Tuesday, February 16, 2021

[792.21] MENFITNAH MENGGUNAKAN NAMA SAMARAN


Bagaimana jika pihak yang menfitnah menggunakan nama samaran? Di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Wan Muahamad Azri Wan Deris (2014) 3 MLRH 21 di mana seorang blogger dengan nama Papa Gomo telah menerbitkan satu kenyataan yang tidak bermoral terhadap Plaintif dengan niat bagi menjatuhkan reputasi Plaintif. Oleh itu, Defendan telah menyangkal dakwaan tersebut dengan menyatakan beliau bukan Papa Gomo dan bukan beliau yang menerbitkan kenyataan tersebut. Plaintif telah memanggil saksi iaitu SP1 bagi membuktikan bahawa Defendan adalah Papa Gomo. SP1 telah dicabar beberapa kali dalam pemeriksaan balas oleh peguam Defendan di mana Mahkamah menggunakan keseimbangan kebarangkalian memutuskan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa Defendan adalah blogger terbabit dengan menggunakan nama samaran Papa Gomo.
Selain itu, bagi kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam talian internet seperti dalam media sosial, individu yang memulakan saman fitnah tidak perlu membuktikan siapa pelaku yang menerbitkan suatu penyataan fitnah iaitu cukup bagi individu yang difitnah untuk bergantung pada anggapan bahawa pelakunya adalah pemilik akaun media sosial tersebut. Jika pemilik akaun tersebut ingin menyangkal dakwaan tersebut, maka beban bagi membuktikan bukan beliau yang menerbitkannya di dalam akaun media sosialnya iaitu akaunnya telah digodam atau digunakan individu lain. Hal ini dipertuntukkan di bawah Seksyen 114A(1) Akta Keterangan 1950.
Bagaimanakah jika Plaintif tidak mengetahui dan tidak mempunyai saksi bagi membuktikan bahawa Defendan adalah pelaku yang menerbitkan fitnah dengan menggunakan nama samaran? Oleh itu, Plaintif boleh melakukan carian dan mendapatkan penemuan sebelum memulakan saman fitnah terhadap Defendan. Sebagai contoh di laman Facebook bagi individu yang telah log masuk suatu akaun Facebook boleh dikesan butiran lognya termasuk alamat IP dan nombor telefon sekiranya pemilik akaun mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka ke Facebook di mana Plaintif perlu berhubung dengan pentedia perkhidmatan internet seperti mana-mana syarikat telco.
Aainaa Mahirah Ozaimudi
Subang Jaya, Selangor



 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►