Monday, June 12, 2017

SALAM RAMADHAN DARIPADA INDONESIA (ISU FAKTA & PERUNDANGAN)


Terima call daripada Indonesia (rasanya). Bila angkat rupanya ada klien lama call ucap Salam Ramadhan. Ini kali pertama dia call. Mungkin baru bebas. Entah pun masih di penjara, menggunakan wartel.

Situasi dia agak menarik kerana Allah SWT bagi dia peluang kedua yang kami sendiri tidak sangka perkara ini terjadi. Suatu ketika tiada harapan kerana isu fakta dan keterangan yang agak jelas kepada sabitan. Saya nak cerita bagaimana dalam hidup ini Allah menunjukkan jelas kita diberikan peluang sama berkali-kali. Malah peluang untuk terus hidup amatlah berharga.

Dia pernah dituduh di Mahkamah Tinggi di utara Malaysia berkenaan kes pengedaran dadah. Mahkamah telah memutuskan sabitan salah dan menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati ke atas pekerja kontrak indonesia ini. Tetapi saya melihat peguambela dia masa itu melakukan sebaik mungkin bagi beliau tetapi tangkapan melalui perangkap polis agak sukar.

Semasa di Mahkamah Rayuan, saya juga berpandangan sama dengan merujuk kepada semua keterangan dan fakta yang ada. Beliau redha akan mati di Malaysia di tali gantung.

Kesemua isu hujahan saya ditolak oleh Mahkamah Rayuan kecuali isu teknikaliti berkenaan perundangan yang sedikit sebanyak Mahkamah Tinggi khilaf mengenainya dalam pemahaman minda Yang Arif Hakim atau penyediaan penghakiman yang silap mendorong kepada dilihat khilaf pemahaman.

Atas isu yang tidak jelas pemahaman Mahkamah Tinggi tentang isu perundangan tersebut, sabitan di bawah pengedaran dadah dan hukuman beliau diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dan mengantikan kepada sabitan yang lebih ringan dan hukuman penjara dan sebatan sahaja.

Saya ingat perkataan dia masa itu;

"terima kasih Tuan. Tuhan sahaja mampu membalasnya. Kenapa Tuhan beri saya hidup lagi saya cuba manfaatkan" (lebih kurang)

Anggaplah kisah sebahagian hidup saya dan mereka ini sebagai tazkirah Ramadhan daripada saya. Sama ambil ikhtibar!

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►