Friday, May 15, 2020

[617.20] KAEDAH-KAEDAH PERMOHONAN IKAT JAMIN.


Secara asasnya, tiada sebarang peruntukan khas yang menjelaskan sama ada ikat jamin boleh dibuat secara bertulis ataupun secara lisan. Namun, tiada juga sebarang halangan ataupun kekangan yang timbul untuk membuat #permohonan melalui bertulis atau lisan. Ianya bergantung kepada pihak-pihak untuk membuat permohonan mengikut kesesuaian sesuatu kes.
Sebagai contohnya di dalam kes Public Prosecutor v. Dato Seri Anwar Ibrahim [1998] 4 CLJ 387, telah diputuskan bahawa mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan ikat jamin secara bertulis. Sekiranya permohonan dibuat secara bertulis, pihak yang memohon perlu memfailkan Notis Usul dan disokong dengan #affidavit sokongan. Maka, ini menunjukkan bahawa permohonan untuk mengikat jamin boleh dibuat sama ada secara bertulis ataupun secara lisan di #mahkamah.
Kelulusan bagi permohonan ini bergantung sepenuhnya kepada mahkamah sama ada untuk meluluskan atau menolak permohonan tertuduh. Sekiranya permohonan ditolak selepas permohonan pertama dibuat, tertuduh masih lagi mempunyai tiga pilihan untuk membuat permohonan lain.
Pertama sekali, tertuduh boleh membuat permohonan sekali lagi di mahkamah yang sama. Namun, tertuduh perlu menunjukkan sebab yang mencukupi bagi membolehkan permohonan tersebut diterima.
Sebagai contohnya, membuktikan bahawa terdapat perubahan fakta atau fakta baru yang timbul yang sepatutnya mahkamah mengetahui perkara tersebut. Sebagai contohnya, di dalam kes Public Prosecutor v. Abdul Rahim bin Hj Ahmad & Ors [1998] 1 LNS 84, mahkamah telah membenarkan tertuduh diikat jamin setelah mendapati bahawa telah terdapat fakta baru iaitu laporan perubatan yang menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan pengadu sebenarnya tidak dirogol. Tertuduh dibenarkan diikat #jamin dengan dua syarat.
Seterusnya, pilihan yang kedua adalah membuat permohonan ke #MahkamahTinggi. Pilihan ini telah dijelaskan dalam bahagian kedua seksyen 389 Kanun Tatacara #Jenayah iaitu :
“.. and a judge may, in any case, whether there be an appeal on conviction or not, direct that any person be admitted to bail or that the #bail required by a police officer or Court be reduced or increased”
Seksyen ini menjelaskan bahawa sekiranya terdapat #rayuan sama ada disabitkan atau tidak, mahkamah boleh membenarkan tertuduh diikat jamin atau mengurangkan atau meningkatkan nilai jaminan. Permohonan yang dibuat ini perlulah melalui pemfailan Notis Usul dan juga disokong oleh afidavit. Pilihan ini merupakan pilihan yang cepat, mudah dan tidak merumitkan lagi keadaan. Kaedah ini bersesuaian dan bertepatan dengan sifat jaminan itu sendiri iaitu mendesak dan perlu diberikan kepada tertuduh secepat mungkin sekiranya tertuduh layak untuk dijamin.
Akhir sekali, pilihan yang ketiga ialah dengan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah .
“Any person aggrieved by any order or refusal of any inferior Court made under this Chapter may #appeal to the High Court, which may confirm, vary or reverse the order of the inferior #Court
Proses rayuan di bawah seksyen ini merupakan satu proses yang lebih rumit dan sukar. Hal ini demikian kerana tertuduh perlu memfailkan Notis Rayuan dan kemudiannya perlu menunggu alasan penghakiman yang dibuat oleh hakim mahkamah rendah yang perlu menyatakan alasan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh. Kemudian, tertuduh perlu memfailkan #petisyen rayuan berdasarkan alasan penghakiman yang dikeluarkan. Setelah proses tersebut selesai, tertuduh perlu menunggu sehingga tarikh pendengaran bagi rayuan yang di buat ke Mahkamah Tinggi.
Proses ini sememanya lambat dan memakan masa yang lama sekaligus bertentangan dengan sifat jaminan yang diperlukan secepat yang mungkin.
Kesimpulannya, permohonan ikat jamin mempunyai dua mod iaitu secara lisan dan bertulis. Sekiranya permohonan kali pertama gagal, tertuduh mempunyai tiga lagi pilihan atau peluang yang ada untuk membuat permohonan bagi membolehkan tertuduh diikat jamin.
Nota: Gambar supreme Court of Philiphines
Keyron Nisa
Mei 2020

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►