Thursday, August 22, 2013

Bila Kami Tiada, Doakan Kami..


Selesai baca Quran, hajat nak tidur. Lewat, waktu dah cecah jam 1.30 pagi. dah masuk hari baru. Tetapi ingatkan Arwah  Abah sebab setiap hari baca Quran ada beberapa surah amalan yang tidak ditinggalkan agar boleh menjadi bekal. Semoga Allah mengampuni Arwah.

Entah kenapa terfikirkan seseorang. Sudah Arwah. Tidak berhubung acap mahupun tidak berguru lengkap mahupun bukan saudara mara Uichi baik dekat mahupun jauh.

Tok Ayah Syim!.. Arwah Tok Ayah Syim..

Selesai solat jumaat, Uichi balik landing di bilik tidur. Fikiran masih mengingatkan orang tua di Masjid As Salam yang mampu membaca surah al Mulk tanpa Quran. Hebatnya orang-orang lama Kelantan.

SMS seorang rakan diterima "tok ayah syim meninggal. Baru tahu" Uichi segera mencapai apa yang ada menuju ke tempat Tok Ayah. Orang mulai penuh di kawasan rumah dan masjid di tepi rumahnya. Tetapi dipemudahkan bagi semua yang berkenderaan.

Jenazah Tok Ayah dibawa masuk ke dalam masjid untuk disolatkan. Beberapa pimpinan utama diberikan ruang dan Sultan Kelantan sendiri tergesa-gesa dalam menaikki tangga masjid dan ke depan bagi solat jenazah Tok Ayah. Kelam kabut pengiring khas situasi yang sebegitu. Hari jumaat pula, semua pistol diselitkan celah sampin sahaja.

Uichi sempat ke saf tengah. Biarpun sebesar masjid itu, solat jenazah penuh sehingga ke tangga terakhir masjid. Malah masih ramai yang tidak dapat ruang untuk bersama. Jenazah diusung ke kubur yang juga di dalam kawasan yang sama. Ramai yang mengiring. Terlalu ramai. Tetapi tidak sempat menemui mana-mana wajah kenalan lama.

Bagi yang tidak berkesempatan, masih ada mengambil ruang untuk solat jenazah diperkuburan. Masih bertalu pelawat kepada Arwah. Banyak daripada mereka orang hidup beragama. Setiap penjuru perkuburan, ratusan pelawat membaca Quran untuk Arwah.

Selesai pengebumian, masih ada pelawat yang tiba. Solat jenazah masih diteruskan entah kali ke berapa. Entah berapa pula solat jenazah yang dibuat secara ghaib. Semuanya seolah berebut untuk solatkan Arwah. Sayang betul mereka kepada yang pergi ini.

Di kala pelawat beransur pulang meninggalkan perkuburan, masih ramai yang ralit dengan Quran dan menyedekahkan bacaan dan doa buat Arwah. Uichi berada dihujung wakaf tidak jauh daripada beberapa anak-cucu Arwah masih ralit dengan doanya.

Selesai satu juzuk Quran, cucu saudara Arwah mengajak berjalan, "jom singgah rumah dulu minum air". Bersama beberapa orang lama pondok, kami singgah di khemah sebelah masjid tadi. Beberapa guru utama pondok, Tuan-Tuan Guru masih di situ.

"bila dah tua, lutut dan kaki pun sakit. Nak kuat macam dulu tak boleh dah!. Ingat Allah bagi kudrat ni mujur" kata Tuan Guru Abdul Basit. Jelas tetapi macam perli anak muda. Aduh! pedas juga..

Uichi tidak ingin bercerita mengenai Tok Ayah. Tidak pula ingin menceritakan tentang siapa dan kenapa dan dimana cerita ini bermula.

Tetapi Uichi ingin meninggalkan pertanyaan kepada diri sendiri, baik juga kepada rakan semua. 

Adakah akan ada orang berebut untuk mandikan dan solatkan kita..

Adakah akan ada orang berebut untuk hadir dan doakan kita..

Adakah akan ada doa yang berterusan untuk kita..

Dimana anak kita, Dimana sahabat kita..

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►