Monday, December 5, 2022

[1330.22] PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA BAGI KESALAHAN MENIPU MERUJUK KEPADA SEKSYEN 420 DAN 415 KANUN KESEKSAAN


Peruntukan bagi kesalahan menipu telah dinyatakan dengan jelas berdasarkan kepada Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Namun, dalam membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 420, Pendakwaan perlu membuktikan elemen-elemen sebagaimana yang disebut di dalam kes Chew Zi Yang lwn. Pendakwa Raya [2010] 15 MLRH 356, yang turut mencatatkan keperluan merujuk kepada Seksyen 415 Kanun Keseksaan bagi merujuk huraian mengenai kesalahan tipu dan turut menyatakan perihal-perihal yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan ‘menipu’.
Maka, dalam membuktikan kes menipu di bawah Seksyen 420, Pendakwaan perlu membuktikan bahawa terdapat elemen penipuan di pihak tertuduh berdasarkan prinsip yang telah dijelaskan di dalam kes Sawarn Singh Mehar Singh lwn. PP [2013] MLRHU 1364; [2014] 7 MLJ 285.
Intipati kesalahan menipu di bawah Seksyen 415 merangkumi kesalahan memperdayakan mana-mana orang atau kesalahan pemerdayaan yang dibuat dengan tipuan (fraud) atau dengan curang untuk mendorong mana-mana orang (1) untuk menyerahkan apa-apa harta kepada mana-mana orang atau (2) untuk bersetuju bahawa mana-mana orang hendaklah menyimpan apa-apa harta, atau perbuatan dengan sengaja mendorong mana-mana orang melakukan atau tidak membuat apa-apa yang dia tidak akan lakukan atau dia lakukan jika dia tidak diperdaya, dan yang mungkin, menyebabkan kerosakan atau mudarat kepada orang itu pada dalam badan, ingatan, reputasi atau harta orang itu.


 

0 komen:

Dah baca sila bagi sepatah kata..

◄ Newer Post Older Post ►