Friday, April 7, 2017

TANGGAPAN KEPADA KERJAYA PEGUAM



Salah satu perkara aneh yang selalu dihadapi para peguam adalah – seseorang yang selama ini percaya bahawa peguam itu ‘kaki’ menipu akhirnya mengadu kepada peguam juga setelah ditipu orang, dan penipu itu bukan seorang peguam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Entah siapalah yang mula-mula mereka kata-kata, ‘menjadi peguam itu ibarat meletak sebelah kakinya di neraka.’ Padahal sekalian manusia – kita, memang hanya ada dua pengakhiran sahaja; syurga atau neraka. Dan hal pengakhiran ini tidak menyebut mana-mana pekerjaan secara spesifik pun. Buatlah apa kerja, tetap kita ini antara membuat perkara baik dan sebaliknya.
Selain tohmahan ‘kaki’ menipu, peguam sering dilihat orang awam bagaikan makhluk dari planet lain. Haha. Baiklah, penjelasannya begini. Bacaan kami sejak di peringkat pengajian undang-undang adalah buku yang dipenuhi dengan ayat-ayat yang tidak mudah untuk difahami dengan sekali bacaan.
Kadangkala sebaris ayat bagaikan bongkahan batu besar yang perlu kami sedaya-upaya pecahkan untuk mengambil isi dalamnya. Sukar. Memang sukar. Tapi kesukaran itu adalah latihan yang perlu kami tempuhi. Bacaan-bacaan sukar itu, makanan ruji kami. Dan kami golongan yang membaca. Setahu saya, hampir tidak ada peguam yang tidak membaca. Sampai kadangkala saya terfikir seorang peguam itu menghadam perkataan lebih banyak daripada butiran nasi.
Maka hasilnya, kami tidak berfikir seperti orang awam. Latihan membaca ayat-ayat yang sukar selama bertahun-tahun telah membuat otak kami lambat letih biar pun berfikirnya tidak henti-henti.
Selain itu, kami memandang satu-satu perkara berbeza dengan pandangan orang awam. Contohnya, orang awam melihat sebuah kereta dipandu di atas jalan raya dan tiba-tiba melanggar seorang pejalan kaki. Itu adalah kemalangan jalan raya. Setakat itu.
Tetapi kami peguam tidak. Kami melihat dari sisi ‘Tort’. Dalam konteks ‘duty of care’ bagai. Dan pecahannya banyak sekali. Dengan keupayaan mengasingkan aspek emosi, kami mengkaji sebesar mana kemungkinan itu kemalangan itu sekiranya dapat dielak.
Keadaan kenderaan, keadaan pemandu (kesihatan, kelakuan, kelajuannya dan apakah yang mengganggu fokus pemanduannya), keadaan jalan raya serta pelbagai lagi, kami membuat kira-kira tentang berapa peratus semua ini menyumbang terhadap berlakunya kemalangan.
Tidak lupa, perkara asas iaitu tentang dokumen-dokumen kenderaan – bagi urusan membuat dan/atau menghadapi sebarang tuntutan kelak. Hanya untuk satu kes kemalangan, kami boleh membuat perincian yang tidak terjangkau dek orang awam.
Kerana kami dilatih menjadi ‘problem solver’. Orang awam datang kepada kami seperti Tun Nila Utama dalam filem Musang Berjanggut (1959) datang membawa uncang yang di dalamnya mengandungi beras, cili, bawang, dan segala rempah-ratus yang dicampur sekaligus. Maka kami peguam umpama Puspawangi – mengasing-asingkan segala bahan yang bercampur-aduk, menyusun semula dan menyediakan hidangan.
Klien - Tun Nila Utama, tidak terlibat langsung dalam proses yang disebutkan tadi. Yang menyinsing lengan baju, berteleku mengasingkan bahan-bahan, merancang juadah dan mengadun segala bahan untuk masakan segalanya dilakukan oleh Puspa Wangi. Tahu-tahu saja sudah terhidang di hadapan Tun Nila Utama makan malam berupa nasi lengkap dengan lauk-pauk yang enak. Begitulah, lebih kurangnya kerja kami. Cerita panjang-panjang nanti bosan pula.
Memang ada peguam yang menipu. Tapi, bukanlah sebab mereka peguam. Sebab mereka memang ‘kaki’ menipu. Penipu adalah penipu dan pekerjaan peguam hanyalah ‘pakaian’ kepada si penipu. Golongan penipu boleh saja menyarung ‘pakaian’ menteri, pegawai, kerani, doktor, ahli sukan, pakar motivasi, guru, bahkan penjual karipap di warung tepi jalan pun berpotensi untuk menjadi penipu.
Cumanya sebab kita faham konsep kuih karipap maka kita lebih jelas tentang penipuan oleh penjual kuih karipap. Isi karipap sepatutnya adalah inti kari ayam, kari daging, sardin atau ubi kentang. Bukannya angin. Yang berintikan angin itu namanya belon. Atau tayar.
Manakala proses perundangan pula melibatkan proses yang kompleks dan rumit ditambah dengan ayat yang sukar difahami membuatkan orang awam sentiasa merasa was-was dan tidak selamat. Sebab tidak tahu. Kalau benar ditipu pun tidak tahu ditipu dari sudut apa. Itu yang buat perasaan jadi bertambah geram, bukan? Jadi hendak senangkan jiwa sendiri, pukul rata sajalah kata peguam menipu. Walhalnya apa penipuan pun tidak berlaku.
Saya sendiri pernah berhadapan satu kes. Tentang urusan harta pusaka. Bekas klien ini menggunakan khidmat ejen entah dari mana untuk urusan harta pusakanya. Lepas membayar sejumlah RM5,000.00, ejen hilang lesap. Urusan pusaka apa pun tak selesai. Padahal kesnya mudah saja. Untuk kes mudah-mudah seperti itu dan agensi berkaitan harta pusakanya pun berada berdekatan saja, kosnya saya kira di bawah RM900.00 sahaja.
Saya bertanya, mengapa tidak dari awal berjumpa peguam? Katanya, sebab takut nanti peguam tipu. “Jadi adakah ejen yang bawa lari RM5,000.00 itu peguam?” Saya bertanya lagi. Tapi dalam hati sajalah. Kahkah.
Ada ramai peguam yang baik. Ada ramai peguam yang amanah, profesional dalam menjalankan tugas. Dan kini, semakin ramai juga peguam yang secara sukarela memberi khidmat nasihat percuma, mengarang ‘posting’ di laman maya berkait hal perundangan dengan laras bahasa orang awam semata-mata untuk memberi kefahaman.
Percayalah, melenturkan bahasa undang-undang ini tidak mudah kerjanya. Hendak faham satu hal. Hendak mengolah supaya orang awam boleh faham lagi satu hal. Itupun, daripada soalan-soalan yang dikemukakan (di ruangan komen contohnya) kami peguam boleh mengagak bahawa – sesetengah orang memang tidak faham apa-apa langsung.
Tidak kurang juga yang menghidangkan soalan-soalan berbaur prejudis terhadap peguam. Sungguh tidak patut jika difikirkan. Susah-susah peguam baik menyediakan kefahaman asas (percuma pula tu!), hanya untuk orang awam senang-senang menghamburkan rasa tidak puas hati terhadap peguam jahat yang berada entah di mana.
Situasi ini bagaikan penceramah jemputan yang memberi ceramah ‘menghentam’ orang-orang yang liat mahu solat berjemaah kepada audiennya - jemaah-jemaah yang sedang hadir solat berjemaah di surau/masjid. Tidak banyak sedikit akan menerbitkan rasa kesal juga, bukan? Lemah semangat jadinya. Tapi iyalah. Benda membuat kebaikan ini memang begitulah cabarannya.
Dan, sekali lagi saya mahu katakan. Ada ramai peguam yang baik. Yang bersengkang-mata, tidak berkira tentang masa, duit dan tenaga, bahkan yang sanggup membatalkan acara keluarga hanya semata-mata untuk berusaha memberi khidmat mereka yang terbaik.
Bukanlah perkara asing bagi para peguam untuk membantu rakan peguam lain yang kemalangan (orangnya selamat tetapi kenderaannya tidak) dan terus pergi berkejar ke mahkamah demi ‘menyelamatkan’ kes anak guam. Kenderaan sendiri belakang kira yang penting kes tidak dibuang. Ini bukanlah cerita mengejar yuran guaman tuan-tuan dan puan-puan. Bukan. Ini – hubungan fidusiari namanya. Sejenis hubungan suci peguam-anak guam yang masih ramai belum mengerti.
Namun, jika dalam begitu ramainya peguam yang baik di negara ini dan anda masih tak sudah-sudah ditemukan dengan peguam yang sebaliknya, mungkin cermin di bilik anda dapat membantu memberikan jawapannya. Boleh jadi sejenis kesan terhadap apa yang disebut orang sebagai - ‘law of attraction’. Tidaklah semestinya. Tapi boleh jadi.
Kredit kpd fb @Naziatul Azrin
Hisham Nazir
Subang Jaya | Sungai Petani
+60139307961

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►