Thursday, March 12, 2009

Maulidur Rasul 2009

Minggu lepas saya balik Kelantan bersama isteri, anak lelaki dan seorang kawan yang berpangkat abang dan guru silat saya sebagai peneman aku dalam perjalanan.

Isteri dan anak lelaki saya tidak mengikuti saya balik ke Kuala Lumpur kerana ada urusan keluarga perlu diselesaikan di sana. Dalam perjalanan balik ke sini, saya banyak tidur dalam kereta. Memang itu hobi bila berada dalam kereta mahupun bas. Kapal terbang belum naik pun saya dah lena. Setakat skirt pendek pramugari Air Asia, saya tak heran!

Balik pada cerita asal. Dalam perjalanan balik ke sini, saya dan abang Noor banyak bercerita pasal agama dan silat. Dia agak arif dalam dua benda ni. Sebab dulu dia budak pondok. Tiada sistem pelajaran yang teratur tetapi pengetahuan dan gaya hidupnya agak membanggakan dari sudut agamanya.

Tetiba keluar soal maulud nabi yang akan diraikan minggu depan (waktu ini seminggu sebelum 09.03.2009). Bagaimana beliau menceritakan semasa ulama tersohor di Kelantan, Tok Selehor meraikan Maulud Rasul seperti hari raya. Malah ada yang menyatakan bahawa sambutan maulud disambut lebih meriah daripada sambutan hari raya Aidilfitri mahupun Aidiladha. Besarnya maulud bagi ulama itu dan rakyat Kelantan pada masa itu.

Banyak isu maulud nabi kami perkatakan dan perbincangkan. Tapi lebih kepada soal fakta dan perkara dalam maulud. Ada 2-3 soalan yang diajukan oleh Abang Noor yang tidak mampu aku jawab dengan tepat berdasarkan fakta.

Dari mana Abrahah mengambil Gajah?. Apa itu Gajah? Apa itu tentera bergajah? Sejauh mana masa itu Gajah dikenali? Gajah sahaja.. tapi tak mampu dijawab. Kerana jawapan yang ditunggu bukan soal fakta tapi lebih kepada amalan hidup da kemodenan pada masa itu. Mungkin nak dibandingkan dengan kejahilan penyembah latta manna dan uzza.

Dalam banyak-banyak sembang kosong sepanjang perjalanan tersebut, isu maulud tak buat saya lena tidur pagi itu. Biasanya sampai Kuala Lumpur, saya tidur kejap. Tapi pagi itu buat saya cerah mata sampai ke malam.

Saya cuba sibukkan dengan kerja-kerja di pejabat dan hadir ke beberapa tempat. Tapi isu maulud masih di kepala.

Timbul rasa malu yang amat kepada Junjungan Besar Nabi Mohammad SAW. Kita terlalu meraikan pelbagai perayaan yang mengarut seperti April Fool, Tahun Baru dan lain-lain perayaan samada kita sedar mahupun sebaliknya.

Maulud ini bermaksud dalam perkataan paling mudah ialah "Happy birthday!". Satu sambutan ulangtahun kelahiran kekadang disebut keputeraan Nabi Mohammad SAW. Mungkin perbezaan ayat yang digunakan buat kita hilang maksud dalam realiti.

Saya termenung panjang kerana saya mempunyai seorang anak lelaki. Betapa gembiranya selaku seorang bapa lalu mengorbankan 2 ekor kambing sebagai aqiqah. Itu satu perayaan mengembirakan orang lain dengan jamuan atas dasar sebab perolehi anak.

Lalu atas kegembiraan itu diberinya nama Mohammad agar dirinya terpuji. Diberinya nama Nuqman agar ia menjadi sehebat perawi hadis yang bernama Nuqman mahupun serealiti kata-kata Imam Syafie bahawa apa jua besi biasa boleh menjadi emas dengan hebatnya hujah dan kata-kata seorang lelaki yang bernama Nuqman (Imam Hanafi). Lalu diberikan juga ia Baihaqi agar sehebat akal perawi Baihaqi yang disegani dan diterima penuh akan kejujurannya.

Maka masa berjalan. 3-4 bulan sebelum sambutan kelahiran anak lelaki saya, sudah terbayang di kepala ini bagaimana kalau sekiranya ada sambutan kecil-kecilan kepada surau, masjid mahupun solat hajat di rumah saya untuk menyambut ulang tahun kelahiran anak lelaki itu. Betapa tingginya seorang bapa boleh mengangkat anaknya.

Kerana saya tahu, dengan didikan Islam, anak lelaki ini mampu cerahkan dan luaskan kuburku. mampu teduhkan saya di Padang Mahsyar. Pahala mungkin tidak akan terhenti dengan kebaikan anak lelaki ini. Tetapi saya terlupa ada seorang lelaki lain yang mampu memberikan lebih manfaat kepada saya semasa di dalam kubur, semasa di akhirat kelak. Satu-satunya lelaki yang mampu memberikan syafaat yang tidak mampu diberikan oleh mana-mana makhluk di dunia ini. Nabi Mohammad SAW. Penghulu segala Nabi dan Rasul.

Kita terlupa mengangkatnya. Malah langsung tidak gembira dengan kehadiran ulangtahun kelahiran Baginda. Walaupun terdapat khilaf mengenai tarikh kelahiran Baginda secara jelas tetapi kesepakatan menerima 12 Rabiuawal dan hari Isnin oleh para ulama' harus diambilkira.

Adakah kita merancang apa jua sambutan secara sumbangan peribadi kita kepada Baginda di minggu ini? Cuba kita renungkan....

Sambutan Maulidur Rasul oleh KSSG

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►