Wednesday, March 22, 2023

[1373.23] KEADAAN DI MANA MAHKAMAH PERLU MEMBUAT SUATU DAPATAN BERHUBUNG HUBUNGAN SESEORANG DENGAN SESEORANG YANG LAIN


Seksyen 50 Akta Keterangan memperuntukkan keadaan apabila pendapat mengenai hubungan berkaitan, melibatkan peranan Mahkamah dan keperluan untuk membuat sesuatu pendapat (inferens) tentang hubungan seseorang dengan seseorang yang lain. Pendapat yang dizahirkan melalui kelakuan tentang kewujudan hubungan itu oleh mana-mana orang yang, (contohnya sebagai ahli keluarga etc), mempunyai cara yang khas bagi mengetahui perkara itu, ialah suatu fakta berkaitan. Namun, pendapat sedemikian tidak mencukupi bagi membuktikan sesuatu perkahwinan dalam pendakwaan di bawah seksyen 494, 495 atau 498 Kanun Keseksaan.
Contoh adalah pertamanya, melibatkan isu sama ada A dan B telah berkahwin. Fakta bahawa mereka biasanya diterima dan diperlakukan oleh sahabat mereka sebagai suami isteri adalah berkaitan. Kedua, isu sama ada A ialah anak B yang sah taraf. Fakta bahawa A sentiasa diperlakukan sedemikian oleh anggota keluarganya adalah berkaitan. Rujukan adalah seperti di dalam kes Rex lwn Govindasamy [1933] 1 MLRH 601, di mana diputuskan bahawa wujud perbezaan antara tahap pembuktian perkahwinan yang diperlukan dalam kes sivil dan kes jenayah. Seksyen 50(2) Akta Keterangan menyatakan, pendapat yang dinyatakan melalui kelakuan mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan khas tentang kewujudan apa-apa hubungan antara seseorang dengan orang lain tidak mencukupi untuk membuktikan perkahwinan dalam kes jenayah di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan walaupun pendapat tersebut adalah fakta relevan yang mungkin menjadi bukti yang mencukupi dalam perkara sivil.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►