Terlalu lama rasanya tidak menulis di sini. Sibuk bukan seberapa tetapi masa kekadang terlalu mengekang untuk berdepan lebih lama dan memaksa tangan untuk menari laju.
Dikesempatan Ramadhan ini, kebanyakan tarawikh saya dihabiskan di belakang imam tahfiz yang didatangkan khas oleh Masjid As Salam, Puchong Perdana. Entah daripada mana tetapi lagak serbannya seperti syeikh tabligh.
Cuma pada 2 Sept yang lepas, imam tarawikh diambil alih oleh Imam jemputan pada malam tersebut iaitu Ustaz Abdullah Iraqi kalau tidak silap nama beliau. Yang menarik mengenai tazkirahnya dan isu yang menarik dibangkitkan oleh beliau pada malam tersebut.
Saya cuba huraikan dalam bentuk kata mudah dan ringkas. Selebihnya, minta tolong buka kita untuk huraian lanjut.
Dalam satu ketika, diriwayatkan oleh sahabat bahawa apabila Rasullullah SAW memberikan salam selepas sembahyang tarawikh, Baginda melihat para sahabat dibelakang beliau dan beliau melarikan diri daripada situasi tersebut. Ditanyakan oleh Aishah RA mengenai tindakan Baginda tersebut. Maka dijawab, Aku terlalu takut sekiranya umatku akan mengambil tarawikh sebagai sembahyang fardhu.
Kerisauan dan ketakutan Rasullulah SAW tersebut perlu difikirkan kembali pada masa ini dengan trend masyarakat Melayu yang mana saat tiba Ramadhan sahaja, masjid dan surau mulai penuh dan agak meriah. Seolah-olah tarawikh ini adalah suatu sembahyang yang agak besar tuntutannya.
Maka akan ada orang Melayu berkata "Tarawikh ada sebulan je setahun, ambil la peluang". Maka baguslah sekiranya berfikiran sedemikian. Kerana sunat dan sunnah akan mendatangkan pahala dan soal keikhlasan adalah isu antara mereka dan Allah SWT.
Namun persoalan yang ingin kita fikirkan bersama ialah, bagaimana soal sembahyang sunat itu menjadikan rumah Allah SWT begitu meriah tanpa memikirkan bahawa terdapatnya solat fardhu lain yang lebih dituntut malah digalakkan berjemaah di Masjid mahupun di surau. Jelas sekali yang fardhu kita gagal dan cuai. Yang sunat pula dihegehkan. Kalau ada Melayu yang nak kata "Yang tu fardhu ada hari-hari, takpa la.." Itu soal amat parah. Bukah fekah lagi tapi akidah.
Kita terlalu mengagungkan tarawikh sehingga kereta bersendat di ruang parking mengalahkan sembahyang Jumaat tetapi sembahyang fardhu hanya tinggal berapa kerat sahaja. Malah di masjid-masjid besar, selepas ditolak dengan pekerja dan pegawai masjid, majoritinya adalah bangla. Tradisi mereka yang kita gagal mengambil contoh dan ikhtibar.
Kita juga terlalu mengagungkan tarawikh sehinggakan lupa bahawa kelebihan tarawikh diberikan kepada umat Rasullullah SAW melihat kepada kerajinan Baginda dalam beribadat sekalipun bersifat maksum. Bagaimana konsistennya Baginda dalam ibadah malam, dhuha dan sebagainya sehingga bengkak dan pecah kaki kerana qiam tanda syukur Baginda pada Allah SWT. Tidak pulak penuh masjid atau surau untuk Dhuha yang mempunyai tempoh agak lama sementara zuhur. Isyra' jauh sekali. Tiada pula nyalaan dari rumah tanda berjaga malam. Adakah fekah berubah atau manusia mengubah fekah daripada hukum kepada adat?
Kita terlalu mengagungkan tarawikh sehingga ada yang berdebat dan tegas berpegang pada 8 rakaat sebagaimana yang dibuat oleh Rasullullah SAW. Kekadangg berbalah mengenai soal tarawikh yang panjang diamalkan oelh Rasullulah SAW, maka pandangan Saidina Umar RA diambilkira dalam membuat tarawikh 20 rakaat. Maka timbul isu-isu samada mana lebih elok 8 atau 20. Isu ini pernah saya sendiri pernah dengar orang-orang tua di kampung saya dulu membincangkannya. Mangsanya Imam Tarawikh di kutuknya.. apa ini.. apa itu.
Peliknya tiada pula niat atau cadangan untuk mengambilkira tindakan Saidina Abu Bakr RA dalam membuat 40 rakaat.
Masyarakat kita kini terlalu memikirkan benda furu' sehinggakan lupa apa yang hukum dan adat. Sesama lah kita fikirkan..
Akhir sekali, ada seorang ustaz berikan contoh Ramadhan ini seperti batteri telefon. Untuk menggunakan telefon dalam 1-2 hari, kita terpaksa mengecas batteri tersebut selama 1-2 jam. Selepas pengecasan dilakukan maka telefon dapat digunakan dengan baik.
Begitu juga Ramadhan yang mana sebulan dianggap sebagai madrasah dalam mendidik jiwa manusia bagi hidup 11 bulan seterusnya. Isunya adakah manusia akan terdidik dalam sebulan ini dan mencerminkan didikan tersebut dalam 11 bulan yang berterusan?
Kalau kita gagal meneruskan didikan Ramadhan di dalam 11 bulan yang lain tersebut, ternyata kita hanya ibarat batteri yang "kong".
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..