Thursday, December 5, 2019

[506.19] PENGARAH DAN LIABILITI HUTANG SYARIKAT




Prinsip Entiti Undang-Undang Berasingan (Separate Legal Entity Principle)
Secara dasarnya, prinsip undang-undang syarikat yang diperolehi dalam penghakiman kes Salomon v Salomon [1896] UKHL 1 adalah syarikat dianggap sebagai satu entiti undang-undang berasingan yang berbeza daripada ahli-ahli dan pegawai-pegawai syarikat yang lain. Prinsip ini diwujudkan bagi menghalang pemiutang (kreditor) atau pihak luar daripada mengambil tindakan undang-undang/menyaman/menuntut pembayaran sesuatu amaun hutang yang tertunggak daripada pemegang saham atau pengarah atau ahli-ahli syarikat yang lain secara peribadi. Sekiranya setiap pengarah harus dipertanggungawabkan/mempunyai liabiliti ke atas setiap hutang syarikat, tidak akan ada mana-mana orang yang mahu menjadi pengarah kepada mana-mana syarikat.
Dalam peruntukkan undang-undang Malaysia, iaitu Seksyen 20 (a) Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa sesebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 ini mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada keperibadian anggotanya.
Syarikat hanya boleh disaman dan menyaman dengan atas namanya sendiri. Hal ini disebabkan oleh liabiliti syarikat itu sendiri ditanggungnya sepenuhnya oleh syarikat, dan bukannya pengarah atau ahli syarikat yang lain. Dalam kes di mana sesebuah syarikat melanggar kontrak perjanjian atau menanggung hutang terhadap individu atau pihak lain, syarikat itu yang seharusnya disaman dan bukan pengarah atau ahli syarikat yang lain. Situasi ini juga dikenali sebagai tirai perbadanan (corporate veil) yang memisahkan entiti syarikat daripada ahli-ahli syarikat.
Dalam erti kata lain, tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pengarah syarikat bagi menuntut pembayaran hutang syarikat tersebut. Oleh itu, pengarah tidak mempunyai liabiliti terhadap hutang-hutang syarikat dan tidak bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat bagi pihak syarikat selagi mereka bertindak dengan jujur dan munasabah demi kepentingan syarikat seperti yang diperjelaskan di bawah Seksyen 213 (1) Akta Syarikat 2016.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►