban kepada yang gagal menutup kepala mereka. Manakala ‘urf di Negara barat tidak sedemikian. Keadilan itu diletakkan berbeza pada ‘urf yang mana keadilan itu perlu dilaksanakan bagi menjaga maruah individu secara terperinci sebagai satu yang adil bagi ‘urf setempat. Begitu juga isu kadar nafkah bapa kepada isteri dan anak-anak yang dibincangkan di atas.


‘urf sesuatu tempat mungkin akan mengalami perubahan samada pengurangan atau pertambahan adatnya. Tetapi dalam pengambilan hukum, cukup sekadar ia memberikan keadilan kepada zaman semasa dalam aplikasi ‘urf berkenaan.

Perubahan tidak semestinya memberikan impak yang positif tetapi keadilan kepada masyarakat mesti menjadi teras hukum.

Wallahuallam.

HISHAM NAZIR
18.06.2016

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►