Dalam mewakilkan peguam dalam satu-satu prosiding, sudah tentu ramai yang memilih kualiti seorang peguam. Dalam erti kata lain; boleh ke peguam ini buat?
Ada yang menaksirkan kualiti dengan senioriti seorang peguam. Sememangnya ada betulnya pandangan awal tersebut tetapi perlu diambilkira bahawa peguam ada banyak jenis amalannya. Ada yang tertumpu kepada korporat, maka agak keterlaluan untuk mengatakan ada kepakaran dalam bidang perundangan jenayah. Ada yang bertahun melakukan kerja-kerja perundangan Jenayah, maka adalah suatu yang tidak wajar untuk dikatakan berkemahiran dan berkualiti dalam mengendalikan kes-kes sivil.
Malah ada juga segolongan peguam yang hanya terlibat dalam peringkat korporat mahupun pemasaran sahaja. Mungkin melibatkan firma-firma guaman besar dan bos-bos sahaja. Tetapi saya lebih berminat untuk memperkatakan sejauh mana pandangan orang awam (layman) dalam soal senioriti dan kualiti seorang peguam.
Melihat pada persepsi orang awam kini, dalam perundangan jenayah, peguam yang ada nama melalui hebahan media sering dikatakan dan dilabelkan secara terus sebagai peguam hebat. Betul ke pandangan tersebut? Adakah nama baik diperolehi melalui politik, penumpuan pada suatu bidang tertentu atau senioritinya atau mana-mana alasan yang tidak dinyatakan di atas.
Orang awam di Malaysia masih belum matang dalam membuat kajian mengenai peguam dalam mempertimbangkan siapa yang patut menjadi pilihannya. Orang awam masih dilihat memberikan tanggapan bidang perundangan boleh dibuat secara window shopping melalui pertemuan dengan beberapa peguam dan pemilihan akan dibuat berdasarkan hukum yang diberikan atas pertemuan tersebut tanpa mengenali kerja-kerja awal peguam tersebut.
Yang lebih menarik, orang awam kini lebih tertarik kepada beberapa kriteria dalam memilih seorang peguam iaitu Pertama; umur, yang mana lebih tua lebih memberikan kelebihan. Kedua; yuran guaman yang rendah dan Ketiga; Janji manis atau representasi yang menjanjikan sesuatu kebaikan kepada orang awam.
Dalam keadaan semasa, kriteria kedua banyak menentukan faktor pemilihan peguam manakala kriteria ketiga banyak membantu pemilihan dalam memilih peguam mengendalikan perundangan jenayah.
Pada pemerhatian yang dhaif ini, ketiga-tiga kriteria tersebut tidak sepatutnya timbul dalam benak dan hati orang awam dalam menentukan siapa peguam mereka tetapi isu merit dan kompetensi peguam dalam melaksanakan kerja serta mutu kerja yang boleh ditonjolkan selaras dengan balasan yang dipersetujui.
Ada orang kata, "peguam itu selalu disebut-sebut namanya". Maka saya teringat kata-kata seorang senior saya (lupa siapa) biasanya yang glamer tu biasa kalah di Mahkamah. Pernyataan tersebut tidak pernah dihiraukan tetapi bila difikirkan ada betulnya.
Mungkinkah kematangan orang awam dalam memilih peguam akan membiakkan industri perundangan yang lebih jauh?
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..