Friday, May 16, 2008

Zakaria bin Ahmad: Ya Allah! Berikan lah Kekuatan Kepadanya

Zakaria bin Ahmad merupakan individu yang banyak beri aku tempat berlindung semasa aku kecil kerana ibu bapa ku terpaksa turun ke sawah dan kekadang terpaksa bekerja kerana bapaku pada masa itu bekerja dengan Jabatan Parit dan Saliran sebelum bertukar ke KADA.

Kemudian aku terus menumpang kasih dan berteduh di siang hari apabila bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaaan Kedai Buloh (kini dikenali sebagai Sekoleh Kebangsaan Kedai Buloh 1). Jarak sekolah ku lebih kurang 3-4 kilometer daripada rumah ku membuatkan aku terpaksa menumpang dulu sementara menunggu abah menyiapkan kerja-kerja di sawahnya selaku penanam padi masa itu. Petang barulah dapat lihat tangga rumahku.


Begitulah rutin aku di sekitar tahun 1983 sehingga 1989 di bawah asuhan Zakaria bin Ahmad dan Munah binti Awang disebelah siang. Aku mempunyai teman, iaitu sepupuku Zilah (kini pensyarah IT di Politeknik Kota Bharu), Farid (adik pada zielah merangkap musuh utamanya masa itu yang kini berkhidmat sebagai pakar mesin di sebuah kilang jepun), Arwah Faiz (Adik pada Farid yang meninggal akhir tahun 2007).

Ibu kepada tiga beradik ini mempunyai kedai runcit. Ibu saudaraku, yang juga kakak kedua abahku. Maka dengan otoriti yang ada, abah membenarkan aku membuat pembelian secara kredit di kedai runcit itu (buku 3x5 la tu) tetapi terhad kepada 20 sen sehari.

Maka dengan jumlah top-up yang tak seberapa itu, aku habiskan dengan membeli keropok udang (masa tu besar giler saiznya) dan gula-gula. Masa tu aku suka sangat gula-gula SUGUS. sehingga kini pun aku masih membeli gula-gula itu. Malah Kak Nor (Kakak pada Zilah) mula memanggilku CIK SUGUS. Nama cute tu lekat buat seketika sehingga adik bongsu mereka pada masa itu, Ama (kalau tidak silap la dengan Siti yang kini kedua-duanya Penuntut peringkat Ijazah di UITM Shah Alam dan Sarawak) mula memanggilku secara tidak sengaja sebagai CIK ASSAN kerana tidak mampu menyebut CIK ISSE (nama ringkas orang Kelantan bagi HISHAM).

Kini Faiz sepupu ku dah tiada meninggalkan kami. Begitu juga dengan nenek kesayanganku yang pernah menghadiahkan basikal perak kepadaku sempena kecemerlangan aku dalam akademik semasa darjah 4. Sebenarnya basikal itu hadiah daripada abahku bagi meraikan kepintaran anak lelakinya ini semasa itu, Tetapi kerana kurang kemampuan, abahku berhutang dengan ibunya yang juga nenekku.


Suatu petang sebelum aku di bawa pulang ke rumah ku di Binjai Baru dan sementara abahku merehatkan penatnya daripada bendang di tangga rumah nenek, Nenek Munahku melaung dari serambi "Ise, mari gak sinih me-ta (Hisham, Mari sini sekejap)"



Dengan nada serius dan luar dari kebiasaan, nenek menyatakan kepada aku secara jelas; "Sikal tu abahmu beli nga duit mak (panggilan aku kepada nenekku). Dio pinje jah.. tapi takpolah.. asal mung ngaji rajin, mak halalkan semua tu.. belajar molek!.. (Basikal itu ayah kamu beli dengan pinjam duit nenek. Dia pinjam sahaja tapi takpe lah, dengan syarat awak belajar rajin-rajin, nenek halalkannya. Belajar rajin-rajin)

Pesanan itu masih terngiang-ngiang di telinga aku walaupun nenek kesayangku itu telah meninggalkan kami kerana darah tinggi pada tahun 1988 semasa aku darjah 4. Itu nasihat terakhirnya kepada aku. Dan seingat aku mungkin juga yang pertama kerana pada tempoh itu hanya mengingati bagaimana aku dileter dan di marahi oleh seorang nenek kepada cucunya yang nakal. Hanya bila kehilangannya, baru aku mengerti maksud kesemua teguran itu. Dan aku akui, Aku cukup merinduinya!..


Ibu kepada nenekku, Mek Timah juga moyang aku yang selalu diganggu olehku. Bukan kerana kenakalan aku. Tetapi masa aku kecil dan belum bersekolah, aku suka bertempel di bawah ketiaknya semasa tidur. Dengan alasan aku, aku suka pegang kulit tua moyang ku itu. Beliau meninggal semasa aku darjah dua pada tahun 1986.

Kini semua susah berubah. Semua ada keluarga. Cuma Zakaria bin Ahmad yang juga Datuk ku terpaksa menumpang di rumah Pak Suh (Abang abahku yang sulong) di Chabang Tiga Kedai Buloh kerana tiada sesiapa boleh menjaga di rumah pusaka itu lagi. itupun setelah dipujuk-pujuk barulah boleh dibawa ke rumah anak lelaki sulongnya itu. walaupun begitu, masih lagi merintih mahu kembali ke rumah asalnya, Dimana kehidupannya bersama nenek ku dibina dengan pelbagai alasan remeh.

Sempena kelahiran cahayamataku pada 28.04.2008 tempohari, sempat aku bersinggah di rumah Pak Suh untuk melihat datuk ku itu yang juga guru Quran ku semenjak aku kecil. Malah khatamku dengan beliau.

Aku ingat aku paling "benok" (lembab) dalam bab mengaji Quran ni. Telinga aku asyik merah kena ketuk dengan rotan yang cukup digeruni oleh semua rakan mengaji aku, sesambil aku diberikan syarahan percuma dan diberikan tafsir-tafsir yang bukan tahap pemahaman aku masa itu.

Semasa singgahan pada 01.05.2008, kakinya lenguh dan badannya berbisa-bisa. Namun, apabila melihat aku datang ke tepi pembaringannya, datuk ku bangkit sekilat mungkin. Biarpun tidak sihat tetapi semangat orang tua ini amat mengagumkan aku.

Oleh kerana mendengar perkataan Lenguh, tangan-tangan yang pernah di asuhkan oleh semangat pahlawan silah sebelah datuk ini, aku mula mengurut urat lenguh dan 'bira' kakinya. Dia menyampuk; 'Kalu dah lenguh tua ni.. urut pun tak jadi doh!"

Ayat-ayat Quran masih di ingatan dan lancar di bibirnya. Bait-bait ayat Quran dari surah lazim dan amalan masih kedengaran dari lidahnya.

Sempat lagi aku diberikan syarahan percumanya sebagaimana yang aku dapat masa belajar Quran dengannya. Cuma aku lebih memahami pada masa ini. Pemahaman ini mungkin kerana faktor rotan kecil itu tiada di bawah ketiaknya pada masa ini. Cukup berbeza. Dia mengerling aku dengan pandangan yang telah kabur itu.

"Se! Jange sekali tinggal tempat ngajar!" (Hisham, Jangan sekali tinggalkan majlis ilmu)


Dia terus memberikan pandangan terus pada aku. Dia mula mengingatkan aku;

"Buke ke aku royat pese dah dulu, kalu panje umur kito, balik asal la kito."
( Bukan kah Datuk dah pesan dulu, Kalau kita panjang umur, maka kita akan balik pada asal)

"Pada cekak kepada tok rok, Hok gagah jadi kecil, hok tuo jadi budok"
(daripada bertenaga kepada tidak bertenaga, Yang kuat gagah akan jadi tak berguna)

"Ni lah sifat asal mung maso mari dulu. Kalu panjang umur, mung akan jumpa balik sifat ni. Itu janji ALLAH"
(Ini lah sifat asal kita semasa mula-mula lahir dulu dan kalau kita panjang umur sampai ke tua, maka kita akan alami balik sifat itu. Itu janji Allah)

Aku mulai sebak. "Ingat semua apa yg aku pese kepada anok cucu aku dan mung mesti turunkan bendo yang samo"

Aku ingat bagaimana sepanjang di bawah jagaan datukku ini, aku diberikan amalan menjaga diri apabila menaiki kenderaan. Semuanya bermula apabila beliau menceritakan bagaimana basikal tuanya melayang dan punah apabila di langgar kereta. Pemandu kereta lelaki itu keluar dengan panik dan mulai menangis. Datuk ku secara selamba (tetapi tiada niat bergurau) menyatakan; "Besi buruk tu kito kiro nanti lah"

Ayat itu masih di ingatan selaku ilmu peribadi yang pertama daripada keluarga tok pendekar.

"Ya Allah! Tuhan Pemilik kepada Kekuatan dan ArasyhNya yang Mulia, Tidak lah berkurang dan bergoyang Arashy Mu sekiranya Engkau berikan sedikit kekuatan dan kemuliaan kepada bapa dan datuk ku. Kepada Mu juga Hamba berserah dan memohon hajat, Ya Allah! Tuhan yang Esa."

Nota: Lelaki berbaju ungu itu adalah abah ku, Mohd Nazir bin Zakaria bin Ahmad






6 komen:

Anonymous said...

Doa kami bersama kamu. Sedih cerita kamu.

SH said...

Terima kasih sedara/sedari. Singgah lagi nanti!

SH said...

"Buke ke aku royat pese dah dulu, kalu panje umur kito, balik asal la kito."

( Bukan kah Datuk dah pesan dulu, Kalau kita panjang umur, maka kita akan balik pada asal)

Ini tafsiran satu ayat dalam Surah yassin.. Selalu aku kena masa mengaji.

HambaNya .... said...

Semoga datuk Sham sentiasa di bawah linduganNya.

SH said...

Alfatihah dan doa buat beliau.. Allah jua membalas jasanya

SH said...

Beliau meninggal semalam. Semoga rohnya ditempatkan ditempat org yang dinaungi dan disayangi. - http://annaziri.blogspot.com/2011/02/zakaria-bin-ahmad-datuk-uichi-gaban.html

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►