Tuesday, April 12, 2022

[1175.22] ADAKAH MAHKAMAH YANG MENDENGAR RAYUAN BOLEH CAMPUR TANGAN DALAM KEPUTUSAN YANG DIBERIKAN OLEH HAKIM BICARA?


Adalah prinsip undang-undang mantap bahawa mahkamah atasan / rayuan kebiasaannya tidak dengan sewenang-wenangnya mengganggu hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim bicara atau mahkamah bawahan ke atas seseorang tertuduh kecuali terdapat ketidakmunasabahan atau ketidakadilan dalam hukuman yang diberikan oleh hakim bicara tersebut.
Dalam kes Imam Wahyudin Karjono Lwn. Pendakwa Raya & Satu Kes Lagi [2020] MLRAU 161, Perayu-perayu tidak berpuas hati terhadap hukuman 25 tahun penjara bagi pertuduhan di bawah s 130C(1)(b) Kanun Keseksaan.
Dalam rayuan tersebut, Mahkamah atasan / rayuan menyatakan bahawa Hakim bicara atau Mahkamah bawahan telah mengambil kira dan mempertimbangkan rayuan mitigasi Perayu-perayu dan hujahan pemberatan hukuman oleh TPR.
Hakim rayuan bersetuju dengan hakim bicara bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Perayu-perayu adalah kesalahan yang serius yang melibatkan keganasan dengan cara penggunaan bahan letupan berbahaya iaitu sebutir bom. Terdapat kecederaan ke atas 8 orang awam akibat terkena ledakan bom tersebut dan ada yang mengalami kecederaan parah.
Mahkamah atasan turut bersetuju dengan Mahkamah bawahan bahawa kepentingan awam adalah faktor terpenting yang perlu diambil pertimbangan dalam proses penghukuman kes terhadap Perayu-perayu. Kesalahan Perayu-perayu bukan sahaja terhadap kecederaan yang ditimpakan ke atas orang awam tetapi juga boleh mengugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Dalam kes tersebut, Hakim rayuan mendapati tidak terdapat apa-apa alasan yang mewajarkan hakim rayuan untuk campurtangan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara tersebut.
GAMBAR SEKADAR HIASAN
NUR ZAHIRAH BAHARI
019-5658454


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►