Friday, July 22, 2022

[1202.22] MAJIKAN BAYAR GAJI LEWAT?


Sebelum itu, ingin saya tekankan tentang Seksyen 69 Akta Kerja 1955. Seksyen tersebut membenarkan Ketua Pengarah Buruh untuk menyelesaikan pertikaian mengenai gaji pekerja, sehingga gaji bulanan mencecah RM5,000.00. Bagi buruh kasar pula, tiada had bagi jumlah amaun gaji mereka. Pembayaran gaji lewat oleh majikan merupakan satu pertikaian mengenai gaji pekerja.
Seksyen 19(1) Akta yang sama memperuntukkan bahawa seorang majikan perlu perlu membayar gaji pekerjanya tidak lewat dari hari ke-7 selepas hari terakhir mana-mana tempoh kerja (biasanya sebulan). Contohnya anda bekerja untuk bulan Januari, jadi gaji bulan tersebut harus dibayar paling lewat pada 7 Februari (Namun kebanyakan majikan akan membayar gaji pekerja mereka sebelum habisnya bulan tersebut). Jika majikan gagal membayar gaji pekerja selepas dari tempoh yang sepatutnya, majikan tersebut dikira sebagai telah melanggar undang-undang dalam Seksyen ini dan pekerja boleh membuat aduan tentang majikan tersebut.
Bagaimana pula jika anda dikenakan indemnity (gaji ganti notis)? Walaupun dalam keadaan sedemikian, anda masih berhak menerima gaji yang dibayar tidak lewat daripada tempoh seperti yang dinyatakan di atas. Gaji yang diterima mestilah sudah ditolak indemnity yang dikenakan. Indemnity bukan alasan yang boleh digunakan oleh majikan untuk membayar gaji pekerjanya lewat.
Bagi pekerja yang menerima gaji lebih dari RM5,000.00 sebulan, jika majikan membayar gaji lambat, tuntutan boleh dibuat di Mahkamah berkenaan perkara tersebut.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►