Tuesday, October 12, 2021

[984.21] ELEMEN UNTUK MENYABITKAN SESEORANG DIHUKUM KERANA MEMBUNUH


Seksyen 300/302 Kanun Keseksaan menekankan bahawa sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana membunuh, tertuduh akan dikenakan hukuman mati. Terdapat beberapa elemen yang perlu dipenuhi sebelum tertuduh dituduh dibawah seksyen ini.
Elemen yang paling utama ialah berlakunya kematian manusia. Jika seseorang itu hanya cedera akibat ditikam, ataupun berada dalam keadaan koma selepas dilanggar secara sengaja oleh tertuduh, ataupun kematian yang berlaku adalah kematian seekor haiwan dan bukannya seorang manusia, tertuduh tidak boleh dituduh membunuh.
Elemen kedua ialah, kematian si mati disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya. Sebagai contoh, dalam kes PP v Ja'afar Halid [2021] 1 LNS 149, Pakar Forensik yang melakukan bedah siasat ke atas mangsa telah mengesahkan bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan yang mangsa alami di bahagian pangkal kepala, dan kecederaan itu merupakan hasil daripada kesan tembakan yang dilakukan oleh tertuduh. Dalam kes ini, elemen kedua telah dipenuhi.
Elemen ketiga ialah, kecederaan tersebut mesti disebabkan oleh perbuatan tertuduh ataupun lebih dikenali sebagai actus reus. Jika kecederaan adalah bukan disebabkan tertuduh, walaupun mangsa meninggal dunia kerana kecederaan yang dialaminya, elemen ketiga ini tidak dipenuhi dan tertuduh tidak boleh disabitkan dengan hukuman dibawah seksyen ini. Menggunakan contoh kes yang sama, sekiranya tembakan yang dilakukan tepat ke pangkal kepala mangsa itu bukan dilakukan oleh tertuduh, tertuduh tidak boleh disabit.
Elemen terakhir yang perlu dipenuhi ialah mens rea ataupun didefinisikan sebagai niat. Tertuduh harus mempunyai niat untuk membunuh mangsa. Elemen terakhir ini merupakan elemen yang paling susah untuk dibuktikan berbanding elemen-elemen yang lain. Mahkamah akan menilai sekiranya tertuduh membunuh dengan niat, iaitu menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang mana kecederaan tersebut memadai dan lazimnya menyebabkan kematian.
Keempat-empat elemen ini harus dibuktikan barulah mahkamah akan menilai kes prima facie pihak pendakwaan terhadap tertuduh.
@ainsyafiqeen
0109647961
Nota: Gambar Mahkamah Yan


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►