Thursday, December 5, 2019

[502.19] KES KEGANASAN RUMAH TANGGA



Kebanyakkan insiden keganasan rumah tangga jarang dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana ianya dianggap sebagai masalah peribadi/dalaman keluarga dan hanya perlu diselesaikan dalam konteks keluarga itu sendiri.
Dalam menangani kes-kes keganasan rumah tangga, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994 bagi tujuan memberikan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini juga memberi perlindungan kepada mangsa daripada terus menerima ancaman penderaan daripada pelaku.
IPO dan PO telah diperkenalkan di bawah Akta ini. Perintah Perlindungan Interim (IPO) adalah satu bentuk perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Magistret dan berkuatkuasa sepanjang proses siasatan pihak polis dijalankan, iaitu sebelum kes tersebut didakwa di Mahkamah. IPO bertujuan untuk menghalang pelaku daripada terus menggunakan keganasan ke atas mangsa dan mahkamah juga boleh memasukkan arahan ke dalam perintah tersebut yang mana menghalang pelaku daripada menghasut mana-mana orang lain untuk melakukan keganasan rumah tangga terhadap mangsa.
Cara untuk memohon untuk IPO adalah pertamanya mangsa perlu melaporkan kes keganasan rumah tangga kepada polis yang mana melalui laporan polis tersebut, mangsa boleh nyatakan kepada polis bahawa mangsa mahu mendapatkan IPO. Kemudian polis akan mengeluarkan satu surat. Mangsa perlu membawa surat tersebut berserta laporan polis dan kad pengenalan kepada pegawai kebajikan. Seterusnya, tugas pegawai kebajikan ini akan membantu mangsa untuk memohon IPO di mahkamah.
Manakala, Perintah Perlindungan (PO) pula satu bentuk perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret yang mana hanya berkuatkuasa apabila tamatnya siasatan kes polis dan apabila kes telah didakwa di Mahkamah dan semasa perbicaraan dijalankan. Perlindungan yang diberikan kepada mangsa sama dengan perlindungan yang diberikan di bawah IPO. PO hanya sah untuk tempoh satu tahun dan mangsa boleh memperbaharui perintah tersebut selagi kes perbicaraan mahkamah belum selesai.
Akta yang berkuatkuasa pada 1 Jun 1996 ini seterusnya telah dipinda buat pertama kali pada 2012. Antara pindaan yang dilaksanakan adalah takrifan keganasan rumah tangga telah diperluaskan daripada penderaan bersifat fizikal kepada termasuklah penderaan bersifat emosi, mental dan psikologi serta penggunaan bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain yang menyebabkan delusi kepada mangsa.
Pada tahun 2017, lagi sekali pindaan dibuat pada Akta ini selepas terdapat banyaknya kekurangan dan kelemahan dari segi perlaksanaanya. Melalui AKRT (pindaan) 2017 memberi hak penghunian eksklusif kepada mangsa selepas mendapat perintah mahkamah. Dengan pindaan ini, pelaku keganasan rumah tangga boleh 'diusir' keluar dari rumah meskipun rumah tersebut adalah hak bersama.
Selain itu, takrifan keganasan rumah tangga juga meliputi penderaan dari segi kewangan. Contohnya, pelaku dengan curang menggelapkan harta mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan. Bentuk keganasan rumah tangga turut merangkumi ugutan dengan niat menyebabkan takut keselamatan diri atau harta, pihak ketiga berhubung dengan mangsa atau dengan niat mengaibkan kehormatannya melalui elektronik dan sebagainya.
Di samping itu, Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) juga telah dikuatkuasakan yang mana perlindungan segera boleh diberikan kepada mangsa tanpa mangsa perlu membuang masa untuk membuat laporan polis terlebih dahulu. Tidak seperti sebelum ini, di mana mangsa perlu membuat laporan polis terlebih dahulu bagi mendapatkan PO dan IPO daripada JKM. Permohonan EPO juga tidak memerlukan mangsa untuk hadir ke mahkamah. Perlu diingatkan bahawa EPO bukanlah gantian kepada PO dan IPO tetapi hanyalah perlindungan bagi kes-kes kecemasan yang mana sah selama 7 hari dari tarikh ianya dikeluarkan. Ini bagi membolehkan mangsa untuk membuat permohonan lanjut iaitu PO dan IPO di bawah Seksyen 4 dan 5 AKRT 1994 yang mana mengambil masa sedikit lama untuk mendapatkan perintah tersebut. Namun, EPO ini hanya boleh dikeluarkan bagi kes-kes yang melibatkan pasangan suami isteri yang sah sahaja.
EPO ini boleh diperolehi oleh mangsa pada hujung minggu atau di luar waktu pejabat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana melalui perintah ini mangsa boleh dilindungi dalam tempoh 24 jam di bawah perlindungan JKM. Pegawai JKM perlu mengeluarkan EPO dalam tempoh dua jam selepas permohonan dan menyerahkan satu salinan tersebut kepada pegawai polis di daerah kediaman pelaku dalam masa 10 jam EPO tersebut dikeluarkan. Kemudiannya, pegawai polis perlu menyerahkan secara sendiri kepada pelaku dalam masa 12 jam. EPO tersebut berkuatkuasa untuk tempoh seminggu.
Sekiranya, pelaku melanggar mana-mana IPO, PO atau EPO, pelaku boleh dipenjara selama 6 bulan atau dihukum denda RM 2,000 atau kedua-duanya. Dan sekiranya pelaku turut melakukan perbuatan keganasan dalam melanggar perintah IPO, PO atau EPO tersebut, dia boleh dihukum denda RM4,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya.
Untuk sebarang pertolongan, sila hubungi WAO Hotline di talian +603 7956 3488 or SMS/WhatsApp TINA (Think I Need Aid) di talian +6018 988 8058 atau Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) talian Nur 15999.
Oleh,
@ [100034689060542:2048:Farhana Ismail]
@ [150937861626574:274:Hisham Nazir & Cronies]
Oktober 2019

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►