Thursday, May 14, 2020

[600.20] JENAYAH TIPU SECARA ATAS TALIAN – JENAYAH KOMERSIL


Seksyen 424 Kanun Keseksaan adalah melibatkan kesalahan mengalih atau menyembunyikan atau membantu mengalih atau menyembunyikan harta sendiri atau orang lain secara tidak jujur atau secara fraud. Sekiranya didapati bersalah di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kebanyakan tertuduh yang didakwa dibawah seksyen 424 ini adalah juga merupakan individu yang menjadi mangsa tipu secara atas talian atau terpedaya dengan rakan sendiri. Perkara seperti ini kebiasaannya berlaku apabila tertuduh telah diperdaya oleh individu lain.
Terdapat pelbagai modus operandi yang dilakukan. Antaranya, tertuduh terpedaya dengan iklan-iklan secara atas talian terutama di laman Facebook melibatkan sewaan kad ATM. Di dalam situasi ini, tertuduh perlu untuk menyerahkan kad ATM kepada pihak ketiga dan sebagai balasan, tertuduh kononnya akan menikmati bayaran yang lumayan daripada pihak ketiga tanpa menyedari bahawa sebenarnya akaun tertuduh telah disalahgunakan oleh pihak ketiga untuk memperdaya pihak lain.
Seterusnya, pihak ketiga tersebut akan menggunakan maklumat akaun tertuduh untuk memperdaya pihak lain untuk membuat pindahan wang kepada akaun tersebut. Kesannya, apabila mangsa jenayah secara atas talian menyedari mereka telah diperdaya, aduan akan dibuat dan siasatan secara terus akan dibuat ke atas pemilik akaun tersebut.
Kebiasaanya, tertuduh akan didakwa kerana siasatan mendapati akaun yang terlibat dengan jenayah tipu secara atas talian (scam) tersebut merupakan milik tertuduh walaupun pada masa tersebut, tertuduh tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas akaun tersebut kerana kad ATM tersebut telah diserahkan kepada individu lain. Tertuduh juga tidak menerima sebarang manfaat daripada wang yang dipindahkan ke dalam akaun tersebut. Namun pada akhirnya, tertuduh perlu menerima padah akibat terlalu mempercayai pihak lain.
Oleh itu, adalah penting untuk setiap individu sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan anda menjadi mangsa sehingaa akhirnya menyebabkan anda didakwa di bawah Seksyen ini. Elakkan memberikan kad ATM milik anda termasuk maklumat sulit akaun kewangan anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali mahupun individu yang anda kenali walau atas apa jua alasan yang diberikan.
Keyron Nisa

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►