Thursday, November 19, 2009

Aku & Gajah


Suatu ketika tengah ralik makan. Anak kecil datang ketepi saya dengan buku di tangannya dan menanyakan "cik kalau jadi binatang, nak jadi apa?" Ini semasa saya singgah ke rumah seorang rakan. Belum sempat saya menjawab, kawan mana entah menyampuk. "gajah!"

Sambil senyum, ayat pembelaan dah teratur di kepala untuk balas serangan kawan yang di hujung sana. Masa yang sama, saya melihat anak kecil tadi melihat pada buku gambar-gambar binatang di dalamnya. Belum sempat saya luahkan ayat-ayat pembelaan, saya dengar anak kecil ini kata perlahan, "Gajah, binatang yang amat bijak. Erm..." Saya lihat dia berlalu pergi tanpa memberikan komen mengenainya.

Tiba-tiba peristiwa ini datang di bayangan saya apabila duduk minum ais cendol dan rojak semalam selepas selesai perkara di Mahkamah Ampang. Saya terfikir, gajah ke saya?

Hari ini mungkin dalam masa 2 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Mahkamah Ampang. Tapi saya masih lagi mengamalkan rutin saya, selepas mahkamah selesai saya menjengah di gerai kecil abang Cendol dan kakak Rojak itu. Satu gerai yang agak tersorok tapi disinggahi semenjak saya menjadi peguam.

"Tuan, cendol dan rojak eh!" nyata kakak rojak yang mengambil order. Nampaknya mereka masih ingat saya sebagaimana saya biasa singgah dulu-dulu. Ingatkan mereka tak ingat, kerana saya berpakaian preman. Tetapi bukan kelihatan gangster.

Gajah ke saya?

Rutin binatang adalah ringkas. Mereka mencari makan dalam satu bulatan perjalanan. Ini menandakan satu bulatan perjalanan akan lengkap menandakan lengkap musim pemakanan mereka. Musim mereka.

Rutin ini juga mengelakkan mereka kehilangan atau ketinggalan stok makanan yang ada seterusnya memastikan bekalan berterusan tanpa had dan berjadual tetap. Itu binatang. Ini yang guru Gayong saya bercerita semasa projek menangkap rusa belang putih 2 inci di satu hutan di utara Malaysia. Bila terjumpa kesan makan haiwan itu, maka tunggulah makanan atau pokok itu tumbuh dulu pucuknya dan binatang sama akan datang. Itu memang rutinnya. Maka untuk melengkapkan musim pemakanan tersebut, guru itu terpaksa berjaga di tempat sama selama 15 hari.

Gajah ke saya?

Gajah juga rasanya sedemikian. Cuma lebih sikit mengenai gajah ialah ia pintar dan walaupun nampak agak 'bongok' dari sudut saiz dan tindakan, tetapi binatang ini lebih senang dijinakkan dan diajar. Tetapi ia mampu bertindak luar kawalan walaupun telah dijinakkan.

Pernah lihat tanda-tanda jalan mengenai gajah?.. Pakar haiwan kata, gajah juga bermusim kalau satu kumpulan sudah melalui jalan tersebut pada satu-satu masa, maka masa yang sama di musim hadapan, mereka akan lalui lagi tempat tersebut.

Tidak dihadkan kepada musim pemakanannya tetapi ia juga melibatkan juga penghijrahan yang biasa dilakukan. Maka sebab itu kalau nak buat jalan merentasi hutan yang ada gajah maka kajian perjalanan gajah perlu dibuat takut terpagar kawasan laluannya. Sebab itu ada tanda Laluan Gajah Melintas!

Gajah ke saya?

Di sebalik menungan ini, saya terfikir balik yang secara peribadi saya melingkungi satu bulatan yang mana pada satu masa saya tetap akan singgah satu tempat dan menjadikan ia sebagai laluan saya atau rutin pada satu-satu masa.

Saya malas nak bincang soal De Javu yang selalu saya alami tetapi ini dari sudut realiti kalakuan yang jarang saya amati. Saya tidak kisah soal ini semalam.

Tetapi hari ini saya singgah di Mahkamah Selayang bagi satu urusan kerja di Rawang melibatkan bailif. Dalam perjalanan balik dari Mahkamah Selayang saya 'ter'singgah di tempat Pak Tam, tempat biasa saya singgah selepas habis urusan di Mahkamah Selayang. Tanpa menjadualkan untuk berbuat sedemikian.

Gajah ke saya?

2 komen:

mazan67 said...

Hisham,
Suatu perumpamaan yang begitu menarik...saya amat tertarik dengan cerita ini...

SH said...

Terima kasih... tapi awak tak jawab soalan, Gajah ke Saya?

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►