Thursday, December 5, 2019

[488.19] PROSIDING SAMAN SIVIL



Tindakan sivil secara amnya boleh dimulakan melalui dua cara iaitu saman pemula dan juga writ saman mengikut Aturan 5 Kaedah 1, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Namun, terdapat juga pengecualian di mana tindakan sivil juga boleh dimulakan melalui petisyen.
Tindakan yang dimulakan dengan saman pemula tidak memerlukan pihak-pihak untuk memfailkan sebarang pliding. Dalam saman pemula, hanya afidavit sahaja yang perlu difailkan. Proses saman pemula juga tidak mempunyai sebarang prosiding interlokuteri. Aturan 5 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah menjelaskan bahawa saman pemula mestilah digunakan dalam keadaan di mana Akta tersebut meminta tindakan untuk dimulakan dengan saman pemula. Saman pemula merupakan tindakan yang lebih mudah serta tidak kompleks.
Berbeza dengan writ saman, writ saman merupakan tindakan yang lebih kompleks dan memakan masa yang lebih lama. Dalam proses ini, pihak Plaintif akan memfailkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan. Setelah itu, saman dan pernyataan tuntutan tersebut perlu diserahkan kepada pihak Defendan. Seterusnya, pihak Defendan perlu memfailkan Memorandum Kehadiran dalam tempoh 14 hari setelah menerima writ saman daripada Plaintif.
Memorandum kehadiran tersebut boleh difailkan secara bersama atau secara berasingan dengan Pernyataan Pembelaan. Sekiranya pihak Defendan gagal untuk memasukkan memorandum kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan, penghakiman ingkar kehadiran akan diberikan kepada Plaintif.
Namun, sekiranya pihak Defendan telah memasukkan memorandum kehadiran dan seterusnya pernyataan pembelaan, Defendan perlu untuk menyerahkannya kepada Plaintif. Pihak Plaintifseterusnya akan memfailkan balasan kepada pernyataan pembelaan. Setelah selesai proses ini, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan kepada kedua-kedua pihak.
Kebiasaanya, dalam setiap tindakan sivil yang dimulakan dengan writ saman, pasti ada prosiding interlokuteri. Sebagai contohnya, pihak Plaintifakan memohon penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 manakala pihak Defendan akan memohon untuk mengenepikan writ saman dan pernyataan tuntutan (striking out) di bawah Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Setiap prosiding interlokutori ini akan dimulakan dengan notis permohonan oleh pihak yang ingin memohon. Setiap notis permohonan pula perlu disokong oleh afidavit. Setelah itu, notis permohonan dan afidavit sokongan tersebut perlu diserahkan kepada pihak Defendan.
Defendan kemudiannya akan memfailkan afidavit balasan. Sekiranya perlu, pemohon akan memfailkan jawapan kepada afidavit balasan dan akhir sekali, pihak-pihak akan diberikan tarikh untuk pendengaran (hearing). Selesai proses pendengaran, mahkamah akan meminta pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis bagi membolehkan keputusan yang adil diberikan kepada pihak-pihak.
Walaupun terdapat prosiding interlokutori, perbicaraan bagi kes utama masih lagi berjalan. Sepanjang proses tersebut, pihak-pihak akan diberikan tarikh untuk menghadiri pengurusan kes di mahkamah bagi membolehkan mahkamah dapat mengetahui status semasa kes tersebut dan untuk pihak-pihak mendapatkan arahan selanjutnya dari pihak mahkamah. Sebelum tibanya tarikh perbicaraan, terdapat kertas kausa yang perlu difailkan oleh pihak-pihak. Antaranya termasuklah fakta yang dipersetujui, isu untuk dibicarakan dan ikatan dokumen bersama. Setelah kesemua dokumen tersebut difailkan, pihak-pihak akan hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.
Proses perbicaraan dimulakan dengan pihak Plaintifmengemukakan saksi mereka bagi pemeriksaan utama. Kemudian, diteruskan dengan pemeriksaan balas oleh peguam Defendan dan akhir sekali peguam Plaintifakan meneruskan kembali dengan pemeriksaan semula.
Setelah itu, perbicaraan akan diteruskan dengan saksi-saksi pihak Defendan pula. Proses yang sama iaitu pemeriksaan utama oleh peguam Defendan, pemeriksaan balas oleh peguam Plaintifdan diakhiri dengan pemeriksaan semula oleh peguam Defendan.
Setelah tamatnya proses perbicaraan, pihak Plaintifdan Defendan perlu untuk mengemukakan hujahan masing-masing sama ada secara bertulis, lisan atau kedua-duanya bergantung kepada hakim mahkamah tersebut. Selesai hujahan oleh kedua-dua pihak, barulah keputusan akan diberikan oleh mahkamah.
Khairunnisa Kasa
Hisham Nazir & Cronies
2019

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►