Thursday, December 5, 2019

[501.19] PERLINDUNGAN KE ATAS KANAK-KANAK DI BAWAH UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA



Keselamatan dan penjagaan yang baik terhadap kanak-kanak perlu diutamakan dan dipandang serius oleh semua pihak, bukan sahaja ibubapa kanak-kanak tersebut malah pengasuh atau penjaga lain (seperti guru tadika) yang turut terlibat dalam mengawasi pembesaran kanak-kanak tersebut.
Di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations Convention on the Rights of the Child) CRC, setiap kanak-kanak berhak ke atas perlindungan dan pertolongan dalam mana-mana keadaan tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama, bahasa, status serta keupayaan fizikal, mental dan emosi.
Di Malaysia, undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 memberi perlindungan khas dan jaminan hak kepada setiap kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Berdasarkan Seksyen 17(1), berikut adalah merupakan hak-hak yang perlu diperuntukkan ke atas kanak-kanak, antaranya:
a. Hak untuk perlindungan dari dicederakan dari segi fizikal dan emosi atau dianiayai dari segi seks;
b. Hak untuk pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak;
c. Hak terhadap pemeliharaan, makanan, pakaian dan tempat berteduh yang mencukupi;
d. Hak untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan bagi maksud memulihkan atau memelihara kesihatannya;
e. Hak untuk perlindungan daripada mana-mana pengaruh jenayah dan unsur-unsur kehidupan yang tidak bermoral;
f. Hak untuk perlindungan bagi kasih sayang terutamanya dalam keluarga yang menghadapi konflik; dan
g. Hak untuk perlindungan daripada mana-mana penganiayaan dan eksploitasi bagi aktiviti haram yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu.
Seksyen 18 memberi kuasa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (Pelindung) atau pegawai polis yang berpuas hati atas alasan-alasan yang munasabah bahawa hak seorang kanak-kanak dibawah Seksyen 17(1) telah terabai dan kanak-kanak tersebut memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, boleh mengambil kanak-kanak itu ke dalam jagaan sementara, melainkan jika Pelindung atau pegawai polis itu berpuas hati bahawa pengambilan prosiding berhubung dengan kanak-kanak itu tidak wajar demi kepentingan kanak-kanak itu atau prosiding itu akan diambil oleh orang lain.
Selain itu, Seksyen 30(1) memberi kuasa kepada Mahkamah Kanak-Kanak jika ianya berpuas hati bahawa mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya di bawah Seksyen 19 atau Seksyen 25, iaitu seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, Mahkamah boleh membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di dalam jagaan seseorang yang layak dan sesuai selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah tersebut atau membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat selama tempoh 3 tahun dari tarikh perintah itu dikeluarkan atau sehingga dia mencapai umur lapan belas tahun atau mengikut mana-mana tempoh yang lebih pendek atau memerintah lain-lain perintah yang dianggap wajar dan adil bagi kepentingan kanak-kanak tersebut.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►