Thursday, February 8, 2018

PANDANGAN SEORANG PEGUAM MENGENAI KEMELUT PELANCONG MALAYSIA YANG MENGGUNAKAN KENDERAAN SENDIRI APABILA BERLAKUNYA KEMALANGAN DI THAILAND


1. Muqaddimah
Setiap tahun, kita mendengar keluhan para pelancong Malaysia apabila berlakunya kemalangan di Thailand. Keluhan yang selalunya kedengaran ialah kerana ia melibatkan satu kos yang sangat besar yang perlu ditanggung oleh pelancong Malaysia tersebut untuk membayar ganti rugi yang kadang-kala di luar kemampuan pelancong tersebut.
Kes yang terbaru adalah kemalangan yang berlaku di Phatthalung, Thailand di mana penunggang telah meninggal dunia dan pemboncengnya cedera parah dan perlu mendapatkan pembedahan segera. Saya difahamkan jumlah yang dituntut untuk membayar ganti rugi kenderaan oleh pihak Thailand yang dilanggar adalah sebanyak 250,000 Baht.
Memandangkan jumlah tersebut tidak dapat dibayar pada hari kejadian, persetujuan telah dicapai oleh kedua-dua pihak supaya sebuah motosikal perlu dicagarkan (rakan-rakan kepada yang meninggal dunia yang bersama di dalam konvoi tersebut secara sukarela mencagarkan 2 buah motosikal Harley Davidson) di balai polis dan pihak rakyat Malaysia tersebut diberi tempoh 2 minggu untuk menyelesaikan jumlah ganti rugi kenderaan Thailand yang dilanggar tersebut.
2. Persediaan untuk memasuki Negara Thailand
Sebelum seseorang pelancong Malaysia memasuki Thailand dengan kenderaan sendiri, mereka perlulah mengetahui sedikit sebanyak undang-undang mengenai Negara tersebut terutamanya apa yang perlu mereka ada seperti Insurans dan juga maklumat-maklumat serta autoriti-autoriti yang mereka boleh hubungi dan juga hak-hak mereka sebagai seorang pelancong di Thailand.
3. Insurans
Sebelum sesebuah kenderaan memasuki Negara Thailand, sesebuah kenderaan wajib membeli insurans di bawah (Motor Vehicle Accident Victims Act 1992). Permasalahan yang timbul ialah rakyat Malaysia yang membeli Insurans sama ada di sempadan Malaysia atau Thailand tidak mengetahui apa yang di lindungi oleh Insurans yang mereka beli tersebut.
Di Malaysia, secara umumnya, Insuran Kenderaan terbahagi kepada dua (2) iaitu:-
i. Insurans Komprehensive;
ii. Insurans Pihak Ketiga
Secara ringkasnya, Insurans Komprehensive melindungi kenderaan dan tubuh badan yang cedera/mati kedua-dua pihak iaitu pihak yang membeli Insurans dan pihak ketiga. Manakala Insurans Pihak Ketiga hanya melindungi kenderaan dan tubuh badan yang cedera /mati pihak ketiga sahaja.
Melalui perbincangan saya dengan Peguam Thailand, saya dimaklumkan bahawa di Thailand terdapat dua (2) jenis Insurans :-
1) Insurans yang Wajib di ambil yang di panggil Por Ror Bor atau Compulsory Motor Insurance (CMI). CMI hanya melindungi kecederaan tubuh badan atau kematian dan tidak melindungi kenderaan atau harta benda. CMI boleh di beli daripada Department of Land Transport office (DLT) Thailand, Syarikat Insurans atau daripada ejen yang dilantik berhampiran sempadan.
Peguam Thailand tersebut memaklumkan jika berlaku :-
a) Kecederaan – Perlindungan tidak lebih daripada 30,000 Baht setiap seorang
b) Kecederaan Kekal – 35,000 Baht setiap seorang
c) Melibatkan kecederaan dan kecederaan kekal maksimum 65,000 Baht
d) Kos perubatan dan seterusnya Meninggal Dunia – maksimum 65,000 Baht
Namun, daripada polisi-polisi yang saya baca, kebanyakan Insurans wajib ini memberi perlindungan sehingga 80,000 Baht.
Ada sedikit perbezaan Had masa Minima CMI di antara rakyat Thailand dan rakyat Malaysia
Fakta yang tidak dipertikaikan ialah untuk rakyat Thailand, had masa minima CMI yang wajib diambil adalan 3 bulan. Namun kebiasaannya, rakyat Thailand mengambil terus selama 1 tahun.
Fakta yang ada sedikit pertikaian di sini ialah apabila melibatkan Pelancong. Ada pihak menyatakan Had Masa Minima selama 3 bulan. Namun, Peguam Thailand yang saya jumpa telah memaklumkan kepada saya bahawa untuk Pelancong, had masa minima untuk CMI adalah selama 9 hari. Melalui pengalaman Cikgu Joe Satun juga, beliau berjaya membuat tuntutan CMI yang diambil selama 9 hari.
Oleh yang demikian, buat masa ini, saya mengambil pendapat Peguam tersebut dan pengalaman Cikgu Joe Satun bahawa Pelancong boleh mengambil CMI had masa minima selama 9 hari dan bukan 3 bulan. Bukan semua Syarikat Insurans di Thailand yang menawarkan CMI had masa minima selama 9 hari, ada yang menawarkan had masa minima 3 bulan.
Peguam tersebut juga memaklumkan kepada saya bahawa Insurans wajib ini melindungi tubuh badan/kematian kedua-dua pihak iaitu pemegang insurans dan pihak ketiga. Ini disahkan oleh pengalaman Cikgu Joe Satun melalui pengalamannya membantu mangsa kemalangan
2) Insurans yang di ambil secara Sukarela ( Voluntary)
Insurans Sukarela melindungi kenderaan dan harta benda dan ada pakej yang melindungi tubuh badan dan kematian juga
Insurans Sukarela ini terbahagi kepada tiga (3) iaitu :-
i. Kelas Pertama – Perlindungan kenderaan seperti perlindungan Insurans Komprehensif di Malaysia
ii. Kelas Kedua – Perlindungan kenderaan seperti perlindungan Insurans Pihak Ketiga di Malaysia dengan tambahan kebakaran dan kecurian.
iii. Kelas Ketiga – Perlindungan kenderaan seperti perlindungan Insurans Pihak Ketiga di Malaysia
Insurans Kelas Satu dan Kelas Dua hanya dibenarkan dan ditawarkan untuk rakyat Thailand sahaja. Pelancong hanya dibenarkan untuk membeli Insurans Sukarela (Voluntary) Kelas Tiga bagi melindungi kenderaan dan harta benda Pihak Ketiga
Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah kebanyakan kes kemalangan di Thailand yang melibatkan jumlah wang yang banyak adalah kerana kebanyakan pelancong hanya membeli Insurans Wajib yang melindungi kecederaan tubuh badan dan kematian sahaja DAN TIDAK MELINDUNGI KENDERAAN ATAU HARTA BENDA. Oleh yang demikian, apabila berlaku satu-satu kemalangan, pihak yang di dapati bersalah terpaksa menanggung kos baiki kenderaan atau harta benda pihak yang tidak bersalah. Jumlah yang di tuntut kadang kala mencecah Ratusan Ribu Baht @ Puluhan Ribu Ringgit. Inilah isu yang selalu di perdebatkan oleh rakyat Malaysia apabila berlaku satu-satu kemalangan di Thailand
Apa yang sebaik-baiknya dibuat oleh pelancong Malaysia yang membawa kenderaan sendiri memasuki Thailand mulai sekarang
Pastikan bahawa Insurans yang dibeli melindungi segala aspek yang diperlukan iaitu tubuh badan, kenderaan, kos perubatan dan lain-lain kos yang mungkin terlibat apabila berlakunya satu-satu kemalangan
Memandangkan Insurans Wajib hanya melindungi kecederaan tubuh badan atau kematian, maka adalah dinasihatkan supaya Pelancong –pelancong Malaysia yang membawa kenderaan sendiri mengambil Insurans yang melindungi kenderaandan harta benda juga.
‘Endorsement 101’
Di Malaysia, ada beberapa Syarikat Insurans yang menawarkan perlindungan kenderaan yang dilanjutkan perlindungan kenderaan mereka ke Negara Thailand yang dinamakan ‘Endorsement 101’. Antara syarikat Insurans yang menawarkan ‘Endorsement 101’ ialah ALLIANZ, TOKIO MARINE, AIA dan ETIQA. Ini syarikat-syarikat yang sempat saya kenal pasti dan mungkin ada lagi syarikat-syarikat Insurans yang menawarkan lanjutan ‘Endorsement 101’ ini
Setiap syarikat mempunyai syarat-syarat mereka tersendiri. Namun semua syarikat Insurans yang saya nyatakan di atas hanya menawarkan ‘Endorsement 101’ kepada Insurans Komprehensif yang di ambil oleh pemegang insurans. Insurans Pihak Ketiga tidak ditawarkan lanjutan ‘Endorsement 101’ ini. ‘Endorsement 101’ hanya melindungi kenderaan dan tidak melindungi kecederaan tubuh badan atau kematian. Perlindungan yang ditawarkan kepada kenderaan anda adalah sama dengan jumlah perlindungan kenderaan yang anda ambil di Malaysia.
Apa yang perlu di buat jika berlaku kemalangandi Thailand ialah buat repot polis, tow kenderaan anda ke sempadan dengan kos sendiri dan pembaikan kenderaan hendaklah di buat di Malaysia dan semua kos tow kenderaan bermula dari sempadan Malaysia ke panel bangkel dan pembaikan kenderaan akan ditanggung oleh syarikat Insurans anda di Malaysia berdasarkan kepada jumlah perlindungan kenderaan anda di Malaysia .
‘Endorsement 101’ juga melindungi kenderaan Pihak Ketiga. Untuk syarikat ALLIANZ, perlindungan maksima kepada pihak ketiga adalah sebanyak RM 100,000
Apa yang harus di buat ialah Pihak Ketiga tersebut ialah membaiki kenderaan mereka sendiri dan kemudiannya menghantar tuntutan mereka kepada syarikat Insurans Malaysia dan kebanyakan syarikat Insurans akan mengambil masa di antara 2-6 bulan untuk memproses tuntutan dan membuat bayaran kepada pihak ketiga tersebut .
Berdasarkan kepada fakta di atas, ‘Endorsement 101’ walaupun melindungi pihak ketiga, saya menganggap ianya langsung tidak praktikal kerana pihak ketiga terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaannya sendiri dahulu dan terpaksa menunggu untuk satu jangka masa yang agak lama untuk mendapatkan tuntutannya. Apalagi kesemua syarikat Insurans Malaysia yang di nyatakan di atas tidak mempunyai ejen di Thailand untuk menguruskan tuntutan tersebut. Maka, sudah pasti rakyat Thailand tidak akan ada keyakinan atau percaya kepada ‘Endorsement 101’ ini dan perkara yang terjadi selama ini iaitu menuntut bayaran tunai daripada rakyat Malaysia akan berulang lagi.
Namun, dengan mengambil lanjutan ‘Endorsement 101’ ini sekurang-kurangnya kos pembaikan kenderaan kita ditanggung oleh pihak insurans walaupun kemalangan tersebut berlaku di Thailand. Apa yang menarik, untuk membuat lanjutan ‘Endorsement 101’ ini tidak melibatkan kos yang besar dan boleh di ambil dalam tempoh masa yang pendek iaitu tempoh anda berada di Thailand walaupun satu (1) hari atau ada syarikat Insurans yang meletakkan tempoh minima 7 hari bergantung kepada syarikat Insurans masing-masing. Sebagai contohnya, untuk syarikat Insurans Allianz motosikal 500cc yang jumlah perlindungan RM 30,000, bayaran yang dikenakan untuk ‘Endorsement 101’ ialah Rm 18.85 untuk 5 hari dan RM 37.75 untuk 9 atau 30 har perlindungan.
Insurans Sukarela Kelas 3 (Voluntary Insurance 3rd Class)
Seperti yang di nyatakan sebelum ini, Pelancong hanya ditawarkan Insurans Sukarela Kelas 3. Saya difahamkan oleh ejen Insurans Thailand bahawa Pelancong tidak ditawarkan Insurans kelas 1 dan kelas 2 kerana ada perlindungan kehilangan kereta. Oleh yang demikian syarikat- syarikat Insurans di Thailand khuatir kenderaan dibawa keluar/ seludup keluar Thailand dan di buat laporan kenderaan hilang atau di curi dan pemegang Insurans menuntut ganti rugi daripada syarikat Insuran Thailand bahawa kenderaan mereka dicuri atau hilang.
Saya difahamkan di Thailand, terdapat 24 syarikat Insurans. Bukan semua Syarikat Insurans menawarkan Insurans kelas 3 kepada Pelancong dan ada yang tidak menawarkan kepada pelancong. Ada syarikat Insurans yang pihak ketiga kena baiki kenderaan mereka dahulu dan menuntut daripada syarikat Insurans selepas itu dan ada syarikat Insurans yang akan menanggung semua kos pembaikan pihak ketiga termasuklah tow kenderaan pihak ketiga ke bengkel tanpa pihak ketiga tersebut perlu mengeluarkan wang dahulu dan membuat tuntutan kemudian.
Sekiranya syarikat Insurans kelas ketiga ini perlu membayar dahulu dan membuat tuntutan kemudian, maka ia adalah sama seperti lanjutan ‘Endorsement 101’ dan tidak praktikal. Perkara yang sama akan berulang iaitu pihak yang didapati bersalah dikehendaki menyediakan dan membayar wang tunai untuk menanggung kos pembaikan kenderaan pihak ketiga kerana sudah pasti pihak ketiga tersebut tidak mahu menanggung dahulu kos pembaikan kenderaannya.
Setakat ini, saya hanya berjaya mendapat maklumat daripada ejen ASIA INSURANCE THAILAND yang menawarkan perlindungan kenderaan pihak ketiga di mana syarikat Insurans ini menanggung kesemua kos pembaikan dan towing pihak ketiga tanpa perlu pihak ketiga keluarkan dahulu wangnya sendiri untuk membaiki kenderaannya dan menuntut kemudian kos pembaikan dan ganti rugi.
Perlindungan kenderaan yang diberikan adalah sebanyak 600,000 Baht untuk satu kemalangan. Selain daripada itu sekiranya kita mengambil perlindungan penuh, tambahan perlindungan tubuh badan kepada pemandu/penunggang dan pembonceng adalah sebanyak 50,000 Baht.
Buat masa sekarang, ada 2 masalah yang saya lihat di dalam Insurans Kelas Tiga Sukarela (3rd Class Voluntary Insurance) ini
1) Ia tidak menawarkan had masa pakej seperti Insurance Wajib Poh Ror Bor iaitu selama 9 hari, 3 bulan atau setahun. Ia hanya menawarkan perlindungan selama setahun sahaja. Setakat ini syarikat Asia Insurance, untuk perlindungan penuh motosikal, Premium selama setahun adalah sebanyak 1,999 Baht dan untuk perlindungan Asas (Basic) tanpa kos perubatan, premium untuk setahun adalah sebanyak 1699 Baht. Premium ini adalah untuk semua jenis motosikal tanpa ada had cc dan tiada lebihan (Excess)
Bagi kenderaan 4 roda, premiumnya bergantung kepada jenis kenderaan sama ada kenderaan sedan, pickup atau van dan di tawarkan had masa perlindungan selama 6 bulan atau setahun.
Namun begitu, saya ada berbincang dengan ejen tersebut dan beliau berhasrat untuk membawa saya ke Bangkok untuk berbincang dengan ibu pejabat syarikat Asia Insurans ini supaya Pakej selama 3 bulan, 6 bulan atau setahun di tawarkan kepda pelancong Malaysia dan mereka akan mengkaji dan mengubah jumlah perlindungan yang sesuai dengan jumlah had masa pakej tersebut.
2) Tiada ejen di sempadan. Ejen yang paling hampir ialah di Hat Yai. Kemalangan boleh berlaku di dalam perjalanan dari Danok ke Hat Yai dan pelancong Malaysia tidak sempat mengambil perlindungan Insurans sukarela kelas ketiga ini.
Saya difahamkan bahawa pihak Asia Insurance sedang menguruskan perlantikan satu ejen berlesen di Danok dalam masa yang terdekat ini.
Pembaca boleh dan hendaklah membuat kajian sendiri, selain daripada Asia Insurance, apalagi Insurans di Thailand yang menawarkan pakej yang terbaik untuk pelancong Malaysia. Buat masa ini, saya hanya mendapat maklumat berkenaan dengan Asia Insurance sahaja kerana amat susah untuk mendapatkan maklumat kerana masalah bahasa dan ada syarikat Insurans yang enggan memberi kerjasama atau tidak berminat untuk menawarkan pakej ini kepada rakyat Malaysia.
Insurans Perjalanan (Travel Insurance)
Para pelancong yang membawa kenderaan persendirian amat-amat digalakkan membeli Insurance Perjalanan sewaktu melancong sama ada dengan kenderaan sendiri atau tidak
Insurans perjalanan hanya melindungi diri sendiri atau keluarga pembeli insurans dan tidak melindungi kenderaan
Ia boleh di gunakan sebagai perlindungan tambahan kepada Insurans Wajib dan Insurans Kelas Ketiga Perlindungan Penuh Thailand.
Apa yang menarik mengenai Insurans Perjalanan ini ialah ia boleh di ambil dalam tempoh masa yang singkat dan tidak melibatkan kos yang tinggi
Saya sempat melihat tiga syarikat Insurans yang menawarkan Insurans perjalanan ini iaitu AXA, NOMARD dan AIG. Masing-masng mempunyai pakej yang tersendiri dan premium yang perlu di bayar untuk tempoh perlndungan dari 1-5 hari hanya puluhan Ringgit sahaja bergantung kepada pakej apa yang anda ambil.
Anda boleh hubungi ejen-ejen syarikat insurans ini atau syarikat- syarikat lain untuk mengetahui perlindungan yang diberikan dan belilah mengikut keperluan dan bajet anda.
4. Pusat Bantuan Pelancong Thailand ( Thailand Tourist Assistant Centre) - TAC
Di Thailand, ada TAC di bawah Kementerian Pelancongan dan Sukan. Ia boleh membantu Pelancong yang terlibat dengan pelbagai masalah yang terlibat dalam kemalangan.
Masuklah ke dalam website TAC dan dapatkan nombor telefon TAC di setiap wilayah Thailand. Anda boleh menghubungi mereka sekiranya memerlukan bantuan.
5. Polis Pelancong Thailand
Anda juga boleh menelefon Polis Pelancong Thailand yang boleh berbahasa Inggeris untuk membantu anda sekiranya ada apa-apa masalah di Thailand termasuk jika anda terlibat dengan kemalangan .
Anda boleh telefon Polis Pelancong Thailand ini dengan menggunakan simcard Thailand dengan mendail nombor 1155 untuk mendapatkan apa-apa bantuan
6. Peguam Thailand
Memandangkan Majlis Peguam Malaysia masih belum ada apa–apa hubungan kerjasama dengan Majlis Peguam Thailand, saya telah berusaha untuk menghubungi berpuluh firma guaman di sana tetapi tidak ada satu firma pun yang berminat untuk bekerjasama untuk memberi maklumat kepada saya kecuali Firma Hughes Krupica.
Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama mereka pada hari Rabu 31 Januari 2018 dengan diiringi oleh Cikgu Joe Satun. Secara jujur, saya tidak tahu setakat mana hebatnya Peguam-Peguam di firma ini mewakili anak guam mereka di Mahkamah .
Namun, semasa perbincangan bersama mereka, saya dapat lihat komitmen mereka dan cukup professional.
Firma ini mempunyai 2 cawangan iaitu di Bangkok dan di Phuket
Alamat di Bangkok
Hughes Krupica Consulting (Bangkok) Co. Ltd
179 Bangkok City Tower,
Fifth Floor South Sathorn Rd
Sathorn Bangkok
10120 Thailand
No telefon : +66(0) 22 872 173
Alamat di Phuket
Hughes Krupica Consulting Co. Ltd
23/123-125 Moo 2 Kohkaew Plaza
The Phuket Boat Lagoon,
T Kohkaew Amphoe Muang
Phuket 83000 Thailand
No telefon : +66(0) 76 608 468
Sekiranya anda ada apa-apa masalah yang memerlukan khidmat Peguam, anda boleh berhubung dengan firma ini dan peguam-peguamnya boleh berbahasa Inggeris.
Saya dimaklumkan oleh peguam ini sewaktu berbincang dengan mereka bahawa pelancong juga ada hak untuk mempertahankan diri mereka di Thailand.
Apa yang penting iaitu laporan polis yang dibuat. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pihak Polis di tempat kejadian kemalangan, anda boleh menghubungi peguam untuk datang mewakili anda dan membantu anda untuk membuat laporan polis dan melantik mereka untuk tindakan-tindakan selanjutnya.
Namun, peguam tersebut menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes kemalangan di Thailand diselesaikan secara persetujuan bersama pihak-pihak yang terlibat.
Dalam masa yang sama, sewaktu pertemuan saya dengan Duta Malaysia di Bangkok Thailand, Saya telah meminta pihak kedutaan untuk mendapatkan Peguam-Peguam lain yang boleh membantu pelancong Malaysia sekiranya mereka memerlukan khidmat peguam di Thailand dan saya mencadangkan firma-firma ini di jadikan seperti panel Peguam kedutaan Malaysia di Thailand.
Rakan–rakan Bikers di Thailand juga sedang mengusahakan pertemuan saya dengan dua(2) orang peguam dari Selatan Thailand dalam tempoh yang terdekat ini untuk kami adakan perbincangan.
7. Kedutaan Malaysia Di Bangkok Thailand
Saya telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand pada hari Khamis 01 Februari 2018. Korum di dalam perjumpaan tersebut ialah Duta Malaysia di Thailand Dato’ Jojie Samuel, Encik Mohammad Faizal Razali (Deputy Chief Of Mission), Encik Nor Azizi Bin Abdullah (Third Secretary) dan Cikgu Joe Satun.
Pada pertemuan tersebut, saya telah memaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia berkenaan dengan masalah yang di hadapi oleh Pelancong-pelancong Malaysia yang menggunakan kenderaan sendiri terutamanya apabila berlaku kemalangan. Dalam masa yang sama, saya telah mencadangkan:-
a) Diadakan Memorandum Persefahaman G to G mengenai masalah pelancong Malaysia yang menggunakan kenderaan sendiri di Thailand terutamanya sewaktu berlaku kemalangan.
b) Pihak kedutaan menterjemahkan ke Bahasa Thailand MOU yang telah dicapai dan juga MOU yang menyatakan Pelancong Malaysia yang menggunakan kenderaan sendiri tidak perlu membawa Lesen Memandu Antarabangsa supaya rakyat Malaysia boleh menyimpan MOU yang telah di terjemahkan ke Bahasa Thailand tersebut oleh Kedutaan Malaysia didalam bentuk soft copy didalam handphone mereka atau mencetak hard copy untuk dibawa sepanjang berada di Thailand dan boleh menunjukkan MOU tersebut sekiranya di tahan oleh pihak polis atau pihak-pihak Autoriti di sana sekiranya timbul apa-apa isu yang berkaitan.
c) Pihak Kedutaan mendapatkan Peguam-Peguam yang boleh di jadikan sebagai panel Kedutaan bagi membantu dan mewaliki rakyat Malaysia apabila ada kes-kes yang memerlukan khidmat peguam.
d) Dalam masa yang sama, Duta Malaysia di Bangkok menasihatkan pelancong-pelancong Malaysia terutamanya ‘Bikers’ supaya mengelakkan daripada melekatkan Sticker di harta awam kerana harta awam di Thailand adalah milik Raja Thailand.
Disini juga saya mengambil kesempatan menyarankan semua pelancong-pelancong Malaysia supaya memaklumkan kepada pihak Kedutaan Malaysia apabila mereka ingin memasuki negara Thailand, iaitu tempat yang hendak di tuju dan berapa lama tempoh berada di Thailand
Anda boleh email ke alamat email ini:-
mwbangkok@kln.gov.my
Jika ada apa-apa masalah, anda boleh hubungi nombor telefon 02 6896800 pada waktu pejabat daripada hari Isnin – Jumaat pukul 8 pagi – 4 petang.
Sekiranya di luar waktu pejabat, hari Sabtu, Ahad atau Cuti Umum, anda boleh telefon nombor 08 70284659 di mana ada pegawai-pegawai yang bertugas 24/7
8. Perjumpaan Dengan Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Reezal Merican
Saya telah mengutarakan isu yang sama kepada Datuk Seri Reezal Merican apa yang saya bincangkan bersama Duta Malaysia di Kedutaan Malaysia di Bangkok Thailand.
Saya mencadangkan pihak Kementerian Luar berbincang dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Malaysia Takaful Association (MTA) dan Bank Negara Malaysia supaya semua Syarikat Insurans/Takaful menawarkan lanjutan ‘Endorsement 101’ dan memudahkan tuntutan pihak ketiga supaya menjadi lebih praktikal, bukan seperti sekarang iaitu pihak ketiga perlu membayar dahulu kos pembaikan kenderaan dan menuntut kemudian ke syarikat Insurans Malaysia yang mana proses tersebut mengambil masa di antara 2-6 bulan.
9. Nasihat Daripada Rakan-Rakan Thailand
Rakan-rakan Thailand menasihatkan supaya setiap pelancong yang membawa kenderaan sendiri bertanya kepada mereka yang mempunyai pengalaman memandu dan menunggang di Thailand kerana disiplin pemandu/penunggang di Thailand dan Malaysia adalah tidak sama
Mereka juga menyarankan setiap Pelancong Malaysia membawa/ memakai kamera Video untuk merakamkan setiap peristiwa sebagai bahan bukti untuk mengelakkan permintaan yang menyalahi undang-undang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab .
10. Kesimpulan
Malang tidak berbau, kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa, dimana-mana dan pada bila-bila masa.
Berdasarkan kepada apa yang telah saya nyatakan di atas, saya mencadangkan supaya kita melabur sedikit dalam pembelian Insurans supaya kita melancong dengan keadaan yang tenang dan tidak menyusahkan sesiapa sekiranya berlaku kemalangan di Thailand.
Insurans yang saya cadangkan untuk di ambil ialah :-
i. Insurans Wajib (CMI atau Por Ror Bor). Periksa polisi insurans tersebut apa yang dilindungi dan jumlah perlindungan. Begitu juga dengan harga insurans tersebut kerana ada ejen yang menjual insurans wajib yang memberi perlindungan selama 9 hari dengan harga yang lebih kurang sama dengan Insurans wajib yang memberi perlindungan selama 3 bulan. Insurans wajib adalah untuk perlindungan kecederaan tubuh badan atau kematian;
ii. Lanjutan ‘Endorsement 101’
Ini bagi melindungi kenderaan anda
iii. Insurans kelas 3 Thailand
Ini bagi melindungi kenderaan dan harta benda pihak ketiga
iv. Insurans Perjalanan (Travel Insurance)
Ini sebagai tambahan kepada perlindungan untuk diri anda atau keluarga/ penumpang (Insurans perjalanan tidak melindungi kenderaan)
Pastikan anda membeli insurans daripada ejen yang boleh membantu anda apabila anda mengalami kemalangan atau masalah. Tidak ada gunanya anda membeli insurans, kemudian apabila anda di timpa kemalangan atau masalah, anda tidak dapat hubungi ejen insurans yang anda beli tersebut atau ejen tersebut tidak boleh membantu anda(sekadar menjual insurans)
Selain daripada telah melengkapkan diri anda dengan keperluan semua insurans seperti yang saya dinyatakan di atas, apabila anda terlibat dalam kemalangan:-
I. Hubungi Polis Pelancong Thailand
II. Hubungi kesemua ejen insurans anda
III. Hubungi Pihak Kedutaan Malaysia
IV. Sekiranya perlu, hubungi peguam dan dapatkan khidmat mereka untuk mempertahankan hak anda.
Anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada mereka yang telah berpegalaman menunggang / membawa kenderaan di Thailand, ambil tahu cara menunggang/memandu yang sepatutnya dan selamat di sana.
Akhirnya, sebaik-baiknya setiap penunggang atau pemandu perlu melengkapkan diri mereka dengan kamera video supaya boleh di jadikan bahan bukti dan untuk mengelakkan diri daripada di ambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di sana
11. PERNYATAAN BUKAN TANGGUNGJAWAB (DISCLAIMER)
Pandangan dan informasi yang saya nyatakan di sini saya perolehi daripada perjumpaan saya dengan Peguam Thailand, panggilan telefon, mesyuarat dengan ejen insurans dan maklumat daripada orang ramai.
Sekiranya pandangan atau informasi yang saya berikan ini tidak tepat atau salah, saya tidak bertanggungjawab di atas apa-apa pandangan atau informasi yang tidak tepat atau salah tersebut
Pandangan dan informasi ini hanya berdasarkan maklumat-maklumat terhad yang saya perolehi.
Anda boleh membuat kajian anda sendiri sekiranya ingin mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan yang lebih meyakinkan anda.
Salam ikhlas daripada saya,
Badruzzaman Ishak @ LB
Peguambela & Peguamcara
BC/B/106

2 komen:

fauzimnoor said...

Semoga nanti voluntary tu juga ditawarkan utk tempoh singkat. Kebiasaan kenderaan melawat ke Thailand bawah 10 hari, selalunya. Kalau mcm skrg RM300 utk setahun org nampak mahal sangat, bukan semua org selalu ke sana dalam setahun

fauzimnoor said...

Semoga nanti voluntary tu juga ditawarkan utk tempoh singkat. Kebiasaan kenderaan melawat ke Thailand bawah 10 hari, selalunya. Kalau mcm skrg RM300 utk setahun org nampk mahal sangat, bukan semua org selalu ke sana dalam setahun

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►