Thursday, May 8, 2008

Peniaga Masih Minta Bicara

Kuala Lumpur: Peniaga daripada Sentul, Ahmad bin Ibrahim masih memohon dibicarakan atas pertuduhan seksyen 323 Kanun Keseksaan apabila kes disebut bagi keputusan representasi. Mahkamah dimaklumkan oleh pihak Pendakwaan bahawa representasi yang dibuat oleh pihak Pembelaan daripada Tetuan Hisham Nazir & Rosly Ayub (dilantik oleh Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Malaysia) melalui surat yang bertarikh 17.01.2008 dan satu surat peringatan bertarikh 13.03.2008 masih tidak mendapat kata putus daripada pihak Timbalan Pendakwaraya.

Pihak Pendakwaan juga memaklumkan kepada Mahkamah bahawa laporan perubatan masih belum diperolehi daripada pihak berkenaan. Satu tarikh Bicara ditetapkan bagi mendapatkan keputusan representasi mahupun dijalankan bicara pada tarikh yang akan datang pada 19.01.2009.

Peguam Hisham Nazir memaklumkan kepada Mahkamah bahawa anakguam beliau masih minta bicara atas pertuduhan tersebut sebaik ditanya oleh Puan Majistret NurSalena memandangkan Mahkamah sebelum ini mencadangkan satu penyelesaian dibuat kerana pertuduhan adalah melibatkan kes boleh kompaun sahaja.

Pihak Mahkamah dan pendakwaan mempunyai surat representasi tersebut;



_----------------------------------------------------------------------------------------------------

YBhg. Peguam Negara Malaysia Dengan Pos Sahaja
Jabatan Peguam Negara Malaysia
Aras 1-8, Blok C3,Parcel C
Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya
62502 Putrajaya.

U/P: YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail

YBhg. Tan Sri,

PER : DALAM MAHKAMAH MAJISTRET KUALA LUMPUR
KES TANGKAP NO. : 4-83-1185-2007
PENDAKWA RAYA VS.
AHMAD BIN IBRAHIM
________________________________________________________________________________________

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara tersebut di atas di mana saya kini telah dilantik untuk mewakili tertuduh seperti yang dinamakan iaitu Ahmad bin Ibrahim (selepas ini dirujuk sebagai “anakguam kami”) bagi pihak Biro Bantuan Guaman Majlis Peguam.

Adalah dimaklumkan bahawa anakguam kami telah dituduh dengan tuduhan di Mahkamah Majistret (4) Kuala Lumpur di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana telah ditetapkan bagi bicara pada 17hb Jan 2008. Anakguam kami dituduh telah melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan kepada seorang individu yang bernama Besah binti Mat Isa (selepas ini dirujuk sebagai “Pengadu”) yang juga jiran sebelah rumah anakguam kami.

Untuk makluman pihak YBhg. Tan Sri, anakguam kami adalah seorang peniaga yang tinggal bersama keluarga mereka di No.31, Blok C16, Jalan 5/16, Rumah Panjang Jinjang Utara, Kuala Lumpur semenjak tahun 1993 yang mana pihak Pengadu baru sahaja tinggal di situ.

Pihak anakguam kami seorang warganegara yang menghormati undang-undang Malaysia dengan bekerja sebagai peniaga laksa di Pasar Malam dan telah mendidik kesemua anak-anak beliau sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Pihak Pengadu sememangnya seorang yang terkenal di kawasan perumahan tersebut sebagai pengamal perubatan tradisional (didakwa oleh penduduk tempatan sebagai sihir kerana menggunakan tenggorak manusia) dan sikap suka membuat fitnah serta mengganggu masyarakat setempat. Selain itu, perangai anak-anak beliau yang terlibat dengan kegiatan jenayah seperti samun, curi, gangsterism memberikan kesan buruk kepada masyarakat setempat. Malah fakta ini diketahui secara jelas oleh pihak polis di Balai Jinjang dan dipercayai banyak laporan polis pernah dibuat oleh masyarakat setempat mengenai kacau yang dibuat oleh keluarga Pengadu. Malah ramai penduduk di situ berpindah atas tidak tahan dengan tindakan jahat keluarga Pengadu secara berterusan. Pihak Polis Balai Jinjang dikatakan mengetahui fakta ini dengan jelas.

Masyarakat setempat juga menyatakan bahawa terdapat banyak laporan pihak polis pernah dibuat ke atas pihak Pengadu dan anak-anak mereka atas kekacauan dan fitnah yang dibuat oleh mereka terhadap penduduk setempat sehingga ramai penduduk setempat terpaksa pindah daripada rumah panjang tersebut. Perkara ini adalah di dalam pengetahuan pihak polis setempat.

Kejadian (yang kini didakwa di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan) telah berlaku pada 27.01.2007 jam 12.00 sehingga 1.00 tengahari apabila anak Pengadu yang dikenali sebagai Milah mencabar anak lelaki anakguam kami yang dikenali sebagai Fikri dengan kata-kata kesat seperti “dayus”, “pengecut” “lembik” dan beberapa perkataan lain termasuk mencaci keluarga anakguam kami ekoran Fikri enggan melayani kerenah perempuan yang berkelakuan liar tersebut. Anakguam kami sememangnya melarang keras anak beliau bercampur dengan keluarga Pengadu memandangkan amalan perbomohan yang dikatakan syirik dan perlakuan tidak bermoral dan jenayah anak-anak Pengadu akan memberikan kesan yang negatif kepada keluarga anakguam kami.

Setelah dimaki hamun dan dicabar oleh Milah (anak Pengadu), anak lelaki Anakguam kami ingin keluar kerana berasa amat marah apabila keluarga beliau dicaci dan di maki hamun. Tetapi tindakan tersebut telah dihalang oleh anakguam kami tetapi Fikri sempat dipukul oleh Milah. Pihak anakguam kami cuba membawa masuk Fikri dan Pengadu yang tiba-tiba datang memukul anakguam kami dengan sebatang payung dan telah mengakibatkan kecederaan kepada muka anakguam kami. Setelah dipukul beberapa kali bagi melindungi Fikri (anak lelaki beliau), anakguam kami telah menepis payung tersebut dan menolak paying tersebut ketepi dan mengakibatkan Pengadu telah terjatuh. Namun, Pengadu cuba bangun dan cuba memukul anak perempuan anakguam kami, Nohafiza dan pukulan tersebut terkena di tangan Norhafiza. Kejadian ini berlaku di hadapan dan di dalam rumah anakguam kami. Selepas itu Milah telah membaling tempurung kelapa (milik anakguam kami yang berada diluar rumah) ke dinding rumah anakguam kami dan perkara ini berlaku sehingga 10 minit. Laksa-laksa untuk jualan anakguam kami jatuh dan berselerak di dalam rumah dan perkara ini disaksikan oleh pihak polis yang hadir.

Sejurus itu, Pengadu dan anak lelakinya Fikri yang cedera tersebut telah masuk ke dalam rumah dan cuba mengunci rumah kerana ketakutan.

Malah pada hari yang sama semasa anakguam kami dan isteri hadir bagi membuat laporan polis mengenai kejadian serangan oleh pihak Pengadu terhadap keluarga pihak anakguam kami, 3 orang anak perempuan pengadu (Milah, Ramlah dan Ros) telah menyerang dengan memasuki rumah secara kasar dan cuba memukul anak perempuan anakguam kami Norhaida tetapi pukulan itu terkena tubuh Norhafiza dan mereka menyelerakkan barang-barang perniagaan anakguam kami.

Pada jam 4.30 petang, semasa keluarga anakguam kami berada di dalam rumah 2 orang lelaki (salah seorangnya anak sulong Pengadu yang dikenali sebagai Madi yang mana dikatakan sering ditahan polis atas kes jenayah rompak, samun dan pecah gudang) dan 3 orang anak perempuan Pengadu yang dikenali sebagai Milah, Ros dan Ramlah datang ke rumah pihak anakguam kami dan memaki hamun pihak keluarga anakguam kami. Madi turut memberikan amaran keras kepada anak lelaki anakguam kami, Fikri termasuk ugutan untuk mematahkan dan membutakan mata Fikri. Tindakan ini disusuli dengan tindakan menghentak dinding dan pintu rumah anakguam kami yang mana tindakan itu telah membuat pintu rumah anakguam kami telah terbuka. Selain itu, pihak mereka juga telah memukul kenderaan motor anakguam kami yang bernombor pendaftaran WMR 5232 dan Van yang bernombor WGY 6134.

Sejurus kemudian, Madi telah hadir ke depan rumah anakguam kami dan menunjukkan satu senjata besi di saluti kain putih dengan mengugut Fikri. Pihak isteri anakguam kami telah menghubungi pihak polis dan mereka masih mencabar dan melaung-laung di hadapan rumah anakguam kami walaupun pihak polis hadir di situ.

Kejadian tersebut telah dimaklumkan oleh pihak polis melalui repot Jiinjang/001377/07, Jinjang/001403/07 dan Jinjang/002038/07 tetapi pihak polis tidak pernah membuat apa jua tindakan terhadap laporan pihak keluarga anakguam kami walaupun mengetahui bahawa pihak anakguam kami yang diserang dan bukan sebalik. Malah prima facie kes mengenai tempat kejadian yang berlaku di dalam dan hadapan rumah anakguam kami adalah jelas membuktikan bahawa pihak Pengadu dan keluarga beliau telah melakukan kesalahan seksyen 323 Kanun Keseksaan dan bukan anakguam kami. Ini tidak termasuk kejadian yang disaksikan oleh pihak polis sendiri dan keadaan rumah anakguam kami termasuk kenderaan motor dan van perniagaan anakguam kami. Kesemua laporan polis melalui repot Jiinjang/001377/07, Jinjang/001403/07 dan Jinjang/002038/07 dilampirkan bagi kemudahan rujukan pihak YBhg Tan Sri.

Sepanjang kejadian tersebut telah mengakibatkan kecederaan teruk kepada pihak anakguam kami dan Norhafiza serta kecederaan ringan kepada Fikri. Sehubungan dengan itu, pihak anakguam kami dan Norhafiza telah di bawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur dan didaftarkan sebagai pesakit melalui nombor pendaftaran Jan 3702/07 dan Jan 3700/07. Kad rawatan kecemasan bernombor pendaftaran Jan 3702/07 dan Jan 3700/07 dilampirkan bagi tujuan rujukan pihak Ybhg Tan Sri.

Semasa siasatan, anakguam kami telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis yang mana turut menyatakan kepada pihak polis penyiasatan Pengadu yang terkenal sebagai bomoh besar itu. Sebaliknya polis melalui Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Shaikah telah menahan anakguam kami.

Penahanan telah dibuat melalui temujanji antara anakguam kami dan Pegawai Penyiasat untuk hadir ke Ibupejabat Polis Sentul pada jam 12.00 tengahari. Namun, anakguam kami hadir pada masa tersebut dan mohon kepada Pegawai Penyiasat agar beliau diberikan kelonggaran sehingga jam 7.00 petang bagi menghantar Fikri dan Norfaiza ke kampus mereka. Anakguam kami telah hadir pada jam 5.00 petang dan telah ditangkap oleh pihak IPD Sentul.

Semasa siasatan, pihak anakguam kami telah menyatakan kesemua perkara yang berlaku tetapi pihak polis melalui Pegawai Penyiasatnya memaklumkan anakguam kami bahawa Pengadu amat digeruni dengan ilmu bomohnya malah beberapa Pegawai Penyiasat sebelum ini juga gagal mengambil apa jua tindakan ke atas Pengadu setelah di adukan oleh penduduk yang lain.

Sebaliknya, pihak anakguam kami telah dipujuk oleh Inspektor Siti Shaikah untuk membuat pengakuan bersalah di Mahkamah memandangkan kes ini kecil sahaja dan boleh di kompaun/denda yang lebih rendah daripada wang jaminan. Namun, sehingga kini anakguam kami enggan mengakui bersalah kerana pihak anakguam kami adalah pihak yang teraniaya. Walaupun demi keselamatan anak-anak beliau, beliau kini terpaksa berpindah ke rumah sewa lain dan menanggung beban sewa lebih tinggi, tetapi sekiranya anakguam kami mengakui kesalahan yang tidak dilakukannya, perkara ini akan berterusan kepada penduduk yang lain.

Pihak kami amat berharap dengan maklumat yang kami berikan ini kepada pihak YBhg Tan Sri akan dapat memudahkan pihak YBhg. Tan Sri bagi menjalankan siasatan dengan lebih terperinci untuk mengetahui fakta yang sebenar. Pihak anakguam kami adalah seorang berumur dan menanggung bebanan yang besar dalam membesarkan anak-anak beliau terutama soal kewangan dalam pelajaran anak-anak beliau. Beliau kini juga hanya berniaga di pasar malam 4 kali seminggu atas sebab umur yang tua.

Kes tersebut telah banyak memberikan kesan teruk kepada masa depan beliau dan keluarga beliau kerana mengalami tekanan daripada proses pendakwaan tersebut. Selain daripada itu, pihak anakguam kami dan keluarga telah mengalami tekanan daripada masyarakat setempat sekaligus menjejaskan sumber pendapatan mereka sekeluarga dan terpaksa berulang-alik bagi menghadiri Mahkamah yang Mulia dan telah mengandaikan beliau sebagai seorang penjenayah walaupun beliau seorang yang teraniaya.

Oleh yang demikian, pihak kami dengan rendah diri bagi pihak anakguam kami merayu kepada pihak YBhg. Tan Sri agar anakguam kami dapat dilepaskan dan/atau dibebaskan daripada tuduhan di atas. Sekali lagi kami merayu kepada pihak YBhg. Tan Sri agar dapat mempertimbangkan rayuan kami ini agar anakguam kami mendapat pembelaan yang sewajarnya dan semoga keadilan dan kebenaran akan terjamin. Pihak kami percaya bahawa keprihatinan pihak YBhg. Tan Sri dalam menjalankan siasatan mengenai fakta di atas dan mempertimbangkan rayuan pihak anakguam kami akan memberikan kebaikan kepada semua pihak terutama menjimatkan masa dan kos Mahkamah yang Mulia.

Kami berharap akan mendapat jawapan dalam kadar yang segera daripada pihak YBhg. Tan Sri bagi membolehkan kami membuat tindakan susulan sebelum tarikh perbicaraan kelak.

Segala kerjasama yang pihak YBhg. Tan Sri berikan kami dahului dengan ucapkan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
BAGI PIHAK BIRO BANTUAN GUAMAN MAJLIS PEGUAM


MOHD HISHAM BIN MOHD NAZIR

s.k

1) Pegawai Pendakwaan Dengan Pos Sahaja
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (4)
Komplek Mahkamah Kuala Lumpur
Jalan Duta
50506 Kuala Lumpur


2) Anakguam Dengan Tangan Sahaja



1 komen:

SH said...

belum apa2 dah org tanya aku " POs repsentasi nampak!" BUkan nak copy paster sgt tapi ada member minta contoh.. lain kali copy je situ... itu contoh saja.......

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►