Saya termanggu di depan meja seorang pendakwaraya kerana ingin klarifikasikan satu perkara. Dalam masa yang sama, saya terima isyarat tangan 'tunggu' daripada beliau. Saya sekadar memerhati bagaimana ia menyekolahkan seorang polis.
Dalam mengejar 1 Malaysia, ada ramai pihak cuba menjaga KPI mereka tetapi perkara ini telah timbul sebelum ini. Cuma ramai yang tidak perasan mengenainya. Kebimbangan saya dalam bidang perundangan jenayah, amat dibimbangkan sekiranya polis dan pendakwaan mementingkan KPI melampaui sebarang pertimbangan kepada keadilan.
Tidak dinafikan dalam pengalaman cetek saya, ada pihak yang meletakkan hukum sebelum bicara. Mereka yang bergari itu adalah salah maka adalah tugas mereka menghantar mereka yang bergari ini kepada tahap hukuman yang deteren.
Pakaian dan status mereka membuatkan mereka berfikir sedemikian. Ditambah pula dengan prestasi dan nama yang perlu dijaga. Kes tidak boleh kalah. Ini ditambah pula kalau ada yang bekerja atas KPI yang mana meletakkan kemenangan kes sebagai suatu status yang cemerlang atau menilai kebolehan kerja tanpa menimbang soal keadilan. Maka di mana eloknya sistem yang ada?
Ada yang berpandangan bahawa "Itu semua penjahat" tanpa mengambil logik akal yang lebih baik seperti yang bergari itu adalah tidak bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya ataupun yang bergari itu adalah antara individu yang di luar kemampuan membuat jaminan kepada Mahkamah.
Kita pernah dijuadahkan dengan berita melalui akhbar harian mengenai sikap ambil remeh pihak polis sehingga ditegur oleh pihak Mahkamah. Ada yang dituduh rogol tetapi tiada kemasukkan yang boleh diperiksa hari yang sama. Banyak ujian tidak dibuat dan sebagainya. Tetapi di dalam sudut proses keadilan di Malaysia, selepas siasatan polis pihak pendakwaan juga terlibat dalam soal ini. Sejauh mana mereka mempertimbangkan atau sejauh mana mereka dihidangkan fakta oleh pihak polis. Masing-masing ada amanah kerjanya.
Malah ada yang mempunyai alibi yang kuat tetapi tidak berduit dan tidak mampu untuk melantik peguam atau jahil untuk bertindak. Apatah lagi kekurangan keluarga dari sudut kewangan sehingga terpaksa merengkok di penjara reman.
Barangkali kita dilekakan dengan cerita CSI yang menarik melalui kaca TV, kita lupa mengenai nasib beberapa orang yang menjadi mangsa dalam perundangan jenayah kerana kekurangan dan kejahilan mereka dan ada pihak yang tidak melaksanakan sebaik mungkin untuk membantu keadilan kecuali mencari buruk. Walaupun sedikit keburukan, mereka didakwa.
2 hari lepas kawan mengeluh mengenai seorang warga asing dihukum penjara atas kesalahan tidak memiliki passport yang sah. Passportnya masih ada dengan majikan. Tempoh sah masih laku. Tetapi ada pihak enggan mengambil tahu mengenai ini maka dituduh kerana masa, prestasi dan statistik.
Kita sebahagian daripada masyarakat. Maka ada tanggungjawab kita kepada masyarakat. Tunaikannya dari sudut kemampuan kita, tetapi keadilan perlu diutamakan selain daripada periuk nasi dan nama serta politik kerja.
Dalam apa jua isu, tiada yang sempurna. Semua pihak ada tugasnya. Cuma alangkah baiknya sekiranya kita lebih seimbang dari sudut keadilan demi kepentingan sosial (termasuk isu agama) dan masa depan masyarakat kita.
Kita tidak cakap soal perundangan teknikal tetapi lebih kepada keadilan sosial yang mana condong kepada jenayah badan. Baik peguam sehingga kepada orang awam (saksi awam), mari kita betulkan sikap kita dan keluarga kita dalam mengurangkan jenayah.
Pos ini dijadualkan pada 25.10.2009, atas beberapa sebab kita bagi laluan kepada pos ini kepada lebih awal.
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..