Ilmu Perubatan Tradisional
Seawal umur 10 tahun, saya dipaksa dan ditasmi' oleh arwah moyang saya beberapa ayat dan surah. Kekadang secara sinis arwah kata "surah ni pun tak ingat molek, mengaji ke main mung ni!" aduh pedih telinga masa itu... sebab tu kalau dia panggil suruh gi dekat dia, saya buat tak tahu jah... pelbagai alasan diberikan. Alasan paling hebat ialah "Cerita sedap ni kat TV"
Arwah sentiasa pesan.. nak tidur, baca itu dan ini. Umur 10 tahun dah kena amal itu ini. Kalau jadi gini, ini bacaannya. Kalau jadi macam ini, cuba buat gini dan gitu... banyak sungguh diperturunkan. Saya macam biasa, dengar sambil tengok dia sahaja.
Esok kalau tanya, memang saya tak tahu apa diajarnya malam tadi. Membebellah arwah dengan saya. "Budak-budak la ni gak... tak berapa dengar orang kata".. Masa yang sama saya tahu yang ibu juga berminat untuk mengambil ilmu moyang saya. Kata ma (ibu), moyang saya tu tidak ajar sesiapa lagi mentera dan ilmunya kepada sesiapa selepas seorang muridnya mencuba ilmu pengasih kepada seorang gadis secara suka-suka sehingga menyebabkan isim. Tetapi katanya berjaya diubati oleh moyang saya dan diberikan amaran. Entah kenapa kata ma, moyang amat beria-ia betul dengan saya.
Mungkin saya buat acuh tidak acuh, moyang ada turunkan sedikit kepada ma. Saya pernah melihat nota ma. Ada masa ma hafal ayat mentera itu, saya cuba betulkan. Ma tengok jeling je.. mungkin dia hairan kot sebab saya ingat tapi tak habis. Selepas itu, moyang saya tidak lagi cuba mengajar saya mana-mana ayat lagi sehingga beliau meninggal.
Kata orang arwah moyang lelaki saya, Tok Mail (suami moyang saya yang tadi) agak dasyat juga orangnya tetapi bukan dukun atau mengubat orang. Tetapi agak berisi. Standard orang lama kalau tidak masakan berani berumah dalam hutan. Beliau meninggal masa saya darjah dua.
Entah kenapa saya tetiba minat dengan perubatan tradisional walaupun dari satu sudut saya malas nak percaya dengan semua ini. Sekali lagi abah pening kepala apabila saya minta belajar dengan Paksu, seorang bomoh tradisional di hujung kampung Tok Sadang. Saya belajar tidak habis peringkat kedua tetapi tamat peringkat pertama. Suatu yang menyesali mengambil mentera dan amat susah nak menghilangkan bait-baitnya di dalam kepala ini.
Masa belajar setiap malam tertentu tu, ma dan abah ada membebel dalam usaha memberhentikan niat saya meneruskan minat tersebut. "entah dari mana mari minat benda tu semua".. mak cuba menyekat minat pelik itu.
Semasa saya di peringkat Sarjana Muda di UKM, saya mengambil cincin perak arwah datuk saya. Ini semua sebab berkenan punya pasal. Habis majlis tahnik sepupu saya, saya terus sebat cincin perak yang tidak berapa cantik tu. Saya kata kat ma, "ayah (datuk saya) dah banyak cincin, ambil so takpe kot". Muka ma pucat.
Beberapa hari kemudian, ibu saudara saya sampaikan berita yang ayah (datuk) saya mengamuk dengan anak-anak dia. Dok tanya siapa berani ambil cincin dia. Ma saya akui bahawa saya yang ambil cincin dan secara serta merta mengarahkan saya pergi menghadap arwah datuk di Ketereh.
Ibu saudara telefon yang dia dah maklumkan kepada nenek saya pasal cincin tersebut dan ayah dah tenang balik. Nenek kata ayah tak kisah bila tahu saya yang ambil cincin tu. Hari minggu saya ke rumah arwah datuk untuk memohon maaf.
Biarpun agak takut dengan kegarangan arwah, saya masih ego. Secara sinis saya menegur nenek saya "apalah ayah ni.. cincin hodoh ni pun nak ribut".. nenek senyum dan menjawab "kalau orang punya, bagi sajalah, tapi rasanya ayah tak ambil dah kot". Jawapan nenek dengan senyuman itu masih tidak menjawab persoalan apa yang membuat penting sangat cincin itu sehingga anak-anak arwah semua kecut bila cincin itu hilang.
Saya cuba mengorek rahsia cincin itu dengan ibu saudara. Kemudian barulah saya paham kenapa pentingnya cincin itu. Ketika itu saya faham mengenai susur galur mengenai keluarga ini yang kebanyakannya adalah pengamal rawatan tradisional.
Secara nakalnya, ada juga menyudi ayah dengan niat nak belajar. Dia menolak dengan alasan pantang. Bila mendengar pantangnya, saya agak Islam tidak sesusah itu. Maka saya tidak lagi menanyakan soal itu. Cincin tersebut menjadi milik saya dengan beberapa syarat sebagai panduan tetapi satupun tidak dipatuhi. Sebab arwah kata, tak ikut pun tak apa. Jangan bergantung pada makhluk.
Minat itu masih berterusan tetapi macam biasa, hanya mengutip tanpa mempelajari secara khusus kerana ia hanya sampingan dan bukan niat mengamalkannya secara tetap. Sahaja niat untuk tahu dari sudut ilmu.
Sebelum kahwin, ma (ibu) selalu tanya saya "ada belajar benda pelik ka la ni?" setiap kali balik bercuti di Kelantan.
Bila mengimbau kenangan ini, saya menyesal satu perkara. Saya melihat bagaimana moyang saya meninggal tanpa penyakit dan nyanyuk diusia lebih 100 tahun. Semasa cuti semester, dia ada pesan lagi, "amalan kena ada". Saya menyesal pula tidak mengambil ilmu-ilmunya yang jelas tidak bercanggah dengan syariat.
Mulalah ambil tahu susur galur keturunan anda dan ceduklah apa yang baik. InsyaAllah, agar tidak menyesal di kemudian hari.
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..