Thursday, October 1, 2009

Bekas Pembantu Tadbir Dibebaskan Daripada Pertuduhan Pemalsuan AP

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu tadbir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada empat tuduhan termasuk memalsukan sembilan keping lesen permit import (AP) kereta mewah, tujuh tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu terhadap Armila Ahmad, 32, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Rozana berkata, antara tugas kerani di Unit AP dan perkongsian penggunaan komputer tempat tertuduh bertugas memungkinkan terdapat orang lain turut menggunakan komputer itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Armila yang kini tidak berkerja didakwa memalsukan sembilan keping lesen import kenderaan bagi tujuan mengeluarkan permit kelulusan mengimport kenderaan dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu Norazrin Mohamat Jani, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai dua lesen import bagi kenderaan mewah adalah permit yang masih sah had tempoh lakunya.

Pertuduhan ketiga dan keempat, Armila turut didakwa menipu Syed Mahadi Syed Ismail, dan Mohd Said Yacob, dengan memperdayakan mangsa masing-masing tiga dan empat lesen import bagi kenderaan mewah adalah permit yang masih sah had tempoh lakunya.

Dia yang mengetahui perkara itu tidak benar dengan sengaja mendorong ketiga-tiga mangsa untuk membuat pengesahan di atas permit itu dan mangsa tidak berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Armila didakwa melakukan perbuatan itu di Unit Kelulusan Permit Bahagian Perkhidmatan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti), Jalan Duta, Sentul, di sini, antara 25 Julai 2002 dan 17 Julai 2003.

Bagi semua kesalahan itu, Armila didakwa mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang masing-masing membawa hukuman penjara tujuh dan lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►