Thursday, February 24, 2022

[1098.22] HIKMAH PENGHARAMAN JUDI


Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan.
Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan. Terdapat banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian. Contohnya:
• Nombor Ekor
• Sabung Ayam
• Judi Bola
Hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula.
Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya.
Nota: Gambar sekadar hiasan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►