Friday, April 7, 2017

SIAPA NAK BAGI CADANGAN UNTUK MASALAH INI. BANTU PANDANGAN SUDUT HARTA SEPENCARIAN.


[Semasa post ini dimuatnaik, jawpan bertulis telah dibuat dan dibukukan]
MASALAHNYA:
Assalamualaikum wbrt
Tuan Kaunselor yang dihormati,
Nama saya Mohd Fuad bin Saroji. Ingin saya mendapatkan sedikit penawar hati dari masalah ini. Saya orangnya pelajaran tidak tinggi. Sempat 2 tahun di Universiti Putra Malaysia tetapi tahun ketiga dibuang universiti. Ini semua gara-gara saya godam sistem UiTM dan UPSI. Saya malu dan ibu bapa saya lebih-lebih lagi. Mana tidaknya, kedua mereka pensyarah UKM bergaji tinggi. Tahun 1998, ibubapa saya cuba dapatkan tempat di UM dalam bidang IT. Sempat daftar kuliah dan masuk kelas 7 kali lepas itu saya lari. Akhir tahun yang sama saya dapat tawaran kerja daripada sebuah syarikat gergasi, Yahoo Asia Pacific Pte Ltd berpejabat di KLCC. Biarpun tidak habis sarjana muda, saya dibayar gaji permulaan melebihi gaji ibu di UKM, Bangi.
Bagi meminimakan sikap buruk dan hanyut tidak bertepi, ibubapa saya cuba kahwinkan saya dengan sepupu tiri. Aisya Hidayah namanya dan cantiknya dia memang saya tidak nafi. Tetapi hati saya telah terpaut pada Aom Sucharat Manaying, gadis Thailand di bahagian forensik IT. Hubungan ini mendapat tentangan ibu bapa serta semua saudara dari kanan kiri. Pendek cerita, tahun 2004 kami kahwin lari. Daftar balik perkahwinan di sini dengan sedikit denda dan tazkirah Tuan Kadi.
Sepanjang perkahwinan, kami suami isteri tinggal di Pondok Indah, Indonesia. Ini kerana saya ditugaskan menyelia kerja Andrian Lamo selama 4 tahun di sana. Alhamdulillah, sepanjang di sana, 2 orang zuriat lelaki dikurniakan Allah dengan penuh redha. Isteri saya, Aom menjadi suri rumah sepenuh masa. Menumpukan sepenuhnya keperluan keluarga dan kehendak saya. Tapi saya akui, saya masih nakal dengan dadah di luar biarpun mempunyai segalanya.
Selepas berkeluarga, rezeki saya bertambah angka. Bayangkan umur 32 tahun (2009) saya telah memiliki 12 buah rumah dan 8 tanah kosong dan dusun yang kesemuanya di Malaysia. Setiap bulan saya menghantar RM19,000.00 kepada sepupu saya, Wahi Abdul Rashid di Kelana Jaya. Beliau kemudiannya akan menguruskan kewangan tersebut dan membeli hartanah sedia ada. Hartanah tersebut kesemuanya diberikan sewa. Hasil sewaan sebulan mencecah RM14,500.00 di kira-kira. Saya merahsiakan semua ini daripada isteri saya. Bertahun-tahun lamanya. Sehingga satu ketika, rahsia ini diketahui oleh isteri, bekas pakar forensik komputer. Perang besar kami masa itu pasal harta. Mengamuk isteri saya atas dua perkara. Pertama kenapa Malaysia sahaja. Kedua, kenapa perlu dirahsia.
Saya jawab mudah, “ini semua surprise untuk sayang juga!” (“นี้แปลกใจของฉันให้คุณ”). Alhamdulillah, dengan tambahan sikit ayat bunga-bunga, perang dunia mampu direda. Kami aman dengan syarat tambahan, beberapa hartanah di Krung Thep Maha Nakhon menarik minatnya. Siapa tak sayang bini, saya beli 2 biji rumah banglo bersaiz sederhana di bandar kelahiran isteri yang cantik dan manja. Kedua-duanya tidak boleh makan jasa. Satu dihuni adik ipar dan ibu mertua. Satu lagi dihuni percuma kakak Aom sekeluarga. Tetapi semua hartanah dinamakan atas nama saya sahaja.
3 bulan sebelum kontrak kerja tamat, saya mendapat tawaran ke Belanda. Gaji bertambah 20% dan tidak perlu balik Malaysia. Kononnya masih malu dengan keluarga. Bincang dengan isteri, dia benarkan saya ke sana. Isteri dan anak-anak kekal di Pondok Indah buat sementara. Saya kemudian berjaya (sepupu sebenarnya) mengambil alih satu syarikat pembinaan di Malaysia. Syarikat tidak besar mana. Tetapi mampu memperolehi laba. Selain itu, kewangan saya dihabiskan dalam pembelian syer-syer di Malaysia. Dalam masa sama, rakan baik memujuk untuk melabur di Kebayoran. Kami sama-sama membeli dan membangunkan Hotel Hang Tuah di Jalan Hang Tuah Utama.
Pada tahun 2013, kontrak saya dipendekkan syarikat tidak sebagaimana dipersetujui. Ini gara-gara banyak sangat makan Greek Cannabis Stew. Disiplin kerja dan masa tidak lagi seperti dulu. Walaupun soal kepakaran, saya masih nombor satu. Perkara ini diketahui Aom lalu satu pagi tahun 2013, Aom muncul tiba-tiba depan pintu. Kami bergaduh besar hari itu. Kami bergaduh kerana saya lama tidak pulang ke Indonesia dan saya tegas melaksanakan hak individu. Menanam dan menjaga 2 perdu ganja di hadapan pintu. Katanya saya tidak seperti dahulu. Kerana dadah saya lupa rasa malu dan janji kepadanya dulu. Kali ini saya akui silap sendiri satu-satu. Tuntutan fasakh Aom dibenarkan di Malaysia pada 24 Februari 2014 sebelum membawa anak-anak pulang ke Bangkok dengan semua kain baju.
Kini saya banyak habiskan masa di Jakarta Selatan. Membantu dalam pemasaran perhotelan. Selebihnya, saya mengharapkan keuntungan syer dan sewaan. Awal September 2016, Aom datang ke Malaysia untuk menuntut harta sepencarian. Katanya, Aom mahu menuntut sebahagian daripada harta-harta dan keuntungan dari sewaan dan juga saham. Ini melibatkan semua tuntutan samada hartanah di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ini belum dikira 1 buah kereta jenis Mercedes Benz CLA250 pun dimahukan. Saya keliru kerana Aom tidak pernah memberikan sumbangan. Semuanya usaha saya seorang. Kenapa pula saya perlu membahagi-bahagikan. Rumah-rumah banglo di Bangkok tidak pernah saya sewa dan minta bayaran. Nafkah anak-anak dan keperluan semuanya saya bayarkan.
Tuan Kaunselor,
Saya mohon pandangan Tuan dalam menghilangkan kebuntuan. Jika saya kehilangan mana-mana bahagian, mungkin akan menjejaskan pemilikan dan pendapatan. Sekarang ini, hanya semua ini yang memberikan harapan. Adakah saya perlu akur pada tuntutan. Adakah saya perlu memberikan Aom sebahagian. Adakah pemilikan saya di kira harta sepencarian.
Yang buntu,
Mohd Fuad bin Saroji
Kebayoran, Jakarta Selatan
Nota: Tiada kaitan dengan permasalahan yang masih hidup atau telah meninggal dunia.
LIKE & SHARE
Hisham Nazir & Cronies
Subang Jaya & Sungai Petani
www.hishamnazir.com | www.hishamnazir.net
+6013-9307961

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►