Jalan Kaki
Arwah nenek saya kata saya memiliki sepasang kaki yang kuat. Mana tidaknya, semasa sekolah rendah saya boleh balik jalan kaki ke rumah datuk saya yang jauh 1.5 km. Masa itu umur lebih kurang 7-8 tahun.
Bila besar sikit, saya tidak lagi mengharapkan abah untuk hantar ke rumah datuk untuk mengaji sebaliknya semua dibuat dengan basikal yang dihadiahkan oleh arwah nenek semasa mendapat keputusan cemerlang masa darjah 4.
Jarak perjalanan dari rumah ke rumah datuk ialah 3km. Maknanya saya kena berkayuh lebih 12km sehari untuk kegiatan seharian saya. Bila balik mengaji saya lebih suka jalan kaki sejauh 2km. Basikal saya beri kepada adik saya kayuh. Dia akan jadi escourt saya dari depan dan belakang.
Ma (ibu) selalu marah sebab selalu berjalan sedangkan masa itu hutan masih tebal (kini dah penuh taman perumahan) dan banyak orang mengamalkan 'mmuja' di dalam kawasan tersebut kerana banyak pokok besar.
Bila balik daripada Kota Bharu mahupun dari mana-mana, saya juga berjalan sejauh 1.5km ke rumah daripada jalan besar. Hanya mengambil masa selama 20-30 minit perjalanan.
Basikal
Ini antara minat saya seawal di sekolah menengah dan berterusan sehingga saya tinggalkan tour bike saya untuk menyambung pelajaran di UKM pada sekitar tahun 1997.
Abah kata "kalau nak basikal racing , beli sendiri". Masa itu saya mula ikat perut kerana minat. Satu kerisauan yang amat pernah dialami oleh ibubapa saya. Mereka bimbang kalau saya terlalu minat satu benda.
Dalam masa 3 bulan saya hanya mampu kumpul RM50.00. Saya beli rangka basikal daripada seorang kawan sekelas dengan harga RM80.00 manakala bakinya di bayar secara ansuran. Alhamdullilah, abah kata tak elok berhutang maka bakinya diselesaikan dengan subsidi abah.
Walaupun ada lesen motor, ada ketika saya lebih selesa dengan basikal kesayangan saya. Satu perkara yang abah dan ma tidak tahu, saya dan basikal itu pernah sampai jauh dipelusuk Kelantan. Kalau mereka tahu masa itu, mati saya kena sekolah. Pernah sekali saya keluar malam dengan basikal dan tetiba rosak di Kampung Cina. Nasib tidak baik, saya terpaksa berjalan kaki dalam kegelapan malam yang amat melalui Sungai Keladi dan menyusuri Banggol yang terkenal dengan kubur-kuburnya sehingga sampai ke rumah. Lepas tu, saya tidak lagi keluar dengan basikal malam-malam buta.
Minat ini turut diteman oleh rakan saya yang kami panggil "Mat Jabu" yang kini seorang ustaz di sebuah sekolah di Sarawak. Setiap pagi hari Jumaat dan Sabtu saya akan run dengan basikal sejauh 30km sebelum hadir ke kelas silat di Panchor. Mana tidak kurus masa tu... Fit..
Kekadang jumpa pelumba basikal negara yang tengah jogging di tengahari melalui susur Jalan Pengkalan Chepa, suka hati sahaja saya mencabar dia "Abe, agak-agak nak try ko siapa laju?"Dia asyik sengih sahaja. "Kalau nak cabar pun tunggu la masa aku naik basikal retek"
Selepas 13 tahun, dia masih cam saya. Ada sesekali dia lemparkan senyuman kepada saya bila melalui kedai basikalnya. Basikal saya sudah dileraikan dan tinggal sejarah.
0 komen:
Dah baca sila bagi sepatah kata..